
Malaysia #QuranHour 2026
Malaysia #QuranHour 2026 menjadi satu momen istimewa untuk kita meluangkan 1 jam bersama al-Quran menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69. Pada 30 Ogos ini, dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang, ambillah sedikit ruang daripada kesibukan untuk membaca, memahami dan menghayati kalam Allah, sambil menyelami makna kemerdekaan yang bukan sahaja diraikan, tetapi dirasakan dalam jiwa.
Bertemakan ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’, gerakan ini mengangkat Surah al-Muzzammil dan Surah al-Balad sebagai panduan membina kekuatan jiwa, ketahanan menghadapi cabaran serta rasa peduli terhadap sesama manusia.
Bagi wanita khususnya, mesej ini cukup dekat. Dalam kehidupan yang menuntut kita menjadi ibu, isteri, anak, pemimpin, profesional mahupun penjaga keluarga, ada waktunya jiwa juga perlu diberi ruang untuk kembali kepada sumber kekuatan.
Lokasi perdana Malaysia #QuranHour 2026 ialah Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur. Program ini turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.
🗓️ 30 Ogos 2026 (Ahad)
⏰ 12.00 tengah hari – 1.00 petang
📍 Masjid Al Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur
Bagi yang berada di luar Kuala Lumpur, Malaysia #QuranHour 2026 juga akan berlangsung di masjid, surau, sekolah, universiti, pejabat, institusi, komuniti, kediaman dan di mana sahaja rakyat Malaysia berada.
Penglibatan generasi muda turut bermula lebih awal pada Jumaat menerusi sekolah-sekolah di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala pelajar di Kelantan dan Terengganu menyertainya di lokasi utama negeri masing-masing.
Istimewanya, Malaysia #QuranHour merupakan satu-satunya program berbentuk kerohanian dan gerakan dakwah nasional yang diangkat sebagai program sisipan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Surah al-Muzzammil membawa manusia kembali membina kekuatan melalui hubungan dengan Allah SWT. Surah al-Balad pula mengingatkan bahawa kehidupan tidak pernah terpisah daripada kabad, yakni perjuangan, kesukaran dan pendakian.
Jalan keluar bukan dengan memikirkan diri sendiri semata-mata. Al-Quran mendidik manusia supaya membantu mereka yang terbelenggu, memberi makan ketika kelaparan, membela golongan memerlukan serta saling berpesan dengan kesabaran dan kasih sayang.
Ringkasnya, mesej dua surah ini cukup kuat yakni “Kukuhkan jiwa, bingkas menghadapi cabaran dan bergerak membawa manfaat kepada manusia.”
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Puan Marhaini Yusoff, turut membawa satu persoalan yang wajar direnungkan menjelang Hari Kebangsaan… “Setelah 69 tahun merdeka, apakah jiwa kita juga benar-benar merdeka?”
Kemerdekaan hakiki bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi turut menuntut kekuatan jiwa, nilai, integriti dan kepedulian terhadap masyarakat.
Antara pengisian utama ialah ‘Pesan Ulama untuk Negara’ oleh YB Dato’ Dr. Haji Nooh bin Gadot, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Ia mengangkat seruan membina pemimpin dan rakyat dengan sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah, memperkukuh perpaduan serta membudayakan tadabbur, muhasabah dan penyucian jiwa.
Pengasas WUIF, Dato’ Hussamuddin Yaacub pula menegaskan pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi tanpa pembinaan akhlak rakyat.
“Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu difahami dan diamalkan sehingga membentuk keluarga yang baik, masyarakat yang harmoni dan negara yang diberkati.”
Pesannya juga jelas, ‘Buat Kerana Allah.’ Perubahan negara bermula daripada diri, kemudian keluarga, masyarakat dan akhirnya membentuk sebuah negara.
Jadi pada 30 Ogos ini, hadiahkan satu jam daripada 24 jam kita untuk sesuatu yang lebih besar. Hadir ke Masjid Al-Sultan Abdullah atau laksanakan Malaysia #QuranHour di mana sahaja anda berada.
Kerana mencintai Malaysia bukan hanya tentang mengibarkan Jalur Gemilang. Ia juga tentang membina jiwa manusia yang akan menentukan wajah Malaysia pada masa hadapan.
Malaysia #QuranHour 2026 dianjurkan oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dengan kerjasama Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta Kementerian Komunikasi Malaysia.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) ialah penyiar rasmi, manakala Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Karya Bestari dan Sinar Harian merupakan rakan sinergi utama.
Program ini turut menerima tajaan Able Diaries Sdn. Bhd. dan Syarikat Faiza Sdn. Bhd., serta sokongan Majlis Perpustakaan Awam Malaysia (MPAM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Rumah Ngaji seluruh Malaysia, Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, Bernama TV, Media Prima Berhad, Ideaktiv, Denai Hati, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Santai Travel, Malaysia Gazette dan Akademi Sinergi Ikhlas.
Artikel berkaitan: Tunku Zain Al-‘Abidin Lambang Putera Negeri Sembilan Berpendidikan Tinggi, Didikan Istana Bentuk Integriti & Empati
This website uses cookies.