Makan Laut Bercengkerang, Tip Memilih dan Memasak Yang Perlu Anda Ketahui

Jika anda bukan peminat setia makanan laut, pasti sukar mengenal pasti jenis kerang-kerangan yang ada di Malaysia. Apabila menyentuh perihal kerang, ramai yang membayangkan hidupan laut tersebut memiliki cangkerang. Itu adalah salah satu sifat fizikal kerang namun ada banyak lagi yang harus diketahui sebelum membeli hidangan laut ini.

Terdapat tiga habitat yang didiami hidupan laut ini iaitu di kawasan berlumpur, berpasir dan ada yang hidup dengan melekap di celah batu atau pangkal pokok. Antara jenis kerang yang mendiami kawasan berlumpur termasuk lokan, kerang dan mentarang. Sementara di kawasan berpasir pula seperti remis, pepahat atau dikenali dengan nama kerang buluh, etok, lala, retak seribu dan kekapis. Begitu juga tiram, kupang dan siput sedut yang hidup dengan cara melekap di sebalik batu dan pokok.

KATEGORI KERANG

Kerang-kerangan mempunyai cangkerang tetapi ia bukan ikan. Kebanyakan daripada kerang ini tergolong dalam kumpulan moluska yang menyerupai siput. Cangkerang melindunginya daripada panas matahari, ombak dan musuh. Hidupan laut seperti ketam, udang karang dan udang juga ada kalanya digelar kerang-kerangan walaupun ia haiwan krustasia dan bukan moluska.

  1. Kerang

Kerang yang biasa dinikmati dan paling mudah didapati di Malaysia. Ada yang mengenali hidupan ini sebagai kerang darah atau kerang dara. Memiliki cangkerang berwarna putih kecoklatan, berbentuk seperti hati dan bersimetri serta tetulang di kulit luar. Lazimnya dimasak dengan cara direbus, kukus atau goreng dan mempunyai daging berwarna kemerahan di dalamnya.

  1. Kerang bambu

Juga dikenali sebagai kerang buluh kerana cangkerang berwarna putih kecoklatan dan berbentuk panjang seperti buluh. Isinya berwarna putih dan dimasak dengan cara menumis.

  1. Kupang

Kupang atau kerang hijau memiliki cangkerang hijau kehitaman dan isi berwarna oren terang. Saiz dan bentuk kupang lebih besar berbanding kerang. Sering menjadi sajian yang dimasak secara tumisan, goreng atau bahan pelengkap sup.

  1. Tiram

Memiliki kulit cangkerang yang tidak sekata dan agak menggerutu. Dagingnya rendah kalori tetapi kaya dengan vitamin dan kalsium. Tiram juga mempunyai kulit cangkerang kelabu kehitaman dan isi tiram turut diproses menjadi sos.

  1. Kekapis

Kulit cangkerang yang nipis, besar berbanding kerang dan rupa seakan kipas serta berwarna terang. Isinya berwarna putih atau oren terang selain dikenali dengan nama scallops.

TIP MEMILIH & MEMASAK

  • Ciri-ciri kerang yang segar adalah seperti tidak berbau busuk, tidak mempunyai lendir dan cangkerangnya masih tertutup rapat. Jika membeli kerang yang sudah dikupas kulit, pastikan isinya masih terasa kenyal.
  • Bersihkan kerang dengan merendamnya dalam air garam. Ia akan membuatkan pori-pori kerang terbuka dan kotoran pada kulit kerang dikeluarkan.
  • Pastikan kerang disimpan dalam bekas bertutup rapat dan diletakkan dalam peti sejuk bahagian beku jika tidak mahu memasaknya lagi.
  • Kerang boleh disimpan dalam dua minggu atau sebulan tetapi jangan menyimpan kerang dengan merendamnya dalam air kerana akan menghasilkan bau kurang enak.
  • Kerang yang dikukus hanya memerlukan masa selama 30 minit sahaja. Jangan kukus terlalu lama kerana boleh menyebabkan kerang lembik.

 

 

 

 

 

IKLAN
Share