Ads

Datuk Nicol David Terima Anugerah Merdeka 2026, Bangga Ibu Bapa Hadir Saksikan Detik Istimewa

Datuk Nicol David
Datuk Nicol David

Datuk Nicol David terima Anugerah Merdeka 2026 dalam kategori Sumbangan Cemerlang kepada Kemanusiaan, Seni dan Sukan, satu lagi pengiktirafan berprestij terhadap legasi luar biasanya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Lebih menyentuh hati, detik membanggakan itu turut disaksikan kedua-dua ibu bapanya yang hadir memberi sokongan, menjadikan penghargaan tersebut cukup istimewa buat legenda skuasy tersebut.

Tiada yang lebih membanggakan bagi ibu bapa apabila melihat anak kesayangan berjaya dan dihormati. Momen menyaksikan sendiri Datuk Nicol David berdiri di atas pentas dan menerima anugerah tersebut pastinya menjadi kenangan berharga buat bapa tercinta, Desmond David dan ibunya, Ann Marie David.

Lebih mengharukan, legenda sukan ini turut mendedikasikan ucapan khas buat ibu bapa tersayang di atas pentas Anugerah Merdeka. Terharu rasanya!

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka dalam sebuah majlis di ibu negara.

Buat Nicol, pengiktirafan tersebut bukan sekadar meraikan pencapaian gemilangnya sebagai atlet. Di sebalik segala kejayaan yang pernah dikecapi, kehadiran insan yang menjadi antara penyokong terawal perjalanan hidupnya tentunya memberikan makna tersendiri kepada sebuah detik yang disifatkannya sebagai antara paling membanggakan dalam hidup.

Detik Paling Membanggakan Datuk Nicol David

Datuk Nicol David
Datuk Nicol David

Merujuk laporan Astro Awani, Nicol menyifatkan Anugerah Merdeka 2026 sebagai pengiktirafan yang cukup bermakna kerana ia bukan sahaja menghargai pencapaiannya dalam bidang sukan, malah peranannya membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

“Hari ini, saya boleh katakan bahawa ini adalah antara detik paling membanggakan dalam hidup saya, menerima Anugerah Merdeka dalam kategori Sumbangan Cemerlang kepada Kemanusiaan, Seni dan Sukan atas sumbangan saya kepada Malaysia.

Pengiktirafan ini amat bermakna kepada saya kerana ia bukan sahaja menghargai pencapaian saya dalam sukan, tetapi juga peranan saya membawa nama Malaysia di pentas dunia dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk percaya bahawa mereka juga boleh bermimpi melangkaui apa yang difikirkan,” katanya.

Kata-kata itu cukup menggambarkan sisi seorang Nicol. Setelah bertahun-tahun menjadi kebanggaan Malaysia dalam arena skuasy antarabangsa, kejayaan baginya hari ini bukan lagi sekadar tentang kemenangan peribadi.

Ads

Sebaliknya, legasi yang mahu ditinggalkan adalah tentang bagaimana perjalanan seorang atlet mampu membuka jalan dan menyalakan keyakinan dalam diri generasi selepasnya.

Selepas Bersara, Perjuangan Datuk Nicol David Belum Berakhir

Datuk Nicol David
Datuk Nicol David

Menamatkan kerjaya sebagai atlet profesional tidak bermakna Nicol meninggalkan perjuangannya. Gelanggang mungkin sudah berubah, tetapi semangat untuk memberi kembali kepada negara terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Menerusi Nicol David Organisation, beliau kini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kanak-kanak dan komuniti, khususnya melalui sukan, pendidikan serta kesihatan mental. Organisasi berkenaan yang kini memasuki tahun keempat telah memberi manfaat kepada lebih 2,700 peserta menerusi empat program komuniti di tiga negeri.

Pengalaman dan nilai yang dibentuk sepanjang bergelar atlet mahu dimanfaatkan Nicol untuk membuka lebih banyak peluang kepada generasi seterusnya.

“Kerjaya sukan saya mungkin telah memberikan saya satu platform, tetapi tujuan saya sekarang adalah untuk menggunakan platform itu bagi membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Saya mahu terus membina legasi saya bukan sahaja sebagai seorang atlet, tetapi sebagai pembina negara. Terima kasih Malaysia kerana mempercayai saya. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk bermimpi. Ini bukan pengakhiran perjalanan saya, ia hanyalah permulaan kepada perjalanan yang baharu.”

Legasi Datuk Nicol David Untuk Malaysia

Datuk Nicol David
Datuk Nicol David

Barangkali di situlah letaknya nilai sebenar perjalanan seorang Nicol David. Malaysia pernah menyaksikannya berjuang di gelanggang, mengibarkan Jalur Gemilang dan meletakkan nama negara sebaris dengan kuasa besar sukan dunia.

Ads

Hari ini, perjuangannya memasuki fasa berbeza. Daripada mengejar kemenangan untuk negara, Nicol kini menggunakan pengalaman dan pengaruhnya untuk memastikan lebih ramai anak muda mempunyai peluang untuk bermimpi, berkembang dan mengenali potensi diri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata pengalaman hidup para penerima perlu menjadi inspirasi kepada generasi Malaysia seterusnya.

“Lembaga Pemegang Amanah percaya bahawa pengalaman hidup para perintis ini perlu menjadi inspirasi kepada generasi rakyat Malaysia yang akan datang, dan juga menjadi bukti bahawa dalam diri kita semua terdapat potensi dan keupayaan untuk membawa perubahan,” katanya.

Selain Nicol, Anugerah Merdeka 2026 turut mengiktiraf MERCY Malaysia, Profesor Dr Chan Eng Heng, Akademisian Emeritus Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris, Akademisian Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail, Emeritus Profesor Datuk Dr Asmah Haji Omar dan Akademisian Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Omar Abdul Rahman.

Ads

Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou pula menerima Anugerah Harapan Merdeka atas pencapaiannya mengangkat kedudukan Malaysia dalam para badminton dunia serta memberi inspirasi kepada golongan orang kurang upaya menerusi kecemerlangan sukan.

Sejak diperkenalkan pada 2008, Anugerah Merdeka telah meraikan 78 individu dan organisasi atas sumbangan signifikan kepada Malaysia.

Bagi Nicol, anugerah ini menjadi satu lagi titik penting dalam perjalanan panjang seorang anak Malaysia yang pernah menakluk dunia. Lebih manis apabila detik tersebut dapat disaksikan ibu bapanya sendiri.

Kerana di sebalik segala gelaran dan pengiktirafan, ada sebuah perjalanan yang bermula dengan impian, sokongan keluarga dan keberanian untuk percaya bahawa seorang anak Malaysia mampu pergi sejauh itu.

Kini Nicol mahu memastikan impian yang pernah diberikan kepadanya terus hidup dalam generasi seterusnya.

Sumber: Astro Awani

Artikel berkaitan: Taanusiya Chetty Harumkan Malaysia, Cantik & Bijak Raih Tempat Ketiga Miss World 2026

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Inspirasi Lain

Eman Manan

Eman Manan Bergelar Datuk, Empat Dekad Jadi Wajah Hero Lelaki Melayu...

Eman Manan bergelar Datuk selepas menerima DPMT. Pengiktirafan bermakna buat seniman hebat yang lebih empat dekad mewarnai industri seni negara.