
Anis Nabilah Reda Pemergian Bapa
Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada Allah jugalah tempat kita kembali. Takziah buat cef selebriti, Anis Nabilah Umaruddin dan keluarga atas pemergian bapa tersayang iaitu Umaruddin Yahya baru-baru ini.
Khabar pilu berkenaan dikongsikan Anis Nabilah di media sosial miliknya beberapa hari selepas figura bapa penyayang tersebut kembali ke rahmatullah.
Memetik kenyataan personaliti berusia 40 tahun ini, Allahyarham bapanya meninggal dunia pada hari Jumaat lalu bersamaan 2 Ramadan. Masih terasa kehilangan, Anis Nabilah turut memuat naik foto kenangan bersama lelaki pertama yang disayanginya itu.
Sambil menyifatkan arwah seorang bapa pemurah dan baik hati.
“My heart, the first man I ever loved, my imam, has left us. Last Friday, on the second day of Ramadan at 8.50 pm, just as we were entering the third night of this blessed month, my father, Umaruddin bin Yahya returned to Allah.”
Meskipun berat menerima kenyataan yang bapa tersayang tidak akan kembali lagi namun Anis Nabilah reda menerima ketentuan takdir. Apatah lagi, Allahyarham bapa pergi pada penghulu segala hari dan bulan penuh keberkatan.
Jelas personaliti televisyen yang popular menerusi program masakan Icip Icip ini, bapanya membesarkan lapan orang anak dengan baik dan sentiasa menerima baik kehadiran sesiapa sahaja dalam keluarga mereka.
“Memberi adalah jati dirinya. Dia sangat suka memberi makan kepada orang lain, berkongsi apa sahaja yang dia miliki dan benar-benar percaya bahawa apabila kita memberi, Allah akan menjaga kita.
Dan sepanjang hidup kami, Allah sememangnya menjaga kami. Sentiasa ada rezeki yang mencukupi. Mendengar begitu banyak cerita indah tentangnya sejak beberapa hari lalu memberikan kami kekuatan, mengetahui betapa dia sangat disayangi,” tulisnya.
Tambah Anis, dia juga mengagumi kesetiaan arwah bapa terhadap ibunya, Sharifah Bibi dan berdoa agar ratu hati kesayangan diberi kekuatan serta semangat untuk menempuh kehilangan ini.
Selain mendoakan ketenangan dan keampunan buat arwah bapa serta abang iaitu Adam Emir yang meninggal dunia pada tahun 2016.
Bakat Anis Nabilah mula bersinar ketika mengacarakan program masakan Icip Icip pada tahun 2007 dan makin bertapak kukuh dalam industri kulinari tanah air.
Dia juga mempunyai pakej lengkap yang cantik dan berilmu, di samping memiliki kepakaran dalam menyediakan juadah pencuci mulut, sajian tradisional Melayu dan Barat yang meraih pengiktirafan ramai.
This website uses cookies.