Gaya Hidup

Nonnamaxxing, Rahsia Elegan Wanita Itali Baya Nenek-Nenek Untuk Cantik Natural & Hidup Lebih Tenang

Nonnamaxxing kini menjadi trend gaya hidup yang menyingkap rahsia elegan wanita Itali baya nenek-nenek untuk kekal cantik natural dan hidup lebih tenang. Dalam dunia moden yang obses dengan skincare mahal, rawatan estetik dan rutin kecantikan ekstrem, ‘nonnamaxxing’ tampil dengan pendekatan yang lebih sederhana dan membumi.

Dalam bahasa Itali, ‘nonna’ membawa maksud nenek atau wanita warga emas. Istilah nonnamaxxing diinspirasikan daripada gaya hidup wanita-wanita berusia di Itali yang terkenal dengan aura klasik, sihat dan menua secara anggun.

Daripada menikmati makanan homemade, berjalan kaki setiap hari hinggalah mengurangkan ketagihan media sosial, nonnamaxxing membuktikan bahawa kecantikan sebenar datang daripada kehidupan yang seimbang, tenang dan bahagia.

Di TikTok, trend nonnamaxxing menjadi kegilaan Gen-Z kerana estetiknya yang lembut dan feminin. Relevan untuk semua peringkat usia, trend ini jauh lebih mendalam daripada sekadar gaya hidup viral. Ia adalah seni menikmati kehidupan dengan perlahan.

Bayangkan pagi yang dimulakan dengan cahaya matahari, secawan kopi panas, dapur yang dipenuhi aroma masakan sendiri dan tubuh yang aktif bergerak secara semula jadi. Tiada tekanan untuk menjadi sempurna, tiada obsesi terhadap angka pada penimbang, hanya gaya hidup yang lebih tenang dan seimbang.

Trend Nonnamaxxing

Dan mungkin, di situlah rahsia kecantikan sebenar wanita Itali selama ini.

Kecantikan Bukan Tentang Kesempurnaan

Apa yang membuatkan wanita Itali kelihatan begitu menarik bukan semata-mata soal rupa paras. Mereka memiliki aura yang sukar dijelaskan, yakin, tenang dan tidak terlalu mencuba.

Konsep nonnamaxxing mengajar bahawa kecantikan sebenar datang daripada kehidupan yang stabil secara emosi dan fizikal. Bukan melalui rutin ekstrem, tetapi melalui kebiasaan kecil yang dilakukan secara konsisten setiap hari.

Menariknya, Itali juga merupakan antara negara dengan jangka hayat tertinggi di dunia. Malah, wilayah Sardinia di Mediterranean dikategorikan sebagai salah satu Blue Zone, iaitu kawasan yang mempunyai jumlah penduduk berusia panjang paling ramai.

Rahsianya bukan produk mahal. Tetapi cara hidup mereka.

Tip Nonnamaxxing Untuk Wanita Moden

1. Masak Sendiri & Pilih Wholefood

Wanita Itali sangat dekat dengan budaya memasak di rumah. Mereka menikmati makanan segar, kurang berproses dan dimasak dengan penuh rasa kasih. Antara amalan yang boleh dipraktikkan:

  • Kurangkan makanan segera dan ultra processed food.
  • Pilih bahan segar seperti sayur, buah, ikan dan minyak zaitun.
  • Jadikan memasak sebagai terapi, bukan beban.
  • Makan perlahan dan nikmati setiap hidangan.

Memasak sendiri bukan sahaja lebih sihat, malah memberi rasa tenang dan kepuasan emosi yang sering hilang dalam gaya hidup moden.

2. Berjalan Kaki Setiap Hari

Wanita Itali terkenal dengan gaya hidup aktif secara natural. Mereka berjalan ke pasar, ke kafe dan menikmati kota tanpa terlalu bergantung pada kenderaan.

Kajian daripada American Journal of Preventive Medicine mendapati berjalan pantas selama 15 minit sehari mampu mengurangkan risiko kematian awal. Cara mulakan:

  • Jalan santai selepas makan malam.
  • Gunakan tangga berbanding lif.
  • Berjalan sambil mendengar podcast atau zikir.
  • Jadikan berjalan sebagai ‘me time’ harian.

Tubuh yang aktif bergerak memberi kesan besar kepada kulit, hormon dan kesihatan mental wanita.

3. Kurangkan Ketagihan Telefon Pintar

Salah satu elemen utama nonnamaxxing ialah menjauhkan diri daripada skrin secara berlebihan. Realitinya, terlalu banyak masa di media sosial boleh membuatkan wanita mudah membandingkan diri dengan orang lain, baik dari segi rupa, tubuh badan hinggalah gaya hidup.

  • Hadkan screen time sebelum tidur.
  • Elakkan scrolling sebaik bangun pagi.
  • Wujudkan ‘phone-free hour’ di rumah.
  • Fokus kepada aktiviti dunia sebenar seperti membaca atau berkebun.

Kadang-kadang, ketenangan adalah skincare terbaik untuk wajah wanita.

4. Hidup Dengan Ritma Yang Lebih Perlahan

Trend Nonnamaxxing

Wanita moden terlalu sibuk mengejar segalanya serentak. Nonnamaxxing mengingatkan bahawa hidup tidak perlu sentiasa tergesa-gesa. Cuba biasakan:

  • Minum kopi tanpa multitasking.
  • Nikmati makan malam bersama keluarga.
  • Hias rumah dengan bunga segar.
  • Luangkan masa untuk diri sendiri tanpa rasa bersalah.

Trend Nonnamaxxing 2026

Apa yang membuatkan nonnamaxxing begitu menarik ialah kesederhanaannya. Tiada produk wajib dibeli, tiada rutin yang melelahkan dan tiada tekanan untuk menjadi wanita sempurna.

Ia sekadar mengajak kita kembali kepada asas iaitu makan dengan baik, bergerak setiap hari, menjaga emosi dan menikmati kehidupan secara perlahan.

Bagi ramai wanita moden, nonnamaxxing bukan sekadar trend media sosial tetapi satu bentuk self-care yang lebih realistik dan menenangkan.

Dan mungkin, itu sebenarnya definisi kecantikan paling mewah hari ini.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/hadiah-hari-ibu/

Share
Published by
Norzalina