Miliki 12 Cawangan Kedai Kopi, Adam Corrie Terima Anugerah Tokoh Muallaf Atas Kejayaan Dalam Bisnes!

Rezeki tak pernah salah alamat. Berkat usaha dan izin Allah, kejayaan Adam Corrie dalam perniagaan meraih perhatian pelbagai pihak. Terbaharu, pelakon ini melakar pencapaian tersendiri apabila menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Muallaf Bidang Ekonomi.

Penganugerahan tersebut diberikan kepada Adam Corrie Lee Abdullah sempena Majlis Konvensyen Muallaf Madani Wilayah Persekutuan pada 19 November lalu. Atas kejayaan itu, usahawan ini membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta sijil.

Artikel https://www.nona.my/juara-masterchef-dari-doktor-gigi-kini-dr-ezani-kejar-minat-dunia-kulinari-bergelar-pengusaha-pastribella/

Adam Corrie Terima Anugerah

Segak bersongkok dan mengenakan sut rona hitam, suami kepada Fazema Mohd Fuad ini memuat naik momen istimewa berkenaan di media sosial. Menerusi perkongsian di Instagram, bintang filem KL Gangster tersebut meluahkan rasa syukur.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah. Semalam saya diberi penghormatan menerima Anugerah Tokoh Muallaf – Bidang Ekonomi.

Ini merupakan anugerah kedua selepas menerima Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita peringkat Negeri Selangor pada tahun 2017.

Setiap pengiktirafan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik semua yang sentiasa mendoakan, menguatkan, dan membuka ruang untuk saya terus berkhidmat.

Semoga Allah memberkati setiap langkah, menjadikan perjalanan ini sebagai asbab kebaikan kepada lebih ramai saudara baru yang sedang mencari kekuatan & sinar hidayah. Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.”

Bisnes Adam Corrie

Selain masih aktif menerima tawaran berlakon, Pengerusi Kembara Iman Saudara Baru ini semakin rancak mengembangkan sayap perniagaan makanan miliknya iaitu Kopihut. Sehingga kini, Kopihut sudah mempunyai 11 cawangan di Lembah Klang dan sebuah cawangan di Negeri Sembilan.

Tidak hanya mengusahakan bisnes makanan dan minuman, dia juga merupakan pemilik label Adam Corrie.

11 November lepas, aktor ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-57. Figura ini mendirikan rumah tangga dengan Fazema Mohd Fuad pada 21 November 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Adam Fateh Lee yang kini berusia tujuh tahun.

Share
Published by
Suzi