Pernah Lalui Fasa Ibu Tunggal, Datin Hayati Rahman Kembali Bangkit & Penampilan Awet Mudanya Usia 60 Raih Pujian!

Melihat susuk tubuh ramping dan raut wajah cantiknya pasti ada yang tidak menyangka Datin Hayati Rahman sudah pun mencecah usia 60 tahun. Ditambah pula dengan peribadinya yang mesra dan sering menguntum senyuman membuatkan ibu kepada usahawan Sasha Abdul Aziz ini tampil lebih muda daripada umur sebenar.  

Datin Hayati Rahman atau nama penuhnya Norhayati Abdullah dalam temu bual eksklusif bersama Nona baru-baru ini terbuka berkongsi pengalaman hidup dan amalan kesihatan, dengan harapan ia mampu menjadi suntikan semangat serta inspirasi kepada khalayak.

Penampilan Datin Hayati Rahman

Akui Datin Hayati Rahman, dia terkejut apabila video mengenai dirinya yang dimuat naik Sasha ketika Hari Raya yang lalu tular di media sosial.

Meskipun janggal dengan reaksi dan pujian daripada warga maya namun ibu kepada dua anak perempuan ini syukur dengan kurniaan tubuh badan sihat yang dimilikinya.

Di sebalik perwatakan anggun dan peribadi ceria Datin Hayati, rupa-rupanya dia pernah melalui fasa sebagai ibu tunggal. Sekaligus mengubah persepsi tentang kehidupan dan lebih menghargai diri.  

“Waktu muda-muda saya menjalani hidup sebagai suri rumah dan menjaga anak seperti biasa. Lepas beberapa tahun perkahwinan, saya jadi ibu tunggal. Dari situ saya dah start ada masa jaga diri sendiri.  

Selepas menjadi ibu tunggal menjadikan saya seorang yang lebih kuat. Saya ke depan dan fikir, saya tak nak seperti dulu lagi. Di mana saya terlalu memikirkan rumah tangga. Peluang jadi ibu tunggal tu, saya terus berani ke depan.” 

Kehidupan Datin Hayati Rahman Berubah Lepas Jadi Ibu Tunggal

Saat hilang tempat bergantung, Datin Hayati nekad mengubah kehidupan. Dari seorang suri rumah sepenuh masa, dia memberanikan diri mencari kerja dan bertugas di bahagian pentadbiran di sebuah firma guaman.    

“Bila anak-anak besar, habis je kerja saya pergi gym. Memang untuk kesihatanlah. Pakai skincare tapi tak adalah mahal-mahal. Ibu tunggal, mana mampu. Dari situlah saya mula work out.”

 

Ditanya rejim kecantikan yang diamalkan, tanpa berselindung Datin Hayati mendedahkan dia mula menjaga kesihatan diri terutama melibatkan soal pemakanan sejak usia muda. 

“Berapa pun umur, belum terlambat lagi untuk menjaga kesihatan. Yang penting jaga makan minum, kita bersenam dan kurangkan manis. Makan apa-apa supplement and

vitamin yang kita mampu. InsyaAllah boleh jaga dalaman dan luaran.  

Saya memang jaga makan. Jaga makan ni memang susah, tak semua orang boleh. Tapi kena kuat. Macam saya, kalau orang makan, saya makan juga. Tapi dalam kuantiti yang sedikit.  

Bersenam itu wajib setiap hari. Macam saya, brisk walk almost every day selama satu jam. Selain itu, saya juga ikut kelas trampoline, jumping dan amal supplement. Yang penting, tidur kena cukup.” 

Bahagia Di Sisi Suami

Kini Datin Hayati Rahman kembali menemui bahagia apabila sah bergelar isteri kepada Dato’ Hanafiah Hassan yang merupakan bekas Ketua Pengarah Hidrografi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada November 2019. 

Dedah pasangan ini, mereka mula berkenalan di Facebook dan hanya mengenali selama empat bulan sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga. Waktu itu, kedua-duanya merupakan ibu dan bapa tunggal.

Semoga rumah tangga Datin Hayati dan Dato’ Hanafiah sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta bahagia berpanjangan sampai syurga.  

Artikel https://www.nona.my/rumah-tangga-bahagia-wahid-senario-usia-perkahwinan-cecah-24-tahun-bapa-3-anak-lelaki/

Share
Published by
Suzi