Malaysia Juara Sepak Takraw, Datin Anne Ngasri Syukur Rai Kemenangan Pasukan & Suami Datuk Sumali Julang Piala Dunia ISTAF!

Tahniah buat Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Mohd Reduan atas kejayaan pasukan negara menjulang Piala Dunia Sepak Takraw (ISTAF) 2026 baru-baru ini.

Selaku isteri kepada Datuk Sumali pastinya Datin Anne Ngasri menjadi antara individu paling gembira dengan pencapaian itu selepas menyaksikan pengorbanan dan usaha keras suami membawa pasukan sepak takraw ke tahap lebih tinggi membuahkan hasil.

Artikel https://www.nona.my/insan-yang-sangat-baik-budi-datin-anne-ngasri-tuju-ucapan-istimewa-buat-suami-sempena-anniversary-ke-13/ 

Datin Anne Ngasri Bangga Kejayaan Suami Datuk Sumali

Piala Dunia International Sepaktakraw Federation (ISTAF) berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dan melabuhkan tirai pada 23 Mei lalu.

Pertemuan Malaysia dengan seteru utama, Thailand di peringkat final nyata menggamatkan situasi.

Namun drama kontroversi Thailand yang membantah keputusan pengadil perlawanan, Mohammed Radhi Che Mai ketika kedudukan terikat 1-1 dalam regu ketiga dan protes tidak meneruskan permainan menyebabkan penyertaan mereka dibatalkan.  

Ia sekaligus memuktamadkan Malaysia selaku juara acara regu berpasukan. Bangga dan bersyukur dengan pencapaian itu, Datin Anne berkongsi momen istimewa berkenaan di media sosial miliknya.  

“Alhamdulillah Ya Allah. Saya sangat percaya setiap kemenangan hadir hanya dengan izin Allah SWT. Bila Allah izinkan, tiada siapa mampu menghalang rezeki kemenangan itu. 

Tahniah Pasukan Regu Malaysia. Anda telah membuktikan Malaysia mampu mempertahankan kejuaraan dengan penuh pengorbanan, disiplin dan semangat juang demi negara.

Sedikit kecewa dengan apa yang berlaku dalam pelawanan ini. Dalam sukan, menang kalah itu biasa. Tetapi rasa hormat kepada keputusan pengadil dan semangat kesukanan sangat penting.

Malaysia sendiri pernah melalui kekalahan selama 34 tahun, namun kami tetap terus berjuang dan menghormati permainan walau dalam keadaan sukar.”

Tambahnya lagi, “Apa pun yang berlaku, kemenangan ini milik Malaysia. Terima kasih rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan semangat yang tidak pernah putus buat pasukan sepak takraw negara. Menang dengan adab lebih tinggi nilainya daripada kemenangan tanpa hormat.”

Datuk Sumali Arkitek Pasukan Sepak Takraw Negara

Komitmen ditunjukkan Datuk Sumali sebagai Presiden PSM yang dikatakan arkitek kebangkitan sepak takraw negara hingga berjaya meraih pingat emas temasya sukan SEA yang lalu mendapat perhatian ramai pihak.  

Atas kejayaan itu, Datuk Sumali dinobat sebagai Penerima Anugerah Kepimpinan Sukan 2025 di Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) pada 19 Mei lepas.  

Datuk Sumali dan Datin Anne Ngasri atau nama penuhnya Naszriah Ngasri disatukan sebagai suami isteri pada 21 Disember 2012.  

Hasil perkongsian hidup selama 13 tahun, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Suri Harraz dan Nefa Naura. 

Menerusi perkahwinan terdahulu, Datin Anne Ngasri turut mempunyai tiga orang anak iaitu Abdul Warits, Abdul Wafri dan Nazharah Afroza.

Sementara suami pula memiliki seorang anak iaitu Suffian Akim dalam perkahwinan pertama. 

Semoga rumah tangga Datin Anne Ngasri dan Datuk Sumali sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Juga, melakar lebih banyak pencapaian membanggakan demi mencetus inspirasi dan semangat buat masyarakat. 

Share
Published by
Suzi