
Simple je orangnya Fasha Sandha! Walau berstatus selebriti terkenal namun dia bijak menyesuaikan diri ketika beraya di kampung baru-baru ini. Ternyata penampilan sederhana Fasha sewaktu pulang ke kampung halaman suami tercinta di Rembau, Negeri Sembilan menarik perhatian peminat.
Tidak mengenakan pakaian glamor, isteri Aidil Aziz ini kelihatan cukup selesa dengan gaya ringkas di samping keluarga. Apatah lagi dia pandai bergaul dengan ahli keluarga mentua dan bawa diri.
Ucap Fasha, “Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan Batin buat semua followers kesayanganku.”




Bahkan foto perkongsian Fasha yang tampil tanpa secalit mekap, bertudung dan T-shirt saja turut menjadi bualan ramai. Rata-rata peminat memuji sikap aktres jelita ini yang tidak memilih pangkat dan status.
Tak ramai selebriti yang berani tampil dengan wajah polos macam Fasha!
Malah sepanjang berada di kampung, ibu tiga cahaya mata ini tidak kekok mengenakan tudung. Terserlah keayuan kakak Elisya Sandha ini.





Kongsi Fasha di Instagram, “Raya raya raya. Kisah semalam, makan gelak makan gelak. Memang gila. Balik KL je tengok berat badan dah naik 2.5kg apakah??? Nak turun bukan main seksa, nak naik laju je kan.”
Ramai juga yang terpegun dengan penampilan pelakon ini yang makin ramping. Kalau dulu, nampak tubuhnya berisi sekarang Fasha makin slim. Tak hairan pun sebab dia memang rajin bersenam.
Pada 28 Mac lalu, Fasha genap berusia 39 tahun. Walau sudah meningkat umur lewat 30an, wajah cantiknya sentiasa menjadi bualan peminat.
Fasha Sandha bergelar isteri kepada Aidil Aziz pada 30 Mac 2019. Sebelum ini aktres filem Anak Mami Kembali ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli namun bercerai pada tahun 2016.


Menerusi perkahwinan terdahulu, Fasha dikurniakan dua anak iaitu Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma. Hasil perkongsian hidup bersama Aidil, mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Aisha Amaira.
4 WANITA BERKONGSI RAHSIA KEKAL JELITA DI USIA 40AN!

Age is just a number. Mungkin ada yang beranggapan apabila usia semakin meningkat, soal penampilan tidak diberi perhatian khusus. Tanggapan itu ternyata meleset kerana soal penampilan diri sememangnya menjadi elemen utama yang diberi perhatian oleh kebanyakan wanita. Tidak kira berapakah usia, soal penampilan menjadi penanda aras untuk menaikkan keyakinan diri di samping menjadi wanita lebih berketerampilan dan yakin berhadapan dengan pelbagai situasi.

Nama : Sue Lastri Maun
Umur : 46 Tahun
Pekerjaan : Suri Rumahtangga
Sejauh mana keprihatinan anda terhadap kecantikan?
SUE LASTRI : Saya amat mengambil berat soal kecantikan tubuh badan dan wajah. Saya beri perhatian pada setiap inci tubuh badan. kalau terlebih lemak, terkering, terkusam saya akan cepat-cepat mengambil langkah membaikpulih keadaan itu. Begitu juga dengan kecantikan wajah, saya akan belek wajah saya setiap hari dan setiap malam untuk memastikan tiada jerawat atau black head baru yg tumbuh.
Kongsi rutin penjagaan wajah yang anda amalkan?
SUE LASTRI : Saya amalkan penjagaan yang mudah sahaja tetapi tertib dan rapi. Mencuci, menyegar, melembap dan melindungi wajah dengan sunblock setiap hari. Sebulan atau 2 bulan sekali saya buat rawatan wajah.
Adakah anda seorang yang obses dengan kecantikan?
SUE LASTRI : Tidak juga. Saya suka pada kecantikan tetapi tidak sampai tahap obses. Bagi saya kesedaran untuk menjaga penampilan yang kemas dan menarik itu sudah memadai.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an?
SUE LASTRI : Saya bukanlah cantik sangat. Ramai lagi wanita seusia atau lebih berusia dari saya yang mempunyai tahap kecantikan yang hebat. Namun tidak saya sangkal masih terlalu ramai juga yang belum masuk 40an sudah tidak menjaga kecantikan diri. Saya tiada rahsia, semua saya kongsi di laman instagram saya. Saya melakukan aktiviti kecergasan dengan berjogging sejauh 6km setiap hari atau sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Saya akan memastikan diet yang seimbang, tidur yang cukup (setiap hari saya akan tidur pukul 10:00malam dan bangun pukul 6:00pagi), amalkan rutin penjagaan wajah dan sentiasa berfikiran positif.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda?
SUE LASTRI : Bagi saya kesihatan itu adalah kecantikan. Apabila kita selalu melakukan aktiviti kecergasan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat ia akan meningkatkan kualiti kehidupan kita. Pengaruh ini sangat besar kerana secara semulajadi kita akan kelihatan cantik, segar, bertenaga dan sistem kesihatan dalaman tubuh badan kita akan menambah keyakinan dan mungkin memancarkan kebahagiaan serta kecantikan di wajah.

