
Tersentuh dengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran, Sofizah Mousin. Tidak hairanlah dia mampu merangkul gelaran Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022. Tidak sekadar bergelar juara Qariah tetapi wanita hebat ini juga merupakan seorang pendidik.
Tahun ini genap 11 tahun Sofizah berkhidmat sebagai guru. Dalam kesibukan dengan tuntutan tugas mendidik anak bangsa dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dia juga tidak ketinggalan mengejar impian menimba ilmu Al-Quran.
Mengimbas kembali detik gemilang dinobatkan sebagai juara, difahamkan Sofizah telah tiga kali menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan sebelum memenanginya.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Dia menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
18 Mac lepas, Sofizah menyambut ulang tahun perkahwinan kesembilan bersama suami tercinta iaitu Ahmad Asrol Saidi.
Sempena hari istimewa itu, suami kesayangan titip ucapan bermakna buat ratu hati kesayangan, “Syukur Alhamdulillah, hari ini genap 9 tahun kita bersama dalam suka dan duka, dalam ketawa dan air mata. Setiap detik, setiap langkah, kasih sayangmu menjadi kekuatan dan inspirasiku.
Terima kasih kerana sentiasa ada, menjadi pelengkap dalam hidup ini, dan menjadi ibu yang hebat untuk anak-anak kita. Semoga Allah terus merahmati perkahwinan kita, mengukuhkan kasih sayang ini hingga ke syurga.
Selamat Ulang Tahun Perkahwinan ke-9, sayang! Semoga kita terus melangkah bersama dalam cinta dan iman, hingga ke Jannah.”
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Orked Mur Mikayla dan Iris Marissa.
Difahamkan, Sofizah Mousin pernah bertugas sebagai guru mata pelajaran Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. Kini, dia merupakan pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam, Selangor.
Semoga usaha murni wanita ini mengajak khalayak mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran dipermudah serta sentiasa menyuntik inspirasi.
This website uses cookies.