Patutlah dUCkscarves makin digilai fashionista dan para hijabi. Selain rekaan skaf yang eksklusif dan versatil, label terkenal ini juga bijak memikat perhatian penggemar fesyen terutamanya dalam kalangan wanita dengan cara yang cukup kreatif. Mana tidaknya, pada pelancaran butik kelima dUCk di 1 Utama Shopping Centre baru-baru ini… jenama hijab mewah berkenaan menyerlahkan keunikan identiti mereka dengan menghias ruang butik menggunakan konsep library atau perpustakaan.
IKLAN
Lazimnya, apabila masuk ke perpustakaan… pengunjung dihidangkan dengan pelbagai himpunan buku dan bahan bacaan. Namun berbeza pula situasinya di ‘library’ dUCk. Rak tujuh tingkat yang ada di sebelah kiri butik tatkala melangkah masuk, tersusun kemas dengan kotak dUCkscarves berwarna ungu. Sekaligus mencerminkan refleksi susunan buku seolah-olah seperti berada di dalam perpustakaan sebenar.
Di samping suami yang setia menyokong usaha Vivy Yusof
Selepas pembukaan butik dUCk di Pavilion, Suria KLCC dan Haji Lane di Singapura… pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya menjadi lokasi pilihan terbaru dUCk. Sebelum ini dUCk pernah mengetengahkan tema butik berinspirasikan ruang tamu, bilik mandi, loteng dan walk-in closet.
Selain berjaya mencetuskan elemen butik yang luar biasa daripada kebiasaan, butik dUCk ala ‘library’ di 1 Utama ini juga diserikan dengan sudut khas untuk koleksi The dUCk Print dan Limited Edition. Lebih istimewa, sempena pelancaran butik terbaru ini… dUCk turut mengeluarkan inner hijab terkini yang dihasilkan menerusi nanotechnology bertujuan membunuh bakteria, menghilangkan bau dan membuatkan pemakaian inner hijab lebih selesa.
Lisa Surihani, antara selebriti yang hadir memeriahkan pembukaan dUCk 1 Utama
Tidak sekadar menghimpunkan skaf dan inner, butik dUCk 1 Utama juga menawarkan seleksi rangkaian produk dUCk. Daripada beg tangan, aksesori, sehinggalah ke produk kosmetik… semuanya ada di sini. Rambang mata dibuatnya!
IKLAN
Menurut Vivy Yusof iaitu pengasas The dUCk Group, “Modesty is more than just a statement these days, it’s lifestyle. Sebagai individu yang mewakili modern modesty woman, sokongan dan minat anda terhadap dUCk sangat mengharukan. Impian untuk membuka butik dUCk kelima ini akhirnya menjadi kenyataan dan saya amat gembira kerana kini anda boleh memiliki produk dUCk dengan mudah.”
IKLAN
Ini merupakan tahun kelima jenama dUCk diasaskan dan daripada empat juta helaian skaf berjaya dijual di serata dunia, kini empayar dUCk terus berkembang dengan variasi produk terbaru termasuk kosmetik, aksesori, beg tangan, telekung, alat tulis dan sebagainya.
Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajjah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan cahaya mata kedua mereka di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya pasangan suami isteri ini yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya dan percaya ia adalah keputusan terbaik mereka. Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa.. Hajjah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan.
Mengakui lebih selesa disapa Hajjah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan aktres berusia 35 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab. Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu Ogos lalu.. Hajjah Fouziah secara terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu.. anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Zaheen Yusof
Ikutkan esok dah nak pegi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan Hajjah Fouziah tidak hanya terhenti di situ. Meskipun pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Hajjah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui Hajjah Fouziah dan suami saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji.
Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka. Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina.
Bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar. Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam. Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, mereka kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Hajjah Fouziah dan kumpulan jemaahnya ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 haribulan Ogos.. ikutkan 17 haribulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan sukarnya to get my ‘Hajjah’,” akhiri Datin Hajjah Fouziah.
Perkongsian Datin Hajjah Fouziah ini jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.
Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan mahal ‘harga’nya! Dia mengurniakan petunjuk ke arah kebaikan kepada sesiapa pun hamba yang disukai. Maka bersyukurlah kerana Allah masih mengingati diri kita. Berita penghijrahan anak kepada cef terkemuka negara, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama Chef Wan ini nyata disambut syukur peminat dan rakan artis. Iyalah, benda baik memang patut diuar-uarkan.
Bukan apa… selain menyokong usaha murni sesama saudara Islam, diharapkan agar kisah penghijrahan Serina dapat suntik inspirasi kepada kaum muslimah lain untuk menggalakkan pemakaian hijab di samping berusaha menjadi insan lebih baik.
Meniti usia 36 tahun, aktres yang pernah membintangi filem Mr Cinderella ini terbuka berkongsi kegembiraan melalui episod cukup bermakna ini bersama para peminat di IG miliknya sejak semalam, 17 Jun 2019.
Ujarnya, “Alhamdulillah… sempena bulan Syawal yang mulia, Serina mengambil kesempatan ini nak umumkan I dah berhijab sepenuhnya. Memang bukan mudah nak bertekad. Tapi perlu ada pengorbanan dan guru untuk beri tunjuk ajar, serta semangat dan dorongan dari keluarga dan sahabat tersayang.
Terima kasih kepada Ustazah Asma Harun kerana banyak memberi inspirasi dan ilmu. Doakan Serina istiqamah. Sama-sama kita perbaiki kelemahan diri untuk jadi insan lebih sempurna.”
Dalam posting yang dibanjiri dengan komen positif netizen itu, Serina turut berkongsi foto terbarunya mengenakan hijab. Anggun berselendang polos berwarna kelabu dengan persalinan minimalis rona maroon sambil berlatarbelakangkan suasana masjid, terserlah wajah tenang dan gembira Serina dalam usahanya untuk menutup aurat.
Tak mengapa, biar perlahan-lahan. Yang penting, sentiasa ada niat untuk menjadi insan lebih baik dan menutup aurat dengan sempurna buat selama-lamanya. Antara rakan artis yang turut berasa gembira dengan perubahan usahawan Pengasas Serina RTW Fashion ini termasuk Datin Rebecca Nur Islam, Zakiah Anas, Datin Emylia Rosnaida, Azza Elite, Faradhiya dan ramai lagi.
Selain berlakon dan mengacara, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef O’luanaigh dan Isabella Saffiya O’luanaigh yang masing-masing berusia 8 dan 7 tahun ini juga aktif menceburi bidang keusahawanan.
Kesemua lima penumpang kapal selam Titan yang dalam perjalanan untuk meneroka sisa bangkai kapal persiaran mewah, Titanic dilaporkan telah meninggal dunia.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, kapal selam berkenaan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu itu dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic.
Kapal selam, yang dikenali sebagai Titan, memulakan penurunannya pada hari Ahad untuk meneroka Titanic dengan bekalan sokongan oksigen selama kira-kira 96 jam.
Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampiran Titanic sekali gus menjadi petunjuk Titan telah berakhir di Laut Atlantik.
Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.
Dalam perkembangan sama, syarikat yang mengedalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, dipercayai telah meninggal dunia.
Empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.
“Dengan penuh rasa duka, kami kini mempercayai bahawa CEO kami, Stockton Rush, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding, dan Paul-Henri Nargeolet, telah hilang,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dawood merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain dan anaknya berusia 19 tahun.
Harding, 58, pula seorang billionair Britain, manakala, Nargeolet merupakan seorang peneroka berusia 77 tahun dari Perancis.
“Mereka adalah pengembara sejati yang berkongsi semangat pengembaraan yang unik, dan semangat yang mendalam dalam meneroka dan melindungi lautan dunia. Hati kami bersama lima jiwa ini dan setiap ahli keluarga mereka dalam masa yang tragis ini,” kata OceanGate lagi.
OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.
Kapal selam OceanGate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.
Bagaimanapun, OceanGate tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahkan kesemua penumpang meninggal dunia.