Ratu Ais Negara DR SHARIFAH MAZLINA ‘Pinjam’ Kekuatan Arwah Ibunya, Seorang Pejuang Kanser Payudara Tahap 4

Gelaran wanita Asia pertama yang berjaya menakluk Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski pada tahun 2004 telah membuka mata masyarakat tentang kemampuan Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebagai seorang wanita.

Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita Asia pertama berjaya menakluk Antartika pada tahun 2004.

Ekspeditor negara yang juga penceramah dan motivator ini mencipta sejarah tersendiri yang sangat menakjubkan sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.

Kenangan misi SOUTH POLE. Team AWETA berjaya menjejakkan kaki di kutub Selatan sambil mengibarkan jalur gemilang.

16 tahun telah berlalu kini ia menjadi sejarah terunggul buat wirawati negara ini. Baginya bukan mudah memegang gelaran ikon kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pendorong yang menjadi pembakar semangat.

ARWAH IBU JADI PENDORONG

Menurut Dr Sharifah Mazlina, arwah ibunya adalah satu-satunya pencetus semangat buat dirinya selama ini. Namun apa yang paling menyentuh hati ialah arwah ibunya itu merupakan penghidap kanser payudara tahap 4. Walaupun diuji, arwah seorang yang sangat kuat dan pandai ‘menyimpan’deritanya depan anak-anak.

“Arwah ibu banyak memberi suntikan dalaman kepada saya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap 4 namun arwah seorang yang terlalu kuat dan tak pernah cerita kepada anak-anak yang arwah sebenarnya sedang sakit.

Saya masih ingat lagi, selepas pembedahan arwah meletakkan bahagian payudara yang telah ‘dipotong’ ke dalam botol kemudian diletakkan di atas katilnya. Arwah memanggil semua anak-anak untuk melihatnya.

Arwah kata, ini satu pengajaran dan berpesan jangan sampai jadi seperti itu. Kami lihat pun tak sampai hati.

Tiga bulan sebelum meninggal arwah meminta jaket yang paling saya suka pakai. Sepanjang tiga bulan itu, arwah sering memakai jaket tersebut. Katanya, Ummi bersama saya. Buatlah yang terbaik sampai berjaya. Arwah banyak memberi semangat dan kekuatan kepada saya.

Sejujurnya, saya tak pernah melihat arwah ibu menangis dek kerana sikapnya yang sangat positif, saya kagum! Arwah melihat kanser sebagai satu rezeki dan menganggap dirinya sangat beruntung kerana diuji.

Sekurang-kurangnya arwah tahu bila dia akan ‘pergi’ dan boleh membuat persiapan awal. Bukan saja untuk dirinya malah arwah juga membuat persiapan untuk anak-anak.

Arwah menyiapkan kain kapannya sendiri termasuk 36 helai kain batik yang dimasukkan ke dalam tiga beg. Dua minggu sebelum meninggal barulah arwah memberitahu saya tentang beg itu.

Katanya, kapankan Ummi dengan kain tersebut. Beg yang berisi 36 helai kain batik itu pula khas untuk orang yang menolong mengendalikan jenazahnya. Cukup sempurna persiapannya itu. Semua wang yang ditinggalkan pula, arwah minta digunakan untuk membina masjid.

GELARAN

“Pengalaman pertama kali ke Antartika, balik dari sana tulang pinggang saya cedera teruk sampai terpaksa masuk MRI. Buku lali juga cedera teruk tapi saya langsung tak berputus asa kerana i’m a fighter. Enam bulan selepas itu saya umumkan mahu ke kutub utara pula.

Bagi saya gelaran ikon negara satu rezeki dan penghargaan besar. Saya tak kejar gelaran kerana saya percaya jika kita buat sesuatu dengan ikhlas, gelaran itu menjadi satu bonus. Tahun 2004 saya mula menjejaki Antartika, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran ikon negara atau apa-apa anugerah.

Hanya untuk tujuan akademik dan membuat kajian PhD. Misi negara itu sebenarnya tak wujud pun pada asalnya. Saya sendiri tak jangka akan diiktiraf sebagai ikon serta menerima anugerah-anugerah dari dalam dan luar negara.

Saya bersyukur kerana tak semua orang dipilih oleh Allah SWT untuk memegang status seperti ini. Alhamdulillah sampai sekarang saya masih mampu melaksanakan tugas-tugas seorang ikon dengan baik.

Selain ditaja badan-badan korporat saya juga banyak melakukan tugas atas inisiatif sendiri. Saya wujudkan NGO sendiri iaiu Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA). Saya turut bergabung dengan beberapa NGO lain bagi membantu wanita-wanita sukses yang dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain.

IMPIAN

Tiba masanya untuk saya mencari pelapis yang bermula dari zero to a hero. Saya mungkin boleh terus memberikan inspirasi tetapi dalam masa sama saya mahu melahirkan lebih ramai ikon muda yang boleh membantu dan menyambung legasi ini.

Saya mahu berkongsi pengalaman ke Antartika. Walaupun keadaan ekomoni sekarang kurang baik namun tak semestinya modal insan pun terhapus. Bagi saya ini adalah modal insan negara.”

Impian beliau juga adalah untuk memiliki program bual bicaranya sendiri sebagai seorang penceramah dan motivator. Program motivasi dengan kaedah tersendiri, unik dan agresif.

Kredit Foto: Instagram Sharifah Mazlina

 

 

IKLAN
Share