Berita

Legasi #Malaysia100, Malaysia Bagaimana Mahu Kita Wariskan Kepada Anak Cucu Pada 2057?

Legasi #Malaysia100 mengajak kita memikirkan satu persoalan besar pada Hari Kebangsaan ini, Malaysia bagaimana yang mahu kita wariskan kepada anak cucu apabila negara mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057? Bagi Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub, jawapannya tidak boleh ditangguhkan tiga dekad lagi. Malaysia 2057 sedang dibentuk hari ini melalui pilihan, nilai dan keberanian generasi sekarang menentukan arah negara untuk generasi seterusnya.

Diperkenalkan bersempena Hari Kebangsaan ke-69, Legasi #Malaysia100 membawa misi menjadikan tempoh 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 sebagai ruang dialog nasional. Setahun untuk rakyat merenung, berbicara, berkongsi pandangan dan mencari titik persamaan tentang wajah Malaysia yang mahu dibina sebelum bermulanya perjalanan 30 tahun menuju 2057.

Gagasan ini bukan sekadar berbicara tentang pembangunan fizikal atau kekuatan ekonomi. Persoalannya jauh lebih besar. Bagaimana mutu pendidikan kita? Sejauh mana rakyat mempercayai institusi? Apakah makna integriti ketika itu? Mampukah masyarakat hidup dalam perpaduan? Dan paling penting, apakah nilai yang akan menjadi jiwa rakyat Malaysia apabila Jalur Gemilang berkibar pada usia satu abad kemerdekaan?

Legasi #Malaysia100

Legasi #Malaysia100, 2057 Hanya Satu Generasi Dari Sekarang

Tiga puluh tahun mungkin kedengaran lama, tetapi dalam perjalanan sebuah negara, 30 tahun hanyalah satu generasi.

Anak-anak yang kita pimpin tangannya hari ini bakal menjadi pemimpin, ibu bapa, pendidik, doktor, usahawan, pekerja dan pembuat keputusan pada tahun 2057. Negara yang mereka warisi kelak ialah hasil daripada apa yang generasi hari ini pilih untuk bina, perbaiki atau biarkan.

Atas kesedaran itu, Datuk Hussamuddin melihat Legasi #Malaysia100 sebagai satu tanggungjawab merentas generasi. Baginya, setiap generasi hanyalah pemegang amanah kepada negara sebelum menyerahkannya kepada generasi berikutnya.

Maka persoalan yang perlu difikirkan bukan sekadar sama ada Malaysia akan menjadi lebih kaya, moden atau berteknologi tinggi dalam tiga dekad akan datang.

Sebaliknya, adakah kita akan menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik daripada Malaysia yang kita terima? Di situlah letaknya makna sebenar sebuah legasi.

Legasi #Malaysia100 Ibarat Setahun Mendengar, 30 Tahun Membina

Kerangka Legasi #Malaysia100 cukup jelas iaitu setahun untuk menentukan arah, kemudian 30 tahun membina.

Bermula dari 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027, rakyat diajak berbicara tentang masa depan negara. Bukan hanya di Kuala Lumpur atau Putrajaya, tetapi di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja, komuniti, rumah ibadat, NGO, syarikat serta pelbagai ruang masyarakat.

Suara itu perlu datang dari seluruh Malaysia. Semenanjung, Sabah dan Sarawak, termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Legasi #Malaysia100

Kerajaan dan pembangkang, majikan dan pekerja, profesional, usahawan, petani, pendidik, anak muda serta masyarakat biasa semuanya mempunyai tempat dalam perbincangan ini.

Ini kerana #Malaysia100 bukan milik satu kerajaan, satu parti politik, satu kaum, satu agama mahupun satu organisasi. Kerajaan akan berubah, pemimpin akan bertukar dan landskap politik akan berganti. Namun cita-cita besar mengenai pendidikan, integriti, perpaduan, institusi dan masa depan generasi seterusnya perlu mempunyai kesinambungan yang lebih panjang daripada satu penggal pentadbiran.

