Berita

Muabellaz Terima Anugerah Tokoh Belia, Inspirasi Hebat Anak Kedah Bina Empayar Bisnes

Usahawan kosmetik dan pempengaruh digital terkenal, Muabellaz, sekali lagi mencipta kebanggaan apabila menerima Anugerah Tokoh Belia dalam Program Sejenak Bersama Menteri Belia dan Sukan bertemakan ‘Dari Akar Umbi Ke Jaguh Dunia’. Pengiktirafan tersebut membuktikan kejayaan yang dibina oleh anak jati Kedah ini bukan sekadar dalam dunia perniagaan, malah memberi impak besar kepada pembangunan belia serta keusahawanan negara.

Program yang berlangsung pada 9 Julai 2026 di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah itu merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah (JBSNK) dengan kerjasama INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA). Hampir 1,200 peserta dari seluruh Wilayah Utara menghadiri program berprestij tersebut.

Muabellaz
Muabellaz
Muabellaz

Lebih membanggakan, Muabellaz atau nama sebenarnya Nur Nabilah Zulyadaini diberi penghormatan berkongsi pentas bersama Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari serta atlet silat kebangsaan, Mohd Al-Jufferi Jamari. Sesi perkongsian itu memberi penekanan kepada kepimpinan, pembangunan bakat, semangat juang dan kecemerlangan belia.

Selesai menyampaikan perkongsian, Bellaz yang tampil anggun mengenakan persalinan baju kurung rona maroon rekaan Seth & Luna berkongsi rasa syukur menerusi media sosial.

“Alhamdulillah. Selesai sudah program ‘Akar Umbi Ke Jaguh Dunia’ bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah. Hampir 1200 orang dalam dewan tadi. Kami ketaq laa nak berucap. Alhamdulillah selesai dah.”

Walaupun sudah biasa berinteraksi dengan jutaan pengikut di media sosial, pengakuannya yang masih berasa gementar ketika berucap di hadapan ribuan peserta memperlihatkan sifat rendah diri yang menjadi antara kekuatan personalitinya.

Muabellaz Bina Empayar Perniagaan Di Kedah

Berasal dari Tanjung Dawai, Kedah, Bellaz kini muncul sebagai antara usahawan wanita paling berjaya dalam industri kecantikan tempatan.

Pada usia 34 tahun, beliau bukan sahaja dikenali sebagai pencipta kandungan digital, malah berjaya membina empayar perniagaan menerusi jenama Bellaz Beauty yang menawarkan pelbagai produk kosmetik kepada pengguna di seluruh negara.

Muabellaz
Muabellaz
Muabellaz

Selain industri kecantikan, beliau turut mengembangkan perniagaan dalam sektor makanan dengan menjual karipap serta pelbagai pencuci mulut yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Kejayaannya menjadi lebih bermakna apabila Bellaz tidak bergantung kepada populariti semata-mata. Sebaliknya, beliau membina kepercayaan pengguna melalui kandungan yang konsisten, komunikasi yang jujur serta hubungan rapat bersama jutaan pengikut di media sosial.

Sebenarnya, pengiktirafan terhadap Muabellaz bukanlah sesuatu yang baharu. Pada tahun 2018, beliau pernah menerima Ikon Belia Negeri Kedah sebelum sekali lagi diberi penghormatan sebagai Tokoh Belia pada tahun ini.

Muabellaz

Perjalanan Muabellaz Dari LIVE Mekap Ke Jenama Nasional

Perjalanan ibu anak empat itu bermula sekitar tahun 2010 apabila beliau mula berkongsi tutorial solekan menerusi media sosial menggunakan akaun Make Up by Bellaz.

Ketika itu, kandungannya cukup sederhana. Selain demonstrasi mekap, beliau turut berkongsi aktiviti harian seperti memasak, kehidupan di kampung serta rutin bersama keluarga. Menariknya, kebanyakan video awal tersebut dirakam sendiri oleh suaminya yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kerjayanya.

Apa yang membezakan Bellaz daripada ramai pencipta kandungan lain ialah keaslian personalitinya. Dengan loghat utara yang pekat, gaya bersahaja serta sikap yang tidak dibuat-buat, beliau berjaya membina hubungan yang begitu rapat dengan para pengikut.

Hasil konsistensi selama lebih sedekad, Bellaz kini memiliki lebih 3 juta pengikut di Facebook, 3.9 juta di TikTok serta sekitar 2.5 juta pengikut di Instagram.

Pengaruh tersebut membuka peluang kerjasama bersama pelbagai jenama kosmetik tempatan sebelum beliau mengukuhkan lagi kedudukannya melalui penubuhan Bellaz Beauty.

Fenomena Bellaz juga jelas kelihatan setiap kali beliau turun padang membuka gerai jualan. Kehadiran ribuan peminat yang sanggup beratur panjang semata-mata mahu bertemu dengannya membuktikan kekuatan jenama yang dibina hasil kepercayaan dan hubungan tulen bersama pelanggan.

Muabellaz
Muabellaz

Muabellaz Jadi Inspirasi Belia Malaysia

Program ‘Dari Akar Umbi Ke Jaguh Dunia’ diadakan bagi memperkukuh kefahaman mengenai kepimpinan, profesionalisme, pembangunan belia serta pembentukan jati diri dalam kalangan peserta.

Kehadiran Muabellaz sebagai panel jemputan memperlihatkan bahawa dunia keusahawanan digital kini diiktiraf sebagai salah satu platform penting dalam melahirkan ikon belia yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Muabellaz

Lebih daripada sekadar seorang usahawan kosmetik, Bellaz membuktikan kejayaan boleh dibina melalui keberanian untuk bermula, kesungguhan mengekalkan kualiti serta kesediaan untuk terus belajar mengikut perubahan zaman.

Pengiktirafan sebagai Tokoh Belia bukan sekadar meraikan pencapaian peribadinya, malah menjadi simbol bahawa anak muda dari negeri seperti Kedah juga mampu membina jenama bertaraf nasional, membuka peluang pekerjaan dan menjadi contoh kepada generasi seterusnya bahawa impian besar boleh bermula daripada langkah yang kecil.

Artikel berkaitan: Tun Dr Mahathir Mohamad Cecah 101 Tahun, Saksi Perubahan Negara & Lakar Sebahagian Sejarah Malaysia

Share
Published by
Norzalina