
Detik bersejarah tercipta di perairan Pattaya apabila Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Permaisuri Suthida atas kejayaan luar biasa merangkul pingat emas acara pelayaran di Sukan SEA 2025.
Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan sukan, tetapi membuka naratif baharu tentang peranan permaisuri moden yang aktif, berdisiplin dan berani turun ke medan sebenar sebagai atlet kompetitif.
Momen perlumbaan yang berlangsung pada Khamis, 18 Disember 2025 menyaksikan Baginda mengemudi bot layar SSL47 menuju ke Ocean Marina Yacht Club, Pattaya dengan keputusan memihak kepada pasukan tuan rumah Thailand.
Dalam satu adegan penuh simbolik dan kehalusan adat diraja, Baginda berlutut menerima sejambak bunga daripada Raja Thailand sebagai tanda penghormatan. Raja Maha Vajiralongkorn kemudiannya mengucapkan tahniah kepada pasukan pelayaran SSL47 sebelum sesi bergambar bersama atlet dan jurulatih, menandakan pengiktirafan tertinggi terhadap kejayaan tersebut.
Lebih bermakna, kemenangan ini merupakan penampilan sulung Permaisuri Suthida dalam temasya Sukan SEA dan debut tersebut terus diakhiri dengan pingat emas.
Detik bersejarah ini turut disaksikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sebagai wakil Thailand, Baginda hadir bukan sekadar sebagai simbol institusi diraja, tetapi sebagai atlet yang memikul tanggungjawab dan tekanan pertandingan bertaraf antarabangsa.
Pada malam yang sama, pasangan diraja berangkat menghadiri upacara penyampaian pingat rasmi. Di hadapan ribuan penonton, Raja Thailand menyampaikan pingat emas dan maskot Sukan SEA kepada Permaisuri Suthida, manakala Malaysia meraih perak dan Myanmar membawa pulang gangsa.
Peranan aktif Baginda sepanjang perlumbaan menjadi faktor utama kejayaan Thailand. Dalam acara akhir kelas SSL47 keelboat, pasukan tuan rumah berdepan saingan sengit daripada Vietnam, Filipina, Malaysia dan Myanmar.
Di atas bot, Baginda memainkan peranan penting dalam navigasi dan pengendalian layar, menggunakan kompas bagi membaca arah angin serta menilai perubahan keadaan laut. Keupayaan menyesuaikan taktikal pelayaran mengikut situasi semasa memperlihatkan fokus, ketenangan dan kepimpinan tinggi.
Dalam perlumbaan kelapan dan terakhir, Thailand melintasi garisan penamat pertama dengan catatan masa 41 minit 31 saat, mendahului Malaysia dan Myanmar.
Berdasarkan gabungan keputusan lapan perlumbaan, Thailand dinobatkan sebagai pemenang pingat emas bagi acara SSL47, yang turut membuat penampilan sulung di Sukan SEA edisi kali ini.
Kemenangan ini mencerminkan kecekapan teknikal, stamina fizikal serta kekuatan mental yang tinggi, sejajar dengan tahap persaingan sukan antarabangsa.
Permaisuri Suthida dimasyhurkan secara rasmi sebagai Her Majesty Queen Suthida
pada 4 Mei 2019. Di sebalik keanggunan dan penampilan sopan yang sering menjadi rujukan rakyat Thailand, tersembunyi disiplin gaya hidup sihat yang konsisten.Pada 3 Jun lalu, Baginda menyambut ulang tahun kelahiran ke-47, namun tahap kecergasan fizikal kekal bertenaga. Minat terhadap pelbagai jenis sukan dan amalan hidup aktif menjadi asas kepada stamina yang jelas terpamer di laut terbuka.
Di sisi Raja Thailand, kejayaan ini menampilkan wajah institusi diraja yang progresif dan relevan dengan aspirasi moden. Sukan menjadi medium perpaduan, dan kemenangan ini mengangkat imej wanita sebagai pemimpin yang bukan sahaja bermahkota, tetapi berani turun ke medan dan menang dengan keupayaan sendiri.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/dulu-buta-huruf-kerja-di-kedai-teh-susu-pengasas-chagee-jadi-bilionair-usia-32/
This website uses cookies.