Memang kagum tengok kulit wajah asli penyanyi kelahiran Indonesia, Anggun Cipta Sasmi! Mana tidaknya, pada usia yang sudah pun mencecah 51 tahun dia kelihatan sihat bertenaga dan cantik semula jadi meskipun tanpa secalit solekan.
Diet seimbang dan amalan gaya hidup sihat pastinya menjadi antara ‘petua’ Anggun mampu memiliki penampilan elegan seperti hari ini.
Baru-baru ini, Anggun berkongsi foto terkini yang memaparkan kulit wajahnya tanpa mekap di media sosial dan ia meraih pelbagai reaksi daripada peminat kesayangan. Pelantun lagu Snow on The Sahara ini tidak kisah mendedahkan keaslian wajahnya yang kepada umum. Meskipun jelas kelihatan garis kedutan.
Sempena ulang tahun kelahiran ke-51 pada 29 April lalu, Anggun Cipta Sasmi meluahkan rasa syukur dengan penampilannya pada usia 50an.
“51 years on earth. No Botox, no fillers. I embrace my wrinkles and my imperfections. It’s the face my parents gave me, I see them whenever I see myself.
I take care of my face as best as I can. It has smiled and cried with me throughout the years. I make it beautiful; I make it pleasant. But beyond everything, I make it honest.”
Dilahirkan di Jakarta, Indonesia, Anggun merupakan penyanyi, penulis lirik, pelakon dan personaliti televisyen. Dia dikhabarkan mula berkecimpung dalam arena hiburan seawal usia tujuh tahun. Kini dia aktif menjadi juri pencarian bakat antarabangsa.
Berasal dari keluarga berjiwa seni, Anggun Cipta Sasmi dididik oleh bapanya mengenai teknik vokal yang berdisiplin dan diajar bermain piano. Pada usia sembilan tahun, dia sudah pun merakam album kanak-kanak.
Anggun pernah mendapat pengiktirafan sebagai Penyanyi Asal Indonesia dengan Penjualan Album Terlaris di peringkat dunia.
Ibu jelita ini mendirikan rumah tangga dengan seorang jurugambar profesional iaitu Christian Kretschmar pada tahun 2018.
Terdahulu, Anggun pernah berkahwin dengan jurutera Perancis iaitu Michel Georgea yang juga pengurus peribadinya ketika awal karier di Eropah.
Dia kemudian berkahwin dengan Louis-Olivier Maury pada tahun 2004 namun berpisah selepas dua tahun bergelar suami isteri. Anggun seterusnya menjalin hubungan dan berkahwin dengan seorang penulis di Perancis iaitu Cyril Montana.
Menerusi perkahwinan itu, Anggun dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Kirana Cipta Montana Sasmi yang kini berusia 18 tahun.
This website uses cookies.