PRIHATIN SOAL KECANTIKAN
Nama: Azlina Abdul Aziz
Umur: 44 (3 orang anak)
Pekerjaan: Surirumah
Sejauh mana keprihatinan anda terhadap kecantikan?
AZLINA: Bekerja di dalam bidang perhotelan bahagian jualan dan korporat selama 15 tahun sekaligus menyebabkan saya amat menitik beratkan penampilan kerana ia memerlukan saya keluar berjumpa dengan pelanggan korporat setiap hari. Tidak biasa keluar rumah jika tidak bersolek dan berkasut tumit tinggi, mungkin kerana sudah biasa. Walaupun saya telah meninggalkan bidang kerjaya ini beberapa bulan yang lalu, namun saya tetap pastikan penampilan perlu dititik beratkan.
Kongsi rutin penjagaan wajah yang anda amalkan.
AZLINA: Walaupun saya tidak mempunyai masalah kulit wajah tetapi saya akan pastikan wajah perlu disapukan dengan pelembap untuk mengelak kulit menjadi kering. Selain itu juga saya gemar beriadah seperti berbasikal atau jogging di kawasan berdekatan rumah kerana saya percaya wajah berasa segar apabila kita mengeluarkan peluh.
Adakah anda seorang yang obses dengan kecantikan?
AZLINA: Ya dan saya percaya umur bukan penghalang untuk seseorang kelihatan cantik dan bergaya. Keputusan drastik yang dibuat beberapa bulan lalu untuk meninggalkan kerjaya dan menjadi surirumah bukanlah alasan untuk kita tidak perlu menitikberat semua itu kerana ia mencerminkan keyakinan diri.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an
AZLINA: Saya percaya bangun tidur di awal pagi adalah kunci untuk kita kekal segar dan cantik.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda
AZLINA: Kerjaya di bidang perhotelan bahagian Corporate Sales selama 15 tahun semestinya banyak mempengaruhi penampilan harian. Namun rutin kerja yang tidak teratur menyebabkan rutin harian sebelum ini juga tidak teratur seperti makan tidak mengikut masa. Oleh itu, sekarang saya akan pastikan pengambilan makanan harus mengikut waktu.