Kita juga tidak perlu bersetuju dalam segala perkara.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada demokrasi. Namun di sebalik segala perbezaan itu, pasti wujud aspirasi yang mampu menemukan kita. Sebuah negara yang aman, pendidikan berkualiti, ekonomi yang membuka peluang, institusi yang dipercayai serta masyarakat yang lebih bersatu.

Legasi #Malaysia100 mahu mencari titik temu itu.

Legasi #Malaysia100 Membayangkan Malaysia Yang Tenang & Maju

Apabila membayangkan Malaysia pada tahun 2057, Datuk Hussamuddin membawa satu aspirasi yang menarik. Beliau mahu melihat sebuah Malaysia yang bukan sahaja maju, tetapi tenang.

Tenang dalam perpaduan, keadilan dan kepercayaan.

Legasi #Malaysia100

Beliau membayangkan anak muda Malaysia yang tidak meninggalkan negara kerana putus asa, sebaliknya yakin bahawa mereka mempunyai ruang untuk berkembang di tanah air sendiri. Jika mereka pergi menimba pengalaman di luar negara, ada rasa mahu kembali kerana Malaysia masih sebuah tempat yang mereka percaya, cintai dan banggakan.

Kemajuan sebegini tidak boleh dibina melalui pencakar langit, kecanggihan teknologi atau angka ekonomi semata-mata.

Sebuah negara yang benar-benar kuat turut memerlukan ihsan, integriti, keadilan, perpaduan serta institusi yang mendapat kepercayaan rakyat. Tanpa nilai tersebut, pembangunan yang kelihatan gah dari luar boleh menjadi rapuh dari dalam.

Sebab itulah dialog #Malaysia100 juga tidak seharusnya menjadi satu lagi ruang untuk sekadar mengeluh tentang segala kekurangan negara.

Jika ada yang rosak, fikirkan cara membetulkannya. Jika ada yang tidak adil, berani mencadangkan perubahan. Jika sesuatu sudah baik, pertahankan dan perkuatkan.

Daripada mengeluh, rakyat diajak bergerak kepada membina.

Legasi #Malaysia100, Apa Yang Mahu Kita Wariskan?

Generasi terdahulu telah membawa Malaysia daripada sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan sehingga menjadi tanah air yang kita kenali hari ini.

Kini, baton itu berada di tangan kita.

Datuk Hussamuddin mengibaratkan setiap generasi sebagai pelari yang menerima baton daripada generasi sebelumnya sebelum menyerahkannya kepada generasi berikutnya.

Baton itu bukan sekadar pembangunan yang dapat dilihat dengan mata. Ia turut membawa nilai, integriti, perpaduan, sistem dan kekuatan institusi yang menentukan ketahanan sebuah negara.

Kita mungkin tidak semuanya berada di sini ketika Malaysia menyambut 100 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 2057. Namun keputusan yang kita buat hari ini akan tetap berada di sana.

Cara kita mendidik anak-anak, menghormati perbezaan, menjalankan amanah, membina organisasi, mempertahankan integriti dan memilih pemimpin, semuanya meninggalkan jejak terhadap Malaysia yang bakal diterima generasi seterusnya.

Mungkin Malaysia 2057 tidak akan menjadi sebuah negara yang sempurna. Namun generasi hari ini masih mempunyai peluang memastikan anak cucu kelak dapat berkata bahawa mereka mewarisi tanah air daripada sebuah generasi yang tidak pernah berputus asa untuk memperbaikinya.

Legasi #Malaysia100

Inilah patriotisme yang cuba dihidupkan menerusi Legasi #Malaysia100.

Cinta kepada negara bukan sekadar mengenang sejarah perjuangan, menyanyikan lagu patriotik atau mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali bulan kemerdekaan tiba. Patriotisme juga bermaksud mempunyai keberanian untuk memikirkan nasib tanah air jauh melangkaui usia kita sendiri.

