Berita

Naomi Osaka Curi Tumpuan US Open 2026, Fesyen Ikonik Jadi Signature Juara Tenis Dunia

Naomi Osaka mencuri tumpuan di US Open 2026 menerusi fesyen ikonik yang menjadi signature juara tenis dunia itu setiap kali melangkah ke gelanggang. Tampil penuh karakter dengan gaya yang memberi penghormatan kepada legenda NBA, Allen Iverson, bekas pemain No. 1 dunia itu membuktikan fesyen dan sukan mampu bergerak seiring. 

Terbaharu di US Open 2026, Osaka mencipta sensasi menerusi penampilan dramatik yang memberi penghormatan kepada legenda NBA, Allen Iverson. Dia memasuki gelanggang dengan jubah hoodie rona kelabu bertampal keratan akhbar tentang dirinya, lengkap dengan skirt putih panjang.

Naomi Osaka
Naomi Osaka

Sebaik tudung jubah dibuka, gaya rambut cornrows bersama headband yang cukup sinonim dengan Iverson menyerlahkan lagi keseluruhan penampilan. Bagi Osaka, pilihan tersebut bukan semata-mata mahu mencuri perhatian. Iverson merupakan antara figura sukan yang dikaguminya kerana keberanian legenda Philadelphia 76ers itu menggabungkan budaya, sukan dan gaya peribadi.

The inspiration is Allen Iverson. He’s a trailblazer. He’s someone that was able to merge culture and sport. — Naomi Osaka

Malah, fesyen sememangnya dekat dengan jiwa Osaka. Profil rasmi WTA menyenaraikan fesyen sebagai antara minatnya selain permainan video dan fotografi. Tidak hairanlah setiap kemunculannya di kejohanan utama sering membawa karakter tersendiri.

Naomi Osaka
Naomi Osaka
Naomi Osaka
Naomi Osaka

Darah Jepun-Haiti, Naomi Osaka Membesar Dengan Impian Besar

Di sebalik personaliti dan gayanya yang cukup dikenali dunia, Naomi Osaka memiliki latar belakang keluarga multibudaya yang menarik.

Dilahirkan pada 16 Oktober 1997 di Osaka, Jepun, Naomi merupakan anak kepada ibu berbangsa Jepun dan bapa yang berasal dari Haiti. Dia mempunyai seorang kakak, Mari Osaka, yang turut pernah bergelar pemain tenis profesional.

Ketika Naomi berusia tiga tahun, keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat. Zaman kanak-kanaknya dilalui di New York sebelum keluarga itu kemudiannya menetap di Florida, lokasi yang menjadi medan penting perkembangan karier tenisnya.

Menariknya, perjalanan dua beradik itu banyak mendapat inspirasi daripada kejayaan Venus dan Serena Williams. Naomi mula bermain tenis sejak kecil dan membesar dengan latihan bersama kakaknya sebelum akhirnya membina nama sendiri di pentas profesional.

Perjalanan tersebut juga memperlihatkan pengorbanan sebuah keluarga. Osaka pernah berkongsi bahawa ibunya bekerja keras ketika dia masih kecil, manakala bapanya banyak memberikan tumpuan kepada latihan tenis anak-anak mereka.

Daripada seorang kanak-kanak yang berlatih bersama kakaknya, Osaka akhirnya membesar menjadi atlet yang mengubah sejarah tenis dunia.

Naomi Osaka
Naomi Osaka

Daripada Indian Wells, Naomi Osaka Ke Juara Grand Slam

Tahun 2018 menjadi titik perubahan besar buat Osaka. Ketika berusia 20 tahun, beliau meraih gelaran sulung WTA di Indian Wells sebelum mencipta kejutan lebih besar beberapa bulan kemudian dengan menewaskan idolanya, Serena Williams, pada final US Open 2018.

Kemenangan bersejarah itu menjadikannya pemain Jepun pertama memenangi gelaran perseorangan Grand Slam. Namun Osaka tidak berhenti di situ. Kejuaraan Australian Open 2019 membawanya ke ranking No. 1 dunia, sekali gus menjadikannya pemain Jepun pertama menduduki kedudukan tertinggi tenis dunia.

Sehingga kini, Osaka memiliki empat kejuaraan Grand Slam iaitu US Open 2018 dan 2020 serta Australian Open 2019 dan 2021. Di sebalik perhatian terhadap fesyennya di US Open 2026, Osaka membuktikan sentuhannya di gelanggang masih berbisa. Dia menewaskan Anastasia Zakharova, 7-6(6), 7-6(3), pada pusingan pertama.

Naomi Osaka

Prestasinya sepanjang musim juga memperlihatkan kebangkitan memberangsangkan. Osaka kini berada di ranking No. 13 dunia, dengan rekod 25 kemenangan daripada 35 perlawanan musim 2026.

Berani Bersuara, Naomi Osaka Bangkit Sebagai Seorang Ibu

Namun legasi Osaka tidak hanya terbina melalui trofi. Pada 2021, keberaniannya bercakap secara terbuka mengenai kesihatan mental mencetuskan perbincangan global mengenai tekanan yang ditanggung atlet profesional. Osaka memilih untuk mengutamakan kesejahteraan dirinya ketika berada di kemuncak populariti, sekali gus membuka ruang kepada atlet lain untuk lebih terbuka mengenai kesihatan mental.

Kemudian hadir satu lagi perubahan besar dalam kehidupannya. Osaka mengambil cuti daripada pertandingan dan melahirkan anak perempuannya, Shai, pada Julai 2023 sebelum kembali ke gelanggang profesional pada 2024.

Naomi Osaka
Naomi Osaka

Kini pada usia 28 tahun, dia tidak lagi sekadar mengejar kegemilangan yang pernah dimiliki. Atlet hebat itu sedang mencipta perjalanan baharu sebagai atlet elit, ibu dan wanita yang semakin yakin menentukan identiti sendiri. Itulah yang menjadikan kisahnya begitu menarik.

Dalam US Open, fesyen ikonik mungkin menjadi perkara pertama yang membuatkan dunia menoleh. Tetapi di sebalik setiap persalinan penuh karakter itu berdiri seorang wanita berdarah Jepun-Haiti yang pernah menjadi No. 1 dunia, memenangi empat Grand Slam, berani memperjuangkan kesejahteraan dirinya dan kembali bersaing selepas bergelar ibu. Fesyen menjadi signaturenya, tetapi keberanian untuk menjadi dirinya sendiri adalah legasi sebenar Naomi Osaka.

Sumber: WTA Tennis, US Open

Artikel berkaitan: Lee Know Stray Kids Sumbang RM294,000, Hulur Bantuan Buat Mangsa Banjir Nepal

Share
Published by
Norzalina