Gaya Hidup

Puteri Zarith Obses Cermin, Suka Konsep MODERN LUXE Untuk Hias Kediaman. Jom Jalan-Jalan DI RUMAHNYA!

Penampilan Pengasas Olicandy ini sememangnya tidak perlu diperkatakan lagi. Puteri Intan Zarith Che Rashdi sememangnya amat menjaga penampilan dirinya baik di majlis formal mahupun acara santai.

Ibu muda yang telah dikurniakan dua cahaya mata ini juga menjadikan kediamannya sebagai ruang untuk beristirahat bersama suami, Dr. Muhd. Munzir Shkori dan dua cahaya mata mereka, Rayyan Darwish Muhd. Munzir dan Puteri Medina Muhd. Munzir.

Berpeluang mendekati wanita yang amat berminat dalam dunia perniagaan ini, Nona terpegun melihat keindahan dekorasi kediaman mewahnya yang terletak di pinggir ibu kota.

Dalam asyik melihat beberapa koleksi kesayangannya, Puteri Intan Zarith atau lebih mesra disapa Puteri Zarith berkata kediaman yang selesa merupakan perkara utama dititikberatkan oleh dia dan suaminya kerana kesempurnaan hidup dari segi kerjaya dan keluarga banyak bermula di rumah. Rekaan kediaman juga berkonsepkan moden yang diperbaharui dengan rekaan semasa menjadi pilihan pasangan ini.

“Saya dan suami amat mementingkan kediaman yang kemas dan selesa kerana rumah adalah lokasi yang paling intim dan tempat untuk berehat setelah seharian mencari rezeki.

Jadi, saya dan suami gemarkan kediaman yang menenangkan jiwa dan konsep moden kontemporari menjadi pilihan kami dalam dekorasi kediaman,” ujar Puteri Zarith yang menata kediamannya dengan rona kelabu dan warna pastel.

Ruang tamu diberi sentuhan istimewa dengan penggunaan perabot dari pereka tersohor Rizalman Ibrahim yang disuai padan dengan warna gelap seperti kelabu untuk kemasan dinding.

Manakala permaidani hitam dihamparkan bagi menghidupkan sesebuah ruang. Tidak dinafikan saiz ruang tamu agak terhad, namun Puteri Zarith bijak menghamparkan permaidani bagi mewujudkan ilusi ruang yang luas.

Sedikit elemen oriental diselitkan dengan penggunaan pasu bercorak bersaiz besar dan sederhana menghidupkan lagi ruang utama kediaman ini.

Tambah Puteri Zarith lagi, dia sememangnya menggemari barangan dekorasi kediaman yang simple dan mementingkan kesesuaian barangan tersebut dengan susun atur kediaman sebelum mengambil keputusan untuk membeli barangan hiasan tersebut.

Selain itu, wanita yang gemar bergaya ini juga menjadikan cermin sebagai salah satu elemen utama hiasan kediaman kerana ia bukan sekadar berfungsi untuk menampakkan kediaman yang lebih luas, malah lebih penting ia adalah ‘antara kewajipan yang perlu ada di dalam kediaman.’

“Umum sedia maklum saya suka melaram. Jadi, cermin adalah satu aksesori ‘must have’ untuk diri saya dan kediaman. Sebab itu saya banyak menggunakan cermin sebagai hiasan untuk ruang tamu dan meja makan serta meja konsol sebelum melangkah keluar dari rumah.

Sambil bersiap untuk keluar, cermin tersebut berfungsi untuk touch up make up mahupun membetulkan tudung. Jadi, wanita jangan lupa jadikan cermin sebagai ‘best friend’ wajib dilihat sebelum melangkah keluar dari rumah,” ujarnya penuh makna. Rosmah Idayu Abu Samah

IKLAN
Share