“Ramai Pihak Mula Sedar, Pentingnya Jaga Imej & Jenama Mereka Untuk Terus Relevan” Debby Yunus

Jadilah diri kita dengan versi terbaik kita, secara progresif. Begitulah sebaris kata semangat Debby Yunus yang baru sahaja diiktiraf sebagai Nona Best Brand Image Consultant Award sempena Nona Superwoman 2020 yang lepas.

Keyakinan Debby cukup contagious; lembut tapi menginspirasikan. Tidak hairanlah beliau sentiasa menjadi pilihan klien dalam bidang rundingan imej profesional.

Wanita berusia 38 tahun ini juga merupakan pemegang Master Business Administrative (UK) dan Ijazah Kejuruteraan Elektrik (UiTM) sebelum beliau akhirnya menukar kerjaya yang diminati.

Semenjak mendapat akreditasi sebagai Certified BrandImage Professional dari UK-OFQUAL pada tahun 2019, langkah Debby diatur semakin kemas dalam bidang ini. “Saya pernah menyertai beberapa syarikat korporat antaranya Proton Edar, Mesiniaga, PNB dan CCM Berhad selama lebih daripada 10 tahun.

Dari pengalaman itu saya perhatikan bagaimana sijil akademik hanyalah ‘tiket masuk’ untuk sesuatu jawatan tapi yang lebih penting adalah ‘soft skills’ seseorang untuk membina kerjayanya.

Tanggapan pertama, bahasa tubuh badan dan kemahiran berkomunikasi adalah elemen penting dalam kejayaan seseorang. Justeru, saya terpanggil untuk mendalami bidang rundingan imej ini bagi menyebarkan kesedaran dan membantu lebih ramai insan untuk mencapai kejayaan mereka,” jelas perunding imej terkenal itu sambil berkongsi nama sebenarnya iaitu Nursyamshadiha Mohd Yunus.

Kekuatan diri Debby sebenarnya terletak pada latihan berbentuk private coaching. “Kalau diberi pilihan, saya suka mengadakan konsep workshop berbanding ceramah, atau dijemput sebagai speaker.

Konsep workshop atau private coaching membolehkan saya melatih klien mengikut keperluan mereka. Hasilnya, klien dapat merasa impaknya kerana modul yang saya berikan berkait dengan diri masing-masing.

Saya juga sangat mementingkan ‘nilai’ pada apa yang disampaikan. Maksudnya setiap klien yang saya kendalikan harus berpuas hati dengan ilmu yang diterima melalui sesi training dengan saya. Saya juga mempunyai track record di mana kebanyakan klien yang mengambil sesi private coaching akan seterusnya menggunakan perkhidmatan saya untuk branding produk atau syarikat mereka.”

Antara pencapaian terbaik seseorang usahawan adalah keupayaannya mengekalkan hubungan perniagaan dengan klien yang sama. Inilah keistimewaan Debby Yunus.

“Kebanyakan klien saya akan terus menggunakan khidmat saya untuk keperluan imej dan branding yang mereka perlukan. Saya sangat yakin pada ‘nilai’ yang diberikan, khasnya apabila klien sendiri berpuas hati dengan nilai pelaburan mereka,” ujar Debby.

DIGITAL

Penggunaan media sosial juga menjadi medium utama untuk perkembangan kerjaya Debby. “Sejujurnya bagi orang yang kurang mengenali saya, mereka pasti menganggap saya sebagai seorang introvert kerana saya kurang gemar berkongsi cerita kehidupan dengan orang lain. Tapi saya akur, faktor peredaran zaman menuntut kita ‘berkongsi’ tentang apa yang kita lakukan.”

Tentang persaingan dari segi content yang disampaikan… “Benar, sekarang zaman everything is on your fingertips. Tapi ingat, dalam Mr Google tu ada informasi yang benar dan sebaliknya. Dengan lambakan informasi di Internet juga boleh membuatkan kita keliru yang mana satu sesuai dengan diri kita. Sebab itu dalam Islam pun kita digalakkan untuk berguru. Saya percaya ilmu kehidupan juga kita patut berguru.

Selain media sosial, cabaran lain yang dihadapi adalah dari segi menata imej baru seseorang. Lebih-lebih lagi dalam persekitaran individu itu yang tidak menggalakkan perubahan.

Sebagai contoh, kalau soal imej di sesebuah organisasi tidak diambil berat. Jadi apabila seseorang berubah, dia akan diejek atau dipandang serong oleh orang-orang di sekelilingnya.

Walau bagaimanapun, secara purata saya nampak kesedaran mengenai imej dan branding di negara kita mula meningkat. Baik entrepreneurs (terutamanya pengasas produk) hinggalah organisasi korporat mula menyedari betapa pentingnya pengendalian imej yang baik dapat menyumbang ke arah kejayaan mereka,” kongsi Debby yang pernah dibesarkan di Mauritius kerana mengikut ayahnya, seorang pegawai konsulat bertugas di sana.

Menurut isteri kepada Shahrizan Mohd Salim, seorang usahawan pembinaan dan juga ibu kepada Inara Sofia ini, beliau sangat bertuah kerana suami serta ahli keluarganya sentiasa menjadi tulang belakang yang penting.

Support system saya sangat kuat. Kedua ibu bapa dan keluarga mertua duduk berdekatan dan mereka sentiasa ada sekiranya saya perlu meninggalkan anak dan bibik ketika ke luar negeri.

Memang adakalanya ketika work load agak tinggi, saya pulang ke rumah dalam keadaan sedih kerana saya tahu saya kekurangan masa dengan keluarga pada masa itu. Jadi apa yang saya lakukan adalah ‘mengganti’ semula masa itu dengan pergi bercuti bersama mereka.

Pada waktu lapang pula, saya suka membaca buku bibliografi tokoh-tokoh yang berjaya sebagai inspirasi untuk berjaya,” akhiri Debby yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola kerana tertarik dengan keperibadian Baginda yang mulia.

IKLAN
Share