Main Badminton Di Kilang Manisan Tempat Kerja Bapa Masa Kecil, Kini Ratchanok Intanon Huni Ranking Ke-7 Dunia!

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Siapa sangka, kanak-kanak kecil yang dahulu main badminton di kilang tempat ibu bapanya bekerja kini merupakan pemain badminton wanita yang menghuni ranking ketujuh dunia! Ratchanok Intanon bukan hanya menjadi kebanggaan rakyat Thailand malah bakat sebagai jaguh badminton meraih perhatian peminat sukan antarabangsa.  

Meniti usia 31 tahun, Ratchanok menerusi temu bual bersama BWF mendedahkan dia mula bermain badminton ketika usia enam tahun di Banthongyord Badminton School di Thailand. Ketika itu bapanya bekerja di kilang manisan terkenal Thailand milik Kamala Thongkorn yang juga pengasas Banthongyord Badminton School ditubuhkan pada 1991.

Artikel https://www.nona.my/23-tahun-kahwin-datuk-rashid-sidek-ada-anak-autism-asbab-datin-azehan-jadi-pengusaha-tadika-special-needs/

Ratchanok Intanon Kebanggaan Thailand

Disebabkan Ratchanok Intanon sering berada di kawasan kilang dan terdedah kepada bahaya, Kamala membenarkan dia dan kanak-kanak lain bermain di gelanggang badminton yang diusahakan bagi memastikan keselamatan mereka seterusnya terhindar daripada kecederaan.  

Dari situ bakat Ratchanok yang dikenali sebagai May kian terserlah. Dia menjadi pemain termuda memenangi World Junior Championship pada usia 14 tahun. Wanita aktif ini sedar masa depannya dalam bidang sukan badminton mampu membawa keluarganya daripada kemiskinan.  

Berkat usaha keras dan tidak kenal putus asa, atlet Thailand ini mencipta sejarah memenangi gelaran World Junior selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2009, 2010 dan 2011.  

Nama Ratchanok Intanon kian dikenali dunia apabila dia dinobat selaku pemain perseorangan wanita termuda memenangi BWF World Championship pada tahun 2013 ketika berusia 18 tahun.

Langit tidak selalunya cerah, kehidupan Ratchanok tiba-tiba ‘kelam’ apabila ibunya Kamphan Suwannasara dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada usia 48 tahun, 19 Ogos 2021.

Ratchanok Intanon Kehilangan Ibu

Semangat atlet ini bagai ‘diragut’ kerana ibunya merupakan kekuatan Ratchanok sepanjang kariernya sebagai atlet profesional badminton.  

Dalam hantaran di media sosial, Ratchanok menzahirkan rasa sebak mengenangkan ketiadaan ibu di sisi namun terus bangkit mendepani hari mendatang.  

“2021 adalah tahun yang dipenuhi dengan kesedihan selama setengah tahun selepas itu. Saya telah menghadapi banyak perkara tetapi ini mungkin satu ujian bagi saya dalam hidup untuk melihat sama ada saya boleh menjadi lebih kuat dan bersedia untuk tanggungjawab kelak. 

Ya, hidup tidak mudah sama sekali. Tetapi saya mesti berterima kasih kepada orang-orang di sekeliling saya yang sentiasa menyokong dan menggalakkan saya apabila saya hampir jatuh.”

Sebelum ini Ratchanok Intanon pernah memberi bayangan akan bersara selepas temasya Sukan Olimpik Paris. Namun sehingga ke hari ini, dia masih aktif mengharumkan nama negara tercinta dan menduduki tangga ketujuh dunia.  

Share
Published by
Suzi