
Nadia Annuar menjadi bukti kekuatan diri yang luar biasa apabila beliau berjaya menamatkan cabaran kecergasan global di HYROX Singapura dengan prestasi mengagumkan, sekali gus mencuri perhatian ramai terhadap tahap fitness wanita berusia 42 tahun itu.
Nama Nadia Annuar bukan lagi asing sebagai figura yang konsisten dengan gaya hidup aktif dan disiplin tinggi. Merupakan anak kepada usahawan kosmetik terkenal Zaiton Hassan atau Kak Ton, Nadia juga dikenali sebagai personaliti kecergasan dan selebriti yang sering berkongsi rutin sihatnya.
Terbaharu, ibu tunggal ini mencuri perhatian apabila menyertai fitness competition HYROX di Singapura. Ia merupakan pertandingan kecergasan global yang semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita urban.
Bersama pasangannya dalam kategori Women’s Doubles,
Nadia berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa 1 jam 15 minit 13 saat, satu pencapaian yang bukan sahaja mengagumkan, malah cukup untuk membuatkan ramai tertanya, sejauh mana had sebenar tubuh seorang wanita.Namun di sebalik angka itu, pengalaman yang dilalui jauh lebih mendalam. Nadia sendiri menggambarkan cabaran tersebut dengan jujur, Ran, rowed, lunged, burpee’d, questioned my life… 10/10 would do it again.” Satu refleksi ringkas, tetapi cukup untuk menggambarkan intensiti sebenar HYROX, fizikal dan mental.
Pencapaian Nadia membuktikan persepsi wanita 40-an sudah tidak fit untuk menyertai pertandingan kecergasan, adalah salah sama sekali. Nadia bukan saja mencipta sejarah peribadi bahkan menjadi ikon terbaik kecergasan wanita di Malaysia.
Seorang yang positif dan sering menyebarkan mesej berguna untuk wanita, Nadia mengakui bahawa beliau hanya mula berlatih secara konsisten sekitar September 2025, malah ketika itu juga merupakan titik permulaan beliau dalam dunia larian.
“Crazy to think I only started training on and off… and that was also when I first started running,” tulisnya.
Ini menjadikan pencapaiannya bukan sekadar prestasi, tetapi bukti bahawa transformasi memerlukan keberanian untuk bermula, bukan kesempurnaan.
HYROX bukan pertandingan biasa. Ia adalah perlumbaan kecergasan berformat global yang menggabungkan 8 kilometer larian dengan 8 stesen latihan berintensiti tinggi. Setiap peserta perlu berlari sejauh 1 kilometer sebelum memasuki satu stesen latihan seperti sled push, sled pull, burpee broad jumps, rowing
dan farmer’s carry. Struktur ini menjadikan HYROX satu ujian menyeluruh terhadap stamina, kekuatan fizikal dan ketahanan mental.Tidak seperti pertandingan lain, HYROX menggunakan format standard di seluruh dunia, sama ada di Singapura, London atau New York. Ini menjadikan setiap penyertaan boleh diukur secara konsisten, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk menilai kemampuan diri di peringkat global.
Dalam konteks wanita, HYROX membawa makna yang lebih besar. Ia bukan sekadar tentang kekuatan fizikal, tetapi keupayaan untuk bertahan dalam ketidakselesaan. Nadia sendiri menyifatkan pengalaman pertamanya sebagai “cute fit, brutal experience”, indah pada pandangan luar, tetapi mencabar hingga ke tahap paling dalam.
Namun di situlah lahirnya kekuatan sebenar. Dalam setiap langkah, setiap pernafasan yang berat, seorang wanita belajar untuk mengenali dirinya. Bukan sekadar apa yang mampu dilakukan, tetapi apa yang sanggup dihadapi.
Menariknya, HYROX bukan eksklusif untuk atlet profesional. Dengan kategori seperti individual, doubles
dan relay, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang bersedia untuk mencabar diri. Apa yang diperlukan hanyalah disiplin, latihan dan keberanian untuk mencuba.Apa yang Nadia tunjukkan adalah refleksi wanita hari ini, mereka yang tidak menunggu sempurna untuk bermula.
“What started as ‘let’s just have fun’ somehow turned into… one of the best experiences ever,” kongsinya.
Dan mungkin, itu definisi sebenar kekuatan. Bukan pada siapa paling laju atau paling kuat, tetapi siapa yang tetap bergerak walaupun hampir berhenti.
Bagi Nadia Annuar, ini bukan sekadar perlumbaan. Ia adalah simbol kepada wanita yang memilih untuk berkembang, secara fizikal, mental dan emosi. Dan jika ada satu perkara yang jelas daripada pengalaman Nadia, ia adalah ini, “My first HYROX and definitely not my last.”
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/elizabeth-hurley-menolak-tua-rutin-cantik-awet-muda/
This website uses cookies.