
Eman Manan bergelar Datuk selepas menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Pengiktirafan berprestij itu melengkapkan lebih empat dekad perjalanan seniman berusia 68 tahun tersebut dalam memartabatkan dunia lakonan dan perfileman Malaysia.
Pengurniaan tersebut berlangsung sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu.
Bagi Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong, gelaran Datuk itu hadir selepas perjalanan panjang yang dibina bukan dalam sehari. Lebih 40 tahun berada di hadapan kamera, beliau membuktikan seorang anak seni mampu kekal relevan menerusi disiplin, karakter dan mutu lakonan.


Eman Manan Wajah Lelaki Melayu Yang Sukar Diganti
Ada sebab mengapa nama Eman Manan kekal kuat merentas generasi. Sosoknya cukup sinonim dengan karakter lelaki Melayu yang keras prinsipnya, pendekar, pahlawan dan pesilat. Watak-watak sebegini bukan sekadar dimainkan, sebaliknya seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada identiti seninya.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 2024, Eman mendedahkan beliau masih menerima tawaran melakonkan karakter sedemikian termasuk watak yang memerlukannya bersilat.
Menurutnya, penampilan terdahulu bersama keris, golok dan parang membuatkan pembikin karya serta penonton terus mengaitkan dirinya dengan persona lelaki Melayu tradisional yang kuat.
Menariknya, pada usia 68 tahun, imej tersebut masih belum pudar. Dalam industri yang sentiasa melahirkan wajah baharu, kemampuan seorang aktor untuk mempunyai identiti yang terus diingati selepas empat dekad bukan pencapaian kecil.
Tiga Kali Eman Manan Bergelar Pelakon Lelaki Terbaik FFM
Eman mula mencipta nama ketika berusia 26 tahun menerusi filem Matinya Seorang Patriot pada 1984. Bermula titik itu, bakatnya berkembang sehingga meletakkan beliau dalam kelompok pelakon lelaki paling disegani di Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, Eman tiga kali memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM), masing-masing menerusi Matinya Seorang Patriot, Bintang Malam dan Buai Laju-Laju pada edisi ke-5, ke-10 dan ke-17.
Popularitinya turut diterjemahkan menerusi empat kemenangan kategori Pelakon Filem Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada edisi pertama, ketiga, keenam dan ketujuh. Beliau turut dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada 1992.
Lebih mengagumkan, usia tidak pernah menghalang Eman daripada terus memberikan lakonan bermutu. Pada 2024, beliau memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL) menerusi filem Takluk: Lahad Datu.

Gelaran Datuk Eman Manan Melengkapkan Sebuah Legasi
Sebelum menerima D.P.M.T yang membawa gelaran Datuk, Eman pernah dianugerahkan Ahli Mangku Negara dan Setia Mahkota Terengganu, sebagaimana dikongsikannya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia pada 2024.
Di sebalik segala anugerah itu, legasi terbesar Eman barangkali bukan terletak pada trofi atau gelaran semata-mata. Beliau datang daripada generasi pelakon yang membina nama melalui kekuatan naskhah, penghayatan watak dan kerja keras sebelum era media sosial menentukan populariti seseorang.

Dalam kehidupan peribadi, Eman pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Fauziah Datuk Ahmad Daud pada 1990 sebelum pasangan itu berpisah pada 2003.
Kini, pengurniaan gelaran Datuk menjadi satu lagi catatan penting dalam perjalanan panjang seorang seniman. Tahniah Datuk Eman Manan. Empat dekad berlalu, zaman berubah dan generasi silih berganti, namun nama serta karisma seorang Eman Manan masih mempunyai tempatnya yang tersendiri dalam sejarah seni Malaysia.
Sumber Foto: Bernama
Artikel berkaitan: Neelofa Pilih Keluarga & Dahulukan Anak-Anak, “Mereka Ada Hak Ke Atas Saya”

sekarang!

