
Rahsia Kecantikan Deanna Yusoff
Rahsia kecantikan Deanna Yusoff kembali menjadi perhatian apabila aktres veteran itu memuat naik foto terbaharu di media sosial yang mempamerkan wajah polosnya. Pada usia 59 tahun, kulit Deanna kelihatan begitu halus, berseri dan anjal sehingga ramai sukar mempercayai beliau tidak mengenakan sebarang solekan.
Keanggunannya dibentuk menerusi gaya hidup sihat, penjagaan kulit secara semula jadi dan rutin yang diamalkan secara konsisten selama bertahun-tahun.
Aktres berdarah campuran Melayu-Switzerland ini membuktikan kecantikan sebenar tidak bergantung kepada solekan tebal atau rawatan mahal. Sebaliknya, ia bermula daripada bagaimana seseorang wanita menghargai tubuh, menjaga emosi dan membina rutin kecil yang mampu dilakukan setiap hari.
Bagi Deanna, kecantikan bukan perlumbaan untuk kelihatan muda, tetapi usaha berterusan untuk memiliki kulit yang sihat dan tubuh yang seimbang. Beliau mengakui rutin hariannya dipenuhi amalan face yoga, pemakanan bersih atau clean eating, selain memilih kehidupan yang lebih tenang bagi mengurangkan tekanan.
“Saya belajar bahawa konsisten bukan soal memaksa diri setiap hari. Ia tentang membina tabiat kecil yang tenang dalam rutin sedia ada, supaya kita boleh menjaga diri tanpa terasa terbeban,” ujar Deanna.
Kata-kata itu menjadi peringatan bahawa rahsia kulit cantik bukan terletak pada produk semata-mata, tetapi disiplin melakukan perkara kecil secara berterusan. Face yoga membantu merangsang peredaran darah pada wajah, mengurangkan ketegangan otot serta memberikan seri semula jadi apabila diamalkan secara konsisten.
Selain penjagaan luaran, Deanna turut memberi perhatian terhadap apa yang masuk ke dalam tubuhnya. Sebagai pencinta alam sekitar dan pengamal clean eating, beliau memilih makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan bagi menyokong kesihatan kulit dari dalam. Pengambilan gula juga dikawal kerana percaya ia antara faktor yang mempercepatkan proses penuaan kulit.
Menurutnya, latihan mengurangkan gula bermula ketika Ramadan apabila beliau mengelakkan kuih-muih dan makanan bergula tambahan. Sebaliknya, keperluan gula dipenuhi menerusi kurma serta sumber semula jadi lain.
“Mula-mula memang susah, tetapi lama-kelamaan ia menjadi satu latihan yang baik untuk diri saya,” katanya.
Memasuki usia 50-an turut mengajar Deanna bahawa tubuh mengalami banyak perubahan. Oleh itu, beliau mengubah cara bersenam agar lebih sesuai dengan keadaan fizikal semasa, selain memberi perhatian terhadap proses pemulihan badan, rehat yang mencukupi dan kesihatan mental.
Minat mendalam terhadap dunia kecantikan membawa Deanna ke satu fasa baharu dalam kehidupannya. Sejak tidak lagi aktif dalam industri seni sekitar tahun 2017, beliau memilih untuk mendalami ilmu penjagaan kulit menggunakan bahan semula jadi.
Perjalanan itu bermula apabila beliau pernah dilamar Kedutaan Switzerland di Malaysia untuk menjadi duta dan rakan perniagaan sebuah jenama penjagaan kulit. Walaupun kerjasama tersebut tidak diteruskan, pengalaman itu membuka minatnya untuk memahami dunia formulasi kosmetik dengan lebih mendalam.
Daripada sekadar menonton video YouTube mengenai penghasilan produk penjagaan kulit di rumah, Deanna mula menghasilkan balsam bibir dan minyak pati sendiri. Inspirasi tersebut diperoleh daripada buku-buku keluaran Neal’s Yard Remedies ketika melancong ke London.
Kesungguhan itu akhirnya membawa beliau menyambung pengajian Diploma dalam Formulasi Penjagaan Kulit Organik di Formula Botanica, sebuah institusi sains kosmetik organik yang berpangkalan di United Kingdom. Beliau bukan sahaja mempelajari formulasi produk, malah mendalami aspek penjenamaan dan keusahawanan dalam industri kecantikan.
Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, Deanna menggunakan masa di rumah untuk menamatkan pengajian secara dalam talian sebelum berjaya memperoleh diploma pada tahun 2022.
Walaupun memiliki kelayakan untuk menghasilkan jenama penjagaan kulit sendiri, beliau memilih untuk tidak terburu-buru memasuki pasaran. Baginya, industri kecantikan semula jadi semakin kompetitif dan beliau mahu memastikan setiap formulasi yang dihasilkan benar-benar berkualiti sebelum diperkenalkan kepada pengguna.
Sebaliknya, Deanna membina komuniti dalam talian menerusi laman web peribadinya bagi berkongsi ilmu mengenai penjagaan kulit secara holistik. Beliau turut menghasilkan buku elektronik Deanna’s Secret to Serenity yang menghimpunkan panduan menjaga kecantikan dari aspek luaran dan dalaman.
Di Instagram pula, Deanna aktif berkongsi ilmu mengenai face yoga, pemakanan tinggi antioksidan serta amalan gaya hidup yang membantu mengekalkan kesihatan kulit. Pendekatan itu mendapat perhatian ramai kerana mudah dipraktikkan dan tidak bergantung kepada trend kecantikan yang bersifat sementara.
Menariknya, Deanna turut mengakui salah satu nasihat paling berharga datang daripada arwah neneknya yang sering melarang beliau terlalu lama berjemur di bawah matahari. Selepas mempelajari sains penjagaan kulit, beliau akhirnya memahami bahawa pendedahan berlebihan kepada sinaran UV memang boleh mempercepatkan proses penuaan dan merosakkan struktur kulit.
Pada usia hampir mencecah enam dekad, rahsia kecantikan Deanna Yusoff membuktikan bahawa kecantikan sebenar lahir daripada gabungan ilmu, disiplin dan kasih sayang terhadap diri sendiri. Kulit yang sihat bukan hadir dalam sehari, tetapi hasil amalan kecil yang dilakukan secara konsisten. Itulah definisi kecantikan yang sebenar… tenang, semula jadi dan kekal memikat tanpa perlu mengejar kesempurnaan.
Artikel berkaitan: Aleeya Zailan Buktikan Suri Rumah Jana 6 Angka, Inspirasi Usahawan SME Malaysia
This website uses cookies.