Berbasikal Dari Jakarta Ke Bali, Hebatnya Stamina NIRINA ZUBIR Di Usia 40an!

Siapa yang tidak kenal dengan pelakon kecil molek yang membawakan watak Rachel dalam filem Heart yang popular pada tahun 2006.

Filem tersebut menyaksikan nama Nirina Zubir semakin dikenali serta merangkul Piala Citra untuk kategori Pelakon Utama Wanita Terbaik. Filem itu juga mendapat tontonan sebanyak 1.6 Juta penonton pada tahun 2006.


Namanya semakin dikenali di layar perak apabila filem Get Married arahan Hanung Bramantyo menjadi filem pecah panggung di mana ia mencatatkan angka 2.2 juta orang menonton filem tersebut.


Tidak hairan mengapa pada tahun 2007 Nirina menjadi pelakon filem termahal di Indonesia dengan jumlah bayaran sebanyak Rp 250 Juta untuk setiap filem. Anak kepada diplomat kelahiran Pariaman, Sumatera Barat ini bukan sahaja aktif dalam bidang lakonan, malah merupakan VJ MTV Indonesia yang popular di awal penglibatannya dalam bidang seni.


Siapa sangka, wanita ini telah menginjak usia 42 tahun tetap masih kekal awet muda seperti zaman gadisnya. Malah Nirina Zubir mahu dikenali dengan gaya hidup sihat. Tambah pelakon filem Heart ini lagi dia mahu kekal sihat dan mampu melihat anaknya berkahwin dan berkeluarga suatu hari nanti.


Untuk rekod, Nirina mendirikan rumah tangga dengan Ernest Fardiyan Sjarif pada tahun 2009 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Zivara Ruciragati Syarif dan Elzo Jaydn Anvaya.


“Motivasi untuk saya bersenam adalah untuk anak-anak. Insya-Allah niatnya biar sihat, umur panjang, boleh lihat anak-anak dewasa hingga mereka kahwin, sampai dapat tengok cucu” ujarnya yang dilahirkan di Madagascar.


Pada usia 42 tahun, wanita berdarah Minangkabau ini memilih aktiviti berbasikal sebagai sukan kegemarannya. Aktiviti tersebut turut mendapat sokongan dan galakan dari suami tersayang, Ernest Fardiyan Sjarif yang berkongsi minat yang sama.

Tambah Nirina, berbasikal bukan sahaja mengeluarkan peluh malah dapat menikmati udara yang segar serta keindahan alam semulajadi yang mengasyikkan.


Malah, ketika meraikan ulang tahun perkahwinan ke 10 tiga tahun lalu, Nirina dan Ernest berbasikal sejauh 1,200 kilometer iaitu dari Jakarta ke Bali. Mereka mengharungi pengembaraan yang istimewa itu selama 12 hari untuk berbasikal ke Bali bersama anak-anak.


Dek kerana kecintaan terhadap sukan berbasikal, Nirina melahirkan hasrat untuk berbasikal mengelilingi Indonesia.
“Saya mahu mengelilingi Indonesia naik basikal, saya mahu mengenal Indonesia menerusi sukan seperti berbasikal atau diving” katanya.

Selain berbasikal, Nirina juga gemar berjogging di samping gemar melakukan aktiviti air antaranya termasuklah scuba diving, bermain jet ski dan sebagainya. Malah, aktiviti-aktiviti lasak ini menjadi kegemaran ibu kepada dua cahayamata ini untuk kekal aktif dan mendapatkan susuk tubuh yang menawan!

IKLAN
Share