Cantik & Berjiwa Pejuang NADEEN AYOUB Wanita Palestin Pertama Terpilih Ke Miss Universe 2025

Finalis Miss Earth, Nadeen Ayoub bakal mewakili Palestin dalam pertandingan Miss Universe 2025 sekaligus mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya negara itu menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik antarabangsa.

Kredit Foto: nadeen.m.ayoub

Nadeen turut mencipta sejarah apabila menjadi wakil pertama dari Palestin yang menyertai Miss Earth dan berjaya tersenarai sebagai salah seorang daripada lima finalis teratas.

Terdahulu, Nadeen pernah menangguhkan penyertaannya dalam pertandingan antarabangsa disebabkan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin.

Namun kini bersedia untuk membawa suara bangsanya ke pentas dunia.

Perjalanan Hidup & Pendidikan

Dibesarkan di Palestin, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, Nadeen memiliki ijazah dalam bidang sastera dan psikologi.

Nadeen juga merupakan jurulatih kesihatan dan pemakanan bertauliah yang memberi tumpuan kepada kesihatan wanita, kesedaran terhadap alam sekitar serta mencabar stereotaip global terhadap rakyat Palestin dan masyarakat Arab.

Memperkasa Wanita Palestin

Nadeen turut menubuhkan Olive Green Academy, sebuah organisasi yang menyokong kelestarian dan memperkasa wanita Palestin menerusi pendidikan serta media digital.

“Saya bangga dapat menyuarakan aspirasi Palestin,” ungkap Nadeen.

Menurut Nadeen, platform Miss Universe memberi peluang untuknya bersuara demi kemanusiaan.

“Saya amat berbesar hati mempunyai platform ini untuk bersuara dan saya ingin memanfaatkannya bagi membantu sesama manusia khususnya mereka yang menderita di Gaza dan Palestin.”

Gaya & Identiti

Pada 13 Ogos 2025, Nadeen mengumumkan penyertaannya melalui media sosial dengan mengenakan gaun tradisional bersulam tatreez rekaan pereka Palestin terkenal, Hiba Abdelkarim.

Pereka tersebut turut dikenali kerana rekaannya pernah digayakan oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk Ratu Rania dari Jordan.

Penampilan ini menjadi simbol kebanggaan identiti Palestin yang dibawa Nadeen ke peringkat antarabangsa.

Keputusan untuk menyertai Miss Universe lahir daripada misinya untuk memanusiakan rakyat Palestin dan mencabar stereotaip global.

Nadeen berhasrat menunjukkan kepada dunia bahawa wanita Palestin bukan sahaja kuat dan cantik tetapi juga pemimpin, inovator, serta penggerak perubahan sosial.

BACA JUGA: Bergelar Miss Universe Indonesia 2013, Whulandary Tetap Kejar Ilmu Walau Dah Ada 2 Anak & Berjaya Genggam ‘Master’!

Sayidat Falasteen: Platform Filantropi & Inspirasi

Sejak penobatannya pada tahun 2022, Nadeen telah menumpukan banyak masa kepada Sayidat Falasteen, sebuah inisiatif filantropi dan media di bawah Miss Palestine Organisation.

Platform ini mengangkat martabat wanita Palestin dengan berkongsi kisah, menyokong perniagaan, dan menonjolkan impak positif yang mereka hasilkan di seluruh Palestin.

Dalam satu kenyataan, Nadeen menegaskan, selagi Palestin dilanda kesedihan khususnya di Gaza, dia akan terus menyuarakan suara rakyat.

“Saya mewakili setiap wanita dan kanak-kanak Palestin yang kekuatannya wajar dilihat oleh dunia.

“Ia lebih dari sekadar penderitaan. Kami adalah simbol kepada ketabahan, harapan dan degupan jantung tanah air yang terus hidup dalam diri kami.”

Dengan keberanian dan misinya yang jelas, Nadeen bukan sahaja mencipta sejarah di Miss Universe 2025, tetapi turut membawa semangat Palestin. Sebuah kisah perjuangan, keindahan dan kekuatan wanita ke pentas global.

Share
Published by
Amy Mohd