Lalui Jatuh Bangun Dunia Bisnes, Mila Jirin Terima Anugerah Kepimpinan Dari Oxford Centre for Leadership!

Kerja keras dan jatuh bangun Mila Jirin menguruskan empayar perniagaan selama ini meraih perhatian pihak luar negara. Lebih sedekad bergelar usahawan, tanggal 14 Disember lalu pastinya menjadi detik indah buat pengasas Bizmilla ini apabila dia berjaya melakar satu lagi pencapaian baharu apabila menerima penganugerahan dari Oxford Centre for Leadership, United Kingdom.

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Mila dilapor menerima Ductus Exemplo Award atau terjemahan dari Bahasa Latin tersebut bermaksud ‘Lead by Example’ yang mengiktiraf kepimpinan.

Artikel https://www.nona.my/pernah-bercita-cita-jadi-arkitek-kecewa-tak-sambung-belajar-allah-ganti-duka-mila-jirin-jadi-arkitek-impian-di-bizmilla/

Mila Jirin Terima Anugerah Kepimpinan

Anggun mengenakan persalinan rona jingga ketika menerima anugerah itu, Mila Jirin melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan berkenaan.

“Saya tak pernah masuk universiti. Itu ayat yang selalu saya simpan dalam hati. Bukan sebab malu. Tapi sebab ia satu impian yang tak pernah sempat saya capai.

Hari ini, saya berdiri menerima Ductus Exemplo Award dari Oxford Centre for Leadership, United Kingdom.

Ironinya, saya sampai ke sini tanpa menjejakkan kaki ke universiti. Allah tak beri saya Menara Gading. Tapi Allah beri saya Universiti Kehidupan.

Di situlah saya belajar, jatuh tanpa ada siapa yang tangkap, bangun tanpa ada sijil untuk ditunjuk, dan terus berjalan walaupun tak tahu hujungnya di mana.”

Tambah pemilik nama Norsyarmila Jirin ini lagi, “Saya sedang siapkan banyak perkara.
Bukan untuk menunjuk kejayaan, tetapi untuk berkongsi jalan sebenar yang saya lalui
untuk mereka yang sedang membina dari bawah, yang pernah rasa tertinggal, dan yang hampir putus asa.

Ini bukan pengumuman. Ini cuma permulaan. Tunggu saya. Kita akan belajar, berjalan, dan bangkit bersama-sama. Alhamdulillah, terima kasih Allah.”

Kejayaan Mila Jirin

Mila yang mula mencipta nama dalam industri hiburan selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia kini semakin sukses dalam bidang perniagaan.

Meskipun layak digelar jutawan namun selebriti ini cukup merendah diri dan sentiasa mencari peluang perniagaan baru demi memajukan lagi perusahaan Bizmilla.

Difahamkan sepanjang 12 tahun membina Bizmilla, Mila dan suami kini memiliki 20 dewan banquet dengan lebih 250 pekerja dan bayaran gaji mencecah hampir RM1 juta sebulan.

Anak jati kelahiran Pulau Pinang ini mendirikan rumah tangga dengan suami yang juga bekas pengurusnya Ahmad Ailis Mohamed Mustapha atau dikenali sebagai Isz Mustapha pada November 2015.

Hasil perkongsian hidup selama sedekad, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohd Arif Zikri.

 

 

Share
Published by
Suzi