Setahun untuk mendengar dan menentukan arah. Tiga puluh tahun untuk membina.

Kerana apabila Jalur Gemilang berkibar pada usia 100 tahun kemerdekaan Malaysia nanti, ukuran legasi generasi kita bukan sekadar sejauh mana negara ini telah maju.

Sebaliknya, pada satu persoalan yang jauh lebih besar:

Adakah Malaysia yang kita serahkan kepada anak cucu nanti lebih baik daripada Malaysia yang pernah kita terima?

Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Datuk Hussamuddin mengenai gagasan legasi #Malaysia100 dan masa depan negara menjelang 2057

Apakah sebenarnya gagasan #Malaysia100?

Datuk Hussamuddin: Malaysia 100 ialah usaha untuk kita bersama-sama membayangkan apakah rupa Malaysia apabila negara mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 2057. Ia bukan sekadar tentang pembangunan fizikal atau ekonomi. Kita juga perlu bertanya: bagaimana keadaan pendidikan, institusi, perpaduan, integriti dan paling penting, apakah nilai yang ada pada rakyat Malaysia ketika itu? Destinasi kita perlu jelas sebelum menentukan perjalanan untuk sampai ke sana.

Mengapa bercakap tentang 2057 sekarang sedangkan masih ada sekitar 30 tahun?

Datuk Hussamuddin: Sebenarnya 30 tahun itu bukannya lama, hanya satu generasi kanak-kanak yang kita nampak hari ini sedang membesar. Mereka akan menjadi pemimpin, pekerja, ibu, bapa dan pembuat keputusan apabila Malaysia mencapai 100 tahun. Sebab itu apa yang kita lakukan hari ini lah yang akan menentukan Malaysia yang mereka warisi nanti.

Mengapa Datuk melihat isu ini secara sangat peribadi?

Datuk Hussamuddin: Saya melihatnya bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia tetapi juga sebagai seorang datuk. Generasi saya mungkin tidak semuanya berada di sini pada tahun 2057 tetapi anak dan cucu kita akan berada di sana. Jadi persoalannya mudah: Malaysia bagaimana yang mahu kita tinggalkan kepada mereka? Kebanggaan atau penyesalan? Bagi saya, setiap generasi hanyalah pemegang amanah atau trustee kepada negara ini sebelum menyerahkannya kepada generasi seterusnya.

Apakah bentuk Malaysia yang Datuk mahu lihat pada tahun 2057?

Datuk Hussamuddin: Saya mahu melihat Malaysia yang bukan sahaja maju, tetapi tenang. Tenang dalam perpaduan, keadilan dan kepercayaan. Saya mahu anak-anak muda tidak keluar negara kerana putus asa tetapi pulang kerana rindu.

Saya inginkan anak muda yang yakin dengan keupayaan berkembang di negara sendiri. Saya mahu institusi bukan sekadar wujud tetapi dipercayai. Tetapi impian ini tidak lengkap tanpa suara setiap individu rakyat. Visi itu tidak boleh berdiri sendiri. Kita tanya kepada diri kita, apakah wajah Malaysia yang kita ingin lihat ketika 100 tahun usia kita merdeka nanti?

Adakah #Malaysia100 satu kempen politik atau projek kerajaan?

Datuk Hussamuddin: Semestinya tidak. Malaysia 100 tahun tidak boleh menjadi milik satu kerajaan, satu parti, satu kaum, satu agama atau satu organisasi. Kerajaan akan berubah, pemimpin akan bertukar, parti politik akan naik dan turun. Tetapi Malaysia kita ini akan terus ada, sebab itu #Malaysia100 mesti menjadi aspirasi bersama seluruh rakyat Malaysia merentas agama, bangsa dan politik sekalipun. Ia oksigen, bebas bak angin, teguh bak akar.

Siapa yang perlu terlibat dalam #Malaysia100?

