
Kembali reda usai pengumuman PM Nepal pilihan Gen Z, kenali Sushila Karki, bekas Ketua Hakim Negara yang tegas tangani korupsi.
Bukan calang-calang wanita, sosok Sushila Karki menjadi pilihan utama generasi muda Nepal untuk memimpin negara mereka. Walaupun bukan berlatarkan politik, tokoh wanita ini diyakini mahir dalam selok-belok undang-undang dan sistem perlembagaan di negara tersebut.
Menariknya, Presiden Nepal iaitu Ram Chandra Paudel melantik Sushila Karki setelah ribuan aktivis berbahas mengenai kekosongan jawatan PM, lewat aplikasi Discord.
Hasil sebulat suara, nama wanita ini mengungguli carta calon teratas pemilihan pemimpin interim baharu di Discord, menandakan kepercayaan masyarakat serta integritinya yang tinggi.
Kini Sushila memiliki enam bulan untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan menyiapkan negaranya untuk proses Pilihan Raya Umum Nepal tahun depan.
Pemimpin Tegas
Merupakan bekas Ketua Hakim Negara berusia 73 tahun, Sushila Karki diberikan mandat untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan yang mahukan masa depan bebas rasuah, menjelang Pilihan Raya Umum Nepal yang dijadualkan pada 5 Mac 2026.
Dianggap sebagai calon paling sesuai untuk menjadi penjaga negara, aktivis antikorupsi ini pernah mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Nepal pada tahun 2016. Beliau kini bersara, namun dilihat sebagai sosok paling sesuai untuk mengetuai kerajaan sementara negara Himalaya itu, yang terletak di antara India dan China.
Tegas dan matang berfikir, kebijakan beliau dalam menangani korupsi dari Julai 2016 hingga Jun 2017 dikagumi pelbagai pihak. Beliau juga aktif memperjuangkan hak-hak wanita di peringkat perundangan.
Dilahirkan dalam keluarga petani di Nepal Timur, isteri kepada Durga Prasad Subedi ini merupakan anak sulung dari tujuh beradik. Sushila Karki memiliki Sarjana Seni daripada Mahendra Morang Campus pada 1972. Pada tahun 1975, beliau meraih Master dalam jurusan politik dari Banaras Hindu University (BHU) India.
Tahun 1978, Sushila Karki memperoleh Sarjana dari Universiti Tribhuvan di Kathmandu. Beliau kemudiannya bekerja sebagai pembantu guru di Mahendra Multiple Campus di Dharan pada 1985.
Kariernya dalam undang-undang bermula pada 2009 apabila diangkat sebagai hakim sementara di Mahkamah Agung Nepal. Setahun kemudian, beliau diiktiraf sebagai hakim tetap dan terus naik ke posisi tertinggi sebagai Ketua Hakim Negara pada 2016.
Sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim, Sushila Karki pernah memimpin banyak kes penting serta berprofil tinggi, antaranya kes korupsi Menteri Informasi & Komunikasi, Jay Prakash Prasad Gupta.
Memulakan Tugas
Sushila Karki secara rasmi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Nepal semalam, termasuk mengumumkan barisan kabinet pertamanya ketika negara di pergunungan Himalaya itu berusaha memulihkan ketenteraman.
Beliau mengangkat sumpah pada Jumaat di hadapan Presiden Ramchandra Paudel, sebagai respons kepada tuntutan penunjuk perasaan selepas penyingkiran kerajaan pimpinan PM terdahulu iaitu K.P Sharma Oli.
Beliau memulakan tugas rasmi di bangunan Kementerian Dalam Negeri di Singha Durbar, selepas pejabat perdana menteri dipindahkan ke sana berikutan bangunan terdahulu dibakar ketika tunjuk perasaan.
Antara keputusan awalnya ialah menyalurkan bantuan kepada mangsa tunjuk perasaan minggu lalu. Menurut angka rasmi kerajaan, sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh manakala 191 lagi masih dirawat di hospital dalam tempoh dua hari protes.
Protes itu kemudian berkembang menjadi gerakan lebih luas menentang dakwaan rasuah dan nepotisme dalam kalangan elit politik, dengan penunjuk perasaan menyasarkan kediaman, Mahkamah Agung serta bangunan awam lain.
Insiden itu disifatkan sebagai rusuhan paling buruk sejak berakhirnya perang saudara selama sedekad dan pemansuhan sistem beraja pada 2008.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-tanah-merah-kelantan-dilantik-akauntan-negara-zainani-jusoh-urus-wang-amanah-rakyat/
This website uses cookies.