Nak Rasa ASAM PEDAS Johor Yang Sedap, Cuba Resipi DATIN ILLYKA Ini!

Kelibat Datin Ilyka, masih ada dalam industri hiburan tanah air dan aktif memenuhi jemputan persembahan. Apatah lagi kini Datin Ilyka tampil dengan dua single baharu berjudul Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku, namanya kembali disebut peminat.

Kedua-dua single itu ciptaan sepenuhnya komposer Indonesia, Tengku Shafick yang sebelum ini menghasilkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza (Cuba Untuk Mengerti) dan Anuar Zain (I’m The Lucky One). Artis kelahiran Johor ini bernaung di bawah label Cloudworks Record, Ilyka atau nama sebenarnya Zuraila Mohd Yassin kini merancang kembali mewarnai arena seni suara dengan mempertaruhkan single

terbaharu.

Menyentuh mengenai Ramadan, ibu kepada seorang cahaya mata yang kini meningkat remaja ini berkata kebiasaannya, menu berbuka puasa di rumah agak meriah terutamanya jika berkumpul bersama keluarga. Antara hidangan yang sering disediakan hidangkan termasuklah rendang ayam, ketupat, kuah lodeh dan sambal udang.

Sebagai anak jati Johor, tidak sah jika tidak pandai memasak menu asam pedas. Begitu juga buat Datin Illyka, yang memasak asam pedas menggunakan resipi turun-temurun yang diwarisi daripada ibu tersayang.

“Sebenarnya, rahsia untuk mendapatkan asam pedas Johor terletak pada cili yang digunakan. Untuk menyediakan asam pedas Johor, pastikan cili yang digunakan ditumis dalam tempoh yang lama untuk memastikan ia boleh tahan lebih lama. Dari segi penggunaan bahan pula, asam pedas Johor menggunakan air asam yang pekat dan mempunyai tekstur kuah yang lebih pekat berbanding asam pedas Melaka,” ujar Datin Illyka berkongsi rahsia menu asam pedas yang enak.

Khas untuk pembaca NONA, Datin Illyka kongsikan menu Asam Pedas Kepala Ikan Merah untuk sajian berbuka puasa. Selamat mencuba!

ASAM PEDAS KEPALA IKAN MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan cili kering|direbus dan kisar
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 1/2 inci halia
  • Sedikit belacan bakar
  • 2 tangkai daun kesum
  • 2 ekor kepala ikan merah
  • 1 cawan air asam jawa

 

CARA MEMBUAT:

Kisar bahan-bahan seperti cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia dan belacan yang telah dibakar. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tersebut sehingga ia menjadi garing dan naik baunya . Letak air asam sedikit dahulu kemudian letak ikan supaya cili sebati pada ikan . Tambah air perlahan-lahan supaya kuah asam pedas tidak menjadi cair. Kemudian tambahkan garam, gula dan sedikit bahan perasa. Masukkan pula daun kesum. Sedia untuk dihidangkan.

 

IKLAN
Share