Persis Bidadari, Persalinan Songket REEN RAHIM Berona Coklat Hasil Rekaan Rizman Ruzaini Buat Ramai Terpukau

Baru baru ini, tanggal 24 Disember 2022 menjadi tarikh keramat buat pelakon Reen Rahim yang selamat diijabkabul dan bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, pada majlis yang berlangsung di Bora Ombak Marina, Putrajaya.

Aktres jelita yang berumur 34 tahun itu dinikahkan  sendiri oleh ayah pengantin perempuan, Abdul Rahim Abdul Kadir, di hadapan Pendaftar Nikah Putrajaya iaitu Hafizan Ibrahim pada pukul 9.05 malam dengan mas kahwin RM1,988 beserta sedulang barang kemas.

Dan semalam berlangsungnya majlis persandingan belah pihak pengantin perempuan, di mana Reen Rahim berkongsikan momen persandingannya di mana dia kelihatan sangat anggun dan jelita mengenakan persalinan songket berona coklat hasil ciptaan pereka fesyen duo ternama, Rizman Ruzaini.

Penampilan Reen turut memukau ramai apabila dipadankan dengan barangan kemas mewah tajaan Cerew Jewels, dan hasil solekan jurusolek artis terkenal Syed Faisal Syed Noh.

Untuk rekap, pasangan sama cantik sama padan ini telah berkenalan sejak 2 tahun lalu sebelum membuat keputusan untuk bertunang pada 12 Ogos lalu.

Meninjau di ruangan komen Instagram pelakon Daddyku Gangster ini, rata-rata ramai termasuk rakan-rakan artis yang terpesona dengan penampilan dan busana disarung Reen Rahim dan mendoakan agar perkahwinan dibina dirahmati dan kekal sehingga ke Jannah.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Foto kredit: Instagram @reenrahim

IKLAN
Share