Datuk Hussamuddin: Semua. Kerajaan, pembangkang, perniagaan, pekerja, sekolah dan universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi agama, profesional, usahawan, petani, anak muda serta masyarakat biasa, ia mesti melibatkan rakyat di Sabah, Sarawak, Semenanjung serta rakyat Malaysia yang berada di luar negara. We own this, ia tanggungjawab yang kita pupuk atas cinta kasih kita kepada negara dan generasi kita. Suara kita inilah yang menentukan rupa Malaysia yang ingin kita bina.

Rakyat Malaysia mempunyai terlalu banyak perbezaan pandangan, bagaimana hendak mencapai persetujuan?

Datuk Hussamuddin: Kita tidak perlu bersetuju dalam semua perkara. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi pasti ada perkara besar yang kita boleh sepakati. Kesepakatan itulah yang kita besarkan.

Kita mahu negara aman, anak-anak mendapat pendidikan yang baik, institusi yang dipercayai, ekonomi yang memberi peluang dan masyarakat yang lebih bersatu.

#Malaysia100 adalah tentang mencari titik persamaan tersebut dan kita bangkit bersama membina negara bermula daripada situ. Kita cari rentak irama yang sama di tengah-tengah perbezaan yang ada.

Satu tahun untuk kita bersatu, mendengar dan menentukan arah dan perjalanan itu bermula hari ini.

Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan?

Datuk Hussamuddin: Dengar. Bukan sekadar mendengar dengan telinga tetapi dengan hati. Sebelum kita membina dasar atau melancarkan program, kita perlu tahu apa yang benar-benar diimpikan oleh rakyat. Tentukan destinasi dahulu, tetapkan kompas kita, pastikan driver cukup kompeten, rancang perjalanan ke destinasi Malaysia 100 tahun.

Jangan kita berlari tanpa merancang tidak tahu ke mana arah tuju, itu lebih haru-biru. Harus kritis: apakah maksud Malaysia yang benar-benar bersatu?

Datuk Hussamuddin: Apakah maksud kemakmuran? Apakah rupa integriti? Pendidikan bagaimana yang kita mahu untuk cucu kita? 30 tahun ke depan kita tetapkan, bina jalan menujunya, lakukan bersama-sama.

Mengapa dicadangkan tempoh 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 sebagai Tahun Dialog Nasional?

Datuk Hussamuddin: Kalau kita hanya bercakap tentang 2057, ia mungkin terasa terlalu jauh. Jadi kita mulakan dengan satu tahun 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 untuk merenung, berbicara, bertanya soalan-soalan sukar dan berkongsi impian. Setahun ini bukan untuk menyelesaikan semuanya, tetapi untuk menentukan arah supaya 30 tahun akan datang tidak sia- sia. Setahun ini kita tentukan arah.

Apakah tanggungjawab generasi hari ini?

Datuk Hussamuddin: Kita ialah pemegang amanah. Kita menerima Malaysia daripada generasi terdahulu dan satu hari nanti kita perlu menyerahkannya kepada generasi selepas kita.

Persoalan yang perlu kita tanya kepada diri sendiri ialah adakah kita akan menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik daripada Malaysia yang kita terima? Itulah ukuran sebenar legasi generasi kita.

Apakah mesej Datuk kepada rakyat Malaysia sempena gagasan #Malaysia 100?

Datuk Hussamuddin: Jangan tunggu 2057 untuk mula memikirkan #Malaysia100, kita bermula sekarang. Dialog nasional, pemikiran kritis, tak apa berbeza kerana impian kita tetap sama.

Tindakan harus bermula hari ini, kita mungkin mempunyai latar belakang, kaum, agama dan pandangan politik yang berbeza tetapi impian kita tetap sama untuk Malaysia yang jauh lebih baik daripada hari ini. #Malaysia100 milik kita semua, 30 tahun masa yang ada untuk membina Malaysia pada usia 100 tahun merdeka.

Artikel berkaitan: Tunku Zain Al-‘Abidin Lambang Putera Negeri Sembilan Berpendidikan Tinggi, Didikan Istana Bentuk Integriti & Empati

Share
Published by
Norzalina