Sejak berlakunya pandemik COVID-19 segala rutin kehidupan kita berubah secara drastik sehingga memberi kesan jangkamasa panjang terhadap kesihatan mental dan psikologi. Kita yang membacanya pun terasa sedih dan terkesan, inikan pula mereka yang sedang diuji dengan tekanan. Senario ini sangat membimbangkan.

IKLAN

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kes sebegini ialah masalah kewangan, diberhentikan kerja, tekanan kerja yang melampau, masalah keluarga, perceraian serta faktor persekitaran.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini mendedahkan bahawa kira-kira 91.2 peratus daripada 100,000 panggilan diterima daripada talian bantuan sokongan psikososial memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Dari 1 Januari hingga 21 Mei, talian bantuan sokongan Psikososial KKM, Mercy Malaysia dan Talian Kasih dan Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim menerima sejumlah 101,150 panggilan. Oleh itu, Majlis Penasihat Kesihatan Mental Negara menggesa agar KKM menambah jumlah kaunselor di kementerian.

Adakah isu-isu seperti ini ada hubung kait dengan gangguan mental sehingga hilangnya kewarasan diri?

Pakar Perunding Psikologi dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh merungkai persoalan ini. Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan NH Edu-Health Centre Kuala Lumpur.

Pakar Perunding Psikologi dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh. Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan NH Edu-Health Centre Kuala Lumpur.

“Kesihatan mental berkaitan dengan kesejahteraan jiwa, rasa bahagia dan gembira. Kesihatan mental yang baik memiliki keyakinan diri yang tinggi, kendiri yang bagus atau sederhana. Seseorang itu akan merasa selesa dengan dirinya ketika bersama orang lain.

IKLAN

Baik lelaki mahupun wanita masing-masing berisiko untuk mendapat gangguan mental jika tidak dikawal. Wanita yang bergelar ketua juga harus betul-betul kuat dari segi mental dan fizikal bagi berhadapan dengan cabaran. Jika tidak kuat seorang wanita itu akan mudah merasa tertekan.”

PUNCA GANGGUAN

  1. Gemar menyendiri dan memendam perasaan atau masalah.
  2. Genetik atau sejarah keluarga yang memudahkan seseorang itu merasa tertekan apabila berhadapan dengan permasalahan.
  3. Kecederaan akibat kemalangan atau perubatan contohnya sakit belakang dalam tempoh terlalu lama boleh menyebabkan tekanan yang serius.
  4. Persekitaran atau tekanan di tempat kerja seperti bebanan tugas, ekspektasi terlalu tinggi oleh ketua atau kerja melebihi had masa sepatutnya.
  5. Wanita (termasuk surirumah sepenuh masa) yang ‘bekerja’ seolah-olah untuk 24 jam sehari. Melayan karenah anak-anak, keluarga dan kerja rumah. Ada kala mereka lupa dengan hobi sendiri.
  6. Gangguan mental 15 kali ganda berisiko tinggi jika seseorang itu terlibat dengan najis dadah yang mendorongnya melakukan sesuatu di luar kewarasan.

TANDA-TANDA AWAL GANGGUAN

IKLAN
  • Suka menyendiri, cepat marah, sukar tidur, kerap sakit kepala dan hilang minat terhadap sesuatu seperti kerja dan hobi.
  • Bersikap agresif, mudah berasa sedih dan menangis, menjerit secara tiba-tiba dan mudah melenting. Ia dikenali sebagai bipolar yang menyebabkan mereka bertindak agresif tanpa sedar yang boleh menjejaskan prestasi kerja termasuk hubungan dengan keluarga, pasangan, rakan dan pelajaran.
  • Pesakit mental kronik selalu berhalusinasi, tingkah laku juga abnormal. Sering menganggap semua perkara sebagai serius dan sesuatu yang tidak logik sebagai logik.
  • Pesakit merasa seperti ada orang ingin membunuhnya, delusi dan kecelaruan fikiran.
  • Gangguan mental di kalangan kanak-kanak jarang berlaku namun tidak mustahil. Lazimnya berlaku di peringkat awal baligh hingga dewasa.

RAWATAN

  • “Pemberian ubat, kaunseling dan terapi secara one to one. Terapi ini dalam bentuk kumpulan di mana setiap pesakit saling belajar daripada pengalaman masing-masing. Banyak pendekatan diambil dalam usaha menyembuhkan pesakit bergantung kepada jenis penyakit dan latar belakang pesakit. Ubatan yang diambil bukan dadah dan diberikan untuk jangka masa pendek.
  • Tekanan dan trauma tidak termasuk dalam sebarang skim perlindungan insurans. Peranan syarikat amat penting dalam menyediakan inisiatif kepada pekerja contohnya kursus berkaitan kesihatan mental dan cara mengelakkan tekanan. Negara Barat banyak mengadakan program dan memberi sokongan kesihatan untuk para pekerja.

Peranan masyarakat khususnya kejiranan amat penting untuk saling membantu dan mendengar permasalahan. Begitu juga peranan ahli keluarga terdekat. Kenali emosi ahli keluarga anda seterusnya cari jalan penyelesaian. Pujuk secara baik dan nyatakan kepadanya kita akan mendapatkan bantuan profesional atau kaunselor.”