
Datin Aida Yusof Setia Temani Dato' Adi Putra
Sejuk mata memandang suri hati Dato’ Adi Putra. Raut wajah anggun dan senyuman yang lekang di bibir membuatkan Datin Aida Yusof sering menjadi perhatian khalayak khususnya peminat suami tercinta.
Pejam celik, perkahwinan pasangan romantis ini menghampiri usia dua dekad. Dato’ Adi Putra bernikah dengan Datin Aida pada 14 April 2006 sebelum dilaporkan bercerai pada Mac 2017. Namun jodoh di antara mereka masih panjang dan kedua-duanya kembali menjadi suami isteri pada 18 Januari 2018 setelah sembilan bulan berpisah.
Ternyata ia bukan satu tempoh yang singkat dan bermacam-macam dugaan telah dilalui mereka.
Berkat kesabaran dan saling menghargai, mereka kian bahagia melayari alam rumah tangga. Meskipun belum dikurniakan rezeki untuk timang anak sendiri. Enggan meratap hiba, Datin Aida dan Dato’ Adi bagaimana pun reda menerima apa jua ketentuan ilahi.
Tidak menjadikan ‘anak’ sebagai penghalang kebahagiaan, kedua-duanya mengecap bahagia dengan cara tersendiri. Ke mana saja pergi pasti kelibat isteri atau suami ada di sisi.
Terbaharu, Datin Aida Yusof dilihat teruja dan ceria turun padang membantu bisnes Dato’ Adi Putra sempena penganjuran Absolut Singapura. Selama tiga hari pasangan ini ‘berkampung’ di sana dan menjual produk keluaran Dato’ Adi Putra seperti Kurta dan sebagainya.
Walau Datin Aida sendiri seorang usahawan wanita berjaya dan berkarisma namun personaliti ini tidak kisah bersusah-payah membantu perniagaan suami.
Bahkan sepanjang berkahwin, Datin Aida bijak menjaga privasi rumah tangga dan enggan menjaja kisah peribadi kepada umum.
Rumah tangga pasangan ini lebih bermakna dnegan kehadiran dua anak angkat perempuan iaitu Az Zahra dan Zara Adelia.
Moga rumah tangga yang dibina bahagia Dato’ Adi dan Datin Aida bahagia sampai syurga serta diberkati Allah SWT.
This website uses cookies.