Berita

Kuih Lapis, Karipap & Koci Mendunia! Poh Ling Yeow Perkenal Kuih Tradisi Malaysia Ke MasterChef Australia

Terima kasih Poh Ling Yeow kerana berjaya mempromosikan hidangan kulinari tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa. Inisiatif wanita kelahiran Kuala Lumpur ini memperkenalkan tiga kuih tradisi popular Malaysia dalam program realiti MasterChef Australia baru-baru ini nyata menerbitkan rasa bangga.

Apatah lagi apabila peserta program berkenaan kagum dengan keunikan sajian berkenaan.  

Menjengah media sosial Poh yang kini merupakan juri MasterChef Australia musim ke-16, figura berusia 52 tahun tersebut dilapor berhijrah ke Australia sejak usia sembilan tahun. Poh mula mencipta nama dalam industri kulinari di sana selepas menjadi peserta MasterChef Australia musim pertama.

Bakat Kulinari Poh Ling Yeow

Mengimbas kembali detik Poh Ling Yeow membawa masuk hidangan kuih tradisi Malaysia iaitu Kuih Lapis, Karipap dan Koci, video momen itu yang dikongsikan Poh di media sosial miliknya meraih perhatian luas followers setia khususnya rakyat Malaysia.  

Sehingga kini video tersebut mencecah lebih sejuta tontonan!  

Dedah Poh Ling Yeow, “Pressure Test Snek Malaysia malam ini adalah sesuatu yang sudah lama saya impikan. Terima kasih MasterChef Australia kerana meraikan masakan budaya yang saya membesar dengannya dan memberi saya ruang untuk berkongsi ilmu turun-temurun yang begitu istimewa dan semakin lama semakin sukar ditemui. Yang ini khas buat semua komuniti perantau, terutamanya rakyat Malaysia.” 

Tambahnya lagi, “Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan makanan yang luar biasa atas segala usaha, ujian dan semangat yang dicurahkan di sebalik tabir terutamanya Tamara.

Juga kepada pasukan seni yang menghasilkan latar yang sangat comel untuk saya mempersembahkan snek-snek ini. Anda semua benar-benar menghidupkan impian ini. 

Begitu banyak usaha yang berlaku di sebalik tabir untuk memastikan setiap cabaran berjaya. Sukar untuk membayangkannya melainkan anda sendiri pernah menjadi sebahagian daripada kru yang bekerja sekeras ini. Saya amat bersyukur kepada setiap insan yang membantu merealisasikan impian ini.”

Pesona Poh Ling Yeow

Selain terkenal sebagai cef selebriti, Poh Ling Yeow juga merupakan penulis, pelukis dan hos televisyen.  

Sebelum ini Poh pernah bergandingan bersama rakan yang juga berasal dari Pulau Pinang iaitu Adam Liaw dalam siri Adam & Poh’s Malaysia in Australia di saluran SBS Food dan SBS On Demand. 

Dia mula menceburi seni kulinari dan muncul buat pertama kali dalam program masakan Beat the Chef pada tahun 2005. Namun populariti Poh Ling Yeow melonjak ketika dia menyertai program realiti MasterChef Australia musim pertama pada 2009.

Kini dia merupakan juri bagi MasterChef Australia musim ke-16 bersama Sofia Levin, Jean-Christophe Novelli dan Andy Allen.  

Artikel https://www.nona.my/tengku-datuk-seri-zafrul-bangga-anak-raih-ijazah-kelas-pertama-di-university-of-warwick/

Artikel https://www.nona.my/dato-sri-azalina-othman-said-bangga-anak-raih-ijazah-kelas-pertama/

Share
Published by
Suzi