OBSES SENAMAN UNTUK KEKAL CERGAS
Nama : Nik Faizah Nik Mahmood
Umur : 46
Pekerjaan : Pengurus Transformasi
Sejauh mana keprihatinan anda terhadap kecantikan?
NIK FAIZAH: Saya lebih kepada keprihatinan terhadap kesihatan kerana yakin bahawa kecantikan bermula dari tubuh badan yang sihat. Gaya hidup sihat dan pemakanan yang sederhana adalah di antara faktor utama bagi memastikan berat badan yang tidak berlebihan.
Kongsi rutin penjagaan wajah yang anda amalkan?
NIK FAIZAH: Saya tidak mempunyai rutin yang tetap bagi penjagaan wajah disebabkan kesibukan kerja di pejabat dan juga di rumah tanpa pembantu dalam pengurusan suami dan anak-anak. Tambah lagi, sebagai seorang pelajar PhD separuh masa, agak sukar untuk meluangkan masa “me time” bagi tujuan ini. Walaubagaimana pun, pelembap muka adalah penting bagi mengekalkan kelembapan kulit pada setiap pagi dan malam.
Adakah anda seorang yang obsess dengan kecantikan?
NIK FAIZAH: Kecantikan bagi saya memiliki kulit dan badan yang sihat. Lebih 20 tahun saya tidak membuat sebarang “facial”. Alhamdulillah, saya tidak banyak berbelanja bagi sesi “facial” yang biasanya mencecah ribuan ringgit. Terdapat banyak alternatif yang lain bagi mendapat kulit muka yang kelihatan segar. Solekan saya sangat minimal.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an?
NIK FAIZAH:Utamakan kesihatan dan sentiasa aktif dalam aktiviti bersukan. Pemakanan yang sederhana di antara faktor utama, walaubagaimana pun saya juga gemar “fast food” dan makanan mamak yang agak sukar dielakkan. Buah-buahan juga penting di dalam diet seharian terutamanya bagi orang-orang yang kurang makan sayur seperti saya. Saya juga akan makan ulam-ulaman yang dipercayai mempunyai khasiat yang boleh mengekalkan kecantikan walaupun di usia 40an.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda?
NIK FAIZAH: Saya akan cuba meluangkan masa untuk berlatih berlari dengan rakan sepejabat setiap minggu di sekeliling blok pejabat atau di taman yang berdekat. Saya juga mula mengamalkan penggunaan tangga dan kurangkan penggunaan lif. Matlamat harian adalah untuk mencapai 10,000 langkah setiap hari. Walaubagaimanapun, ternyata agak sukar untuk mencapai matlamat ini setiap hari disebabkan kesibukan kerja dan mesyuarat yang berpanjangan. Di hari minggu, saya akan cuba “slow jog” sekurang-kurangnya 4 – 5km jika tiada acara larian pada minggu tersebut. Untuk latihan “half marathon” (21km) atau “full marathon” (42km), saya akan berlatih berlari sekurang-kurangnya 8 – 10km untuk membina stamina dan mengurangkan risiko “injury” di hari larian sebenar.

UTAMAKAN KESIHATAN
Nama: Aliya Zulaikha Alias
Umur: 46 tahun
Pekerjaan: Executive Vice President, Enterprise Risk Management
Sejauh mana keperihatinan anda terhadap kecantikan?
ALIYA: Sebagai seorang wanita, sudah tentu saya menitik beratkan soal penampilan diri. Saya sentiasa cuba untuk memastikan supaya tatarias wajah dan pakaian sentiasa kemas serta sesuai dengan tempat, keadaan dan majlis.
Kongsi rutin penjagaan wajah yang anda amalkan?
ALIYA: Rutin penjagaan wajah saya sangat ringkas sebenarnya. Saya hanya menggunakan pencuci muka, scrub dan yang paling penting adalah krim pelembab. Dalam seminggu sekali atau dua kali saya akan memakai mask pada waktu malam selama 15-20 minit untuk mengekalkan kelembapan dan kesegaran kulit. Itu sahaja rutin saya. Saya tidak berkunjung ke pusat facial kerana bagi saya, rutin yang sedia ada adalah memadai untuk kulit wajah saya. Saya juga tidak menggunakan alat solek yang begitu tebal dalam kehidupan harian.
Adakah anda seorang yang obsess dengan kecantikan?
ALIYA :Nak kata obsess tu tidak la, but I love beautiful things dan menghargai wanita yang menjaga kecantikan mereka dengan rapi. Jadi saya cuba untuk always look presentable.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an?
ALIYA: Sentiasa aktifkan diri dengan pelbagai aktiviti sukan dan gembirakan diri bersama keluarga dan teman rapat.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda?
ALIYA: Saya amat menitikberatkan rutin kecergasan untuk memastikan saya sentiasa bertenaga. Saya ke gym setiap minggu untuk train bersama personal trainer yang melibatkan weight-training (angkat berat) untuk memastikan kecergasan tulang and juga aktiviti cardio (running) bersama suami di hujung minggu untuk mengekalkan kecergasan jantung. Selain dari itu, saya juga melakukan senaman yoga di rumah ataupun di studio. Saya mula melakukan senaman yoga sejak lebih kurang 13 tahun lalu dan saya amat berpuas hati dengan tahap kecergasan serta pengaliran darah yang lancar setelah melakukan yoga secara konsisten. Saya juga mengajar yoga secara sambilan setelah menerima sijil ‘Certified International Yoga Instructor’.
Harumnya Aroma Produk Ni, Tapi Tunggu…. Ach-ummmm! Nah, Jaga-Jaga Wangian Juga Sensitif Pada Kulit

