Perjuangan Emosi Di Sebalik Pembedahan Bariatrik, Lawan Stigma Body Shaming & Dapatkan Hidup Baharu

Malu dipanggil ‘gemuk pendek’, seorang isteri pempengaruh nekad menjalani pembedahan bariatrik. Namun di sebalik tindakan itu, tersembunyi kisah perjuangan emosi, stigma sosial dan realiti kesihatan yang jarang dibicarakan wanita.

Dia bukanlah wanita pertama yang tunduk kepada tekanan body shaming, namun keberaniannya mengambil langkah drastik ini mengundang pelbagai pandangan. Ada yang menganggap tindakannya keterlaluan, tetapi ramai juga yang memahami bahawa di sebalik senyuman dan penampilan di media sosial, wujud pergolakan emosi yang tidak terlihat.

Sebenarnya, keputusan untuk menjalani pembedahan bariatrik bukanlah sesuatu yang luar biasa. Menurut Dr Pok Eng Hong, Ketua Perunding dan Upper GI Surgeon di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), masalah berat badan berlebihan bukan sekadar isu penampilan tetapi turut memberi kesan besar terhadap kesihatan mental seseorang.

Dr Pok Eng Hong

Ramai pesakit berasa kecewa dan menganggap diri mereka gagal kerana diet dan senaman tidak berkesan, sedangkan perjuangan menurunkan berat badan tidak semata-mata bergantung kepada kemahuan. Faktor metabolik dan hormon sering memainkan peranan penting, menjadikan proses penurunan berat badan amat mencabar.

Selain itu, ramai individu yang berdepan obesiti mengalami masalah harga diri yang rendah, pengasingan sosial dan kemurungan. Namun stigma yang mengelilingi obesiti sering kali menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan yang sebenarnya mereka perlukan.

Rawatan Moden Sebagai Harapan Baharu

Apabila diet dan senaman tidak mencukupi, intervensi perubatan kini dilihat sebagai jalan keluar yang lebih realistik. Rawatan moden bukan sahaja memberi harapan baharu, malah disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan kesihatan setiap pesakit. Antara kaedah yang sering disarankan termasuk penggunaan ubat-ubatan obesiti, belon gastrik dan pembedahan bariatrik. Masing-masing berperanan membantu pesakit mengawal berat badan dengan lebih berkesan.

Ubat-ubatan Obesiti

Bagi mereka yang belum bersedia untuk menjalani pembedahan, ubat-ubatan obesiti menjadi alternatif yang bernilai. Ia direka untuk membantu mengawal rasa lapar, meningkatkan rasa kenyang dan menstabilkan metabolisme tubuh.

Ubat-ubatan seperti agonis reseptor GLP-1 misalnya, telah mengubah cara pengurusan berat badan. Ia meniru hormon semula jadi yang memberi isyarat kenyang, sekali gus membantu individu mengawal saiz hidangan dan mencapai penurunan berat badan yang lebih konsisten.

Kaedah Belon Gastrik

Kaedah belon gastrik pula menawarkan penyelesaian bukan pembedahan yang bersifat invasif minimum. Prosedur ini dilakukan dengan memasukkan belon ke dalam perut melalui mulut sebelum diisi dengan larutan garam bagi menimbulkan rasa kenyang dan mengurangkan selera makan. Belon tersebut biasanya dikeluarkan selepas enam bulan hingga setahun bergantung kepada keperluan pesakit.

Belon gastrik sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan sekitar 10 hingga 15 peratus berat badan sambil melakukan perubahan gaya hidup. Ia berfungsi sebagai sokongan tambahan bagi pesakit yang memerlukan bantuan tanpa perlu menjalani pembedahan besar.

Pembedahan Bariatrik

Pembedahan Bariatrik

Bagi individu yang mengalami obesiti serius dengan indeks jisim badan (BMI) melebihi 35, atau melebihi 30 dengan penyakit berkaitan obesiti seperti diabetes atau tekanan darah tinggi, pembedahan bariatrik merupakan pilihan paling berkesan dan berkekalan.

Prosedur seperti gastric bypass dan sleeve gastrectomy mengubah sistem pencernaan bagi membantu mengehadkan pengambilan makanan serta dalam sesetengah kes, mengurangkan penyerapan nutrien. Pembedahan ini bukan sekadar tentang penurunan berat badan, malah berfungsi untuk menangani penyakit serius seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi dan apnea tidur. Ramai pesakit melaporkan perubahan besar terhadap kualiti hidup mereka selepas pembedahan, seolah-olah mendapat peluang kedua untuk hidup lebih sihat dan bahagia.

Pendekatan Holistik Dalam Pengurusan Berat Badan

Hakikatnya, pengurusan berat badan yang berkesan memerlukan pendekatan holistik yang mengambil kira faktor fizikal, mental dan emosi. Tiada satu formula yang sesuai untuk semua orang. Sama ada melalui ubat-ubatan, belon gastrik atau pembedahan bariatrik, yang penting ialah mencari kaedah yang paling serasi dengan keperluan individu.

Dalam kebanyakan kes, kejayaan jangka panjang bergantung kepada kemampuan pesakit membina tabiat gaya hidup yang mampan dan mengekalkan perubahan itu secara konsisten. Intervensi perubatan bukanlah jalan pintas, tetapi alat untuk membantu seseorang mencapai dan mengekalkan kesihatan yang lebih baik.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, Malaysia kini mencatat kadar obesiti dewasa kedua tertinggi di Asia Tenggara, dengan 19.7 peratus prevalens obesiti dan 54.4 peratus rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Statistik ini bukan sekadar angka tetapi cerminan realiti bahawa obesiti bukan lagi isu kosmetik, sebaliknya ancaman kesihatan yang membawa kepada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan beberapa jenis kanser.

Akhirnya, perjuangan melawan berat badan bukan hanya tentang mahu kelihatan kurus, tetapi tentang keinginan untuk hidup sihat, bertenaga dan bahagia dengan diri sendiri. Pembedahan bariatrik hanyalah salah satu jalan menuju transformasi itu — satu langkah berani menuju kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/datuk-marina-chin-ijazah-kehormat-unisza/

Share
Published by
Norzalina