Ramai mungkin tidak sedar yang mereka alah terhadap pewangi. Disebabkan fakta ini, maka semakin banyak jenama terkenal yang mengeluarkan produk tanpa pewangi kerana sesetengahnya sensitif pada kulit.
Pakar dermatologi kosmetik mengatakan bahawa punca utama alahan pada kulit adalah kerana PRODUK KOSMETIK ITU SENDIRI.
Bayangkan lebih 5,000 sebatian pewangi sintetik digunakan di dalam industri kecantikan dan kebanyakannya adalah BAHAN AKTIF yang bertujuan mengawal pigmentasi dan minyak wajah.
Disebabkan itu anda digalakkan untuk menukar produk penjagaan kulit yang tidak berasaskan pewangi bagi mengatasi keradangan.
Tiada Fungsi
- Pewangi biasanya dicampur ke dalam produk kecantikan untuk menutup bau semula jadi yang kurang menyenangkan.
- Walaupun ia memberi kepuasan kepada deria bau, tapi sebenarnya pewangi tersebut langsung tidak berfungsi.
- Pewangi boleh menyebabkan keradangan kulit, alahan, gatal-gatal dan bengkak pada wajah.
Langkah Mengatasi
- Periksa label dan senarai bahan yang digunakan.
- Walaupun produk tidak berbau, tapi ia masih mungkin mengandungi pewangi jika terdapat perkataan ‘parfum’ dalam senarai.
- Pewangi yang organik belum tentu baik untuk kulit. Lebih elakkan produk yang mengandunginya.
- Sebelum memilih sesuatu produk penjagaan kulit, lebih baik bertanya kepada pakar bagi mendapatkan keserasian dan mengelakkan masalah kulit sensitif. Norzalina Mohd Alias
Kacukan Melayu-Kanada, Ratu Gimnastik FARAH ANN Warisi Bakat & Gen Cantik Ibu Bapa!

Siapa yang tidak tertawan dengan personaliti menarik ratu gimnastik negara ini. Pesonanya cukup memukau. Malah, setiap gerak tari Farah Ann Abdul Hadi di gelanggang gimnastik bukan hanya menggetarkan jiwa atlet yang bertanding bahkan membuatkan penonton bersorak gembira dengan aksinya yang mempesona.
Sepanjang penglibatannya dalam arena sukan, Farah Ann berjaya meraih tujuh pingat emas di temasya Sukan SEA! Bukan calang-calang. Kejayaan itu sekaligus melonjakkan namanya hingga menjadi bualan dan kebanggaan negara sehingga sekarang. Kagum!
Kali terakhir Farah Ann membuat penampilan adalah di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Walau tidak berjaya membawa pulang pingat untuk negara namun persembahan bertenaga daripada atlet ini sudah cukup menggembirakan peminat sukan.




Baru-baru ini nama Farah Ann hangat diperkatakan apabila dia dikhabarkan bakal meninggalkan sukan gimnastik. Persoalan itu timbul selepas Farah Ann dilaporkan tidak lagi menjalani latihan di Bukit Jalil.
Malah perkara tersebut turut disahkan jurulatihnya, Ng Shu Wai yang memberitahu Farah Ann sudah berhenti berlatih bersama skuad kebangsaan sejak dua minggu lalu.
Menerusi perbualannya bersama wartawan Nadi Arena, dia seakan tidak menolak kemungkinan atlet berkenaan akan meninggalkan sukan gimnastik memandangkan dia pernah menyatakan hasrat untuk bersara selepas penampilannya di Sukan Olimpik Tokyo 2020.



Mengimbas kembali pembabitan awal Farah Ann dalam arena gimnastik, dia yang bakal berusia 28 tahun berkata sejak kecil ibu dan bapanya sudah mendedahkan mereka dua beradik dengan sukan gimnastik.
Tambah anak kepada pasangan Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon ini lagi, galakan untuk menceburi bidang berkenaan adalah disebabkan ibu bapanya turut datang dari latar belakang yang sama. Selain menyimpan impian menjadikan anak-anak sebagai atlet negara.




“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi. Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina pula kini merupakan atlet renang berirama negara.
Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili
Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” ujar gadis kelahiran Subang Jaya ini.


Tatkala ditanya mengapa dia memilih cabang sukan ini, Farah Ann ada jawapan tersendiri. “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel.
Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum.
Terbuka berkongsi sisi peribadi kepada umum, tanpa berselindung Farah Ann mendedahkan sikapnya yang tidak diketahui ramai. “Saya pun sama macam orang lain. Sebenarnya
saya seorang yang pemalu dan clumsy.”
Menjadikan Datuk Nicol David dan Datuk Pandelela Rinong sebagai idola, Farah Ann bercita-cita melibatkan diri dalam bidang media jika tidak lagi berada dalam bidang ini.