Gaya Hidup

Sambut Anniversary Ke-12, Wajah Comel Anak LINDA JASMINE & QUE HAIDAR Curi Perhatian!

Alahai, comelnya tengok kedua-dua anak perempuan Que Haidar dan Linda Jasmine. Macam Barbie Doll! Iyalah, macam mana tak comel… mak ayah pun dah memang cantik dan handsome. Kalau diamati betul-betul, anak perempuan sulung mereka, Tengku Ratu Haidar mewarisi kecantikan ibunda tersayang. Sementara si comel Tengku Cleopatra Haidar pula lebih iras wajah bapa.

Tengku Ratu atau mesra disapa sebagai Ratu kini berusia 11 tahun sementara Tengku Cleopatra atau nama timangannya Cleo bakal mencecah usia 9 tahun pada 26 April nanti. Semakin meningkat dewasa, kedua-dua beradik perempuan ini makin terserlah dengan bakat masing-masing.

Memandangkan ibu mereka, Linda Jasmine merupakan bekas guru tari Akademi Fantasia dan bapa pula ialah pelakon berbakat besar, darah seni yang mengalir dalam diri ibu bapa turut diwarisi Ratu dan Cleo.

Difahamkan Ratu memasang cita-cita untuk menjadi pelakon. Sementara adiknya pula memiliki bakat dalam seni lukisan sama seperti Que Haidar dan ingin mendalami bidang photographer! Sebagai ibu bapa, baik Que mahupun Linda… kedua-dua mereka sentiasa menyokong minat anak-anak dan tidak pernah menghalang minat mereka.

Selain dikurniakan wajah comel dan cantik, puteri kesayangan Que dan Linda ini juga mempunyai bakat dalam bidang peragaan. Sejak kecil lagi mereka sudah didedahkan dengan bidang tersebut. Wajah Ratu dan Cleo sebelum ini pernah menghiasi kempen lebaran bagi koleksi kanak-kanak jenama terkenal, Jovian.

Tengku Ratu
Tengku Ratu
Tengku Cleopatra
Tengku Cleopatra
Abang Cleo & Ratu, Qalif

Bak kata pepatah, ‘Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi’! Menerusi perkongsian Que dan Linda di laman media sosial masing-masing, jelas menunjukkan Ratu cukup meminati tarian dan aktif mengikuti kelas tarian balet. Terkesima tengok aura dan lenggok tarian anak gadis pelakon Rock Oo ini!

Melihat bakat Ratu tersebut membuatkan peminat Linda terkenang kembali zaman kegemilangan program Akademi Fantasia. Dari situlah nama Linda Jasmine melonjak naik dalam persada seni kerana kelincahannya selaku choreographer untuk para peserta program popular berkenaan. Dengan raut wajah cantik, ramping, bertenaga dan suara yang lantang, ramai anak muda menjadikan Linda sebagai idola dalam seni tarian.

Jadi, tak hairanlah kedua-dua anak perempuannya pun secara tak langsung meminati dan mewarisi bakat ibunda mereka. Dalam erti kata lain, darah seni sudah sebati dan mengalir dalam diri Ratu dan Cleo. Selain dikurniakan dua anak perempuan, Linda juga mempunyai seorang anak lelaki yang juga anak tiri Que iaitu Qalif Khan yang berusia 21 tahun.

Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar kini aktif membabitkan diri sebagai pelukis. Kalau tengok karya lukisan Que memang sarat dengan jalan cerita tersendiri. Malah, karya Que juga dibuka untuk jualan.

Tanggal 15 Februari lalu merupakan ulang tahun perkahwinan Que dan Linda yang ke-12. Walau terpaksa hanya sambut di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tetap meriah! Macam-macam kek yang mereka terima dan lebih istimewa, Que sendiri menghias meja makan untuk keluarga dan mencipta suasana romantik di rumah dengan taburan kelopak bunga ros buat isteri tercinta.

Pelakon kacak ini mendirikan rumah tangga bersama Linda Jasmine Hashim pada 15 Februari 2009. Waktu itu Que berumur 30 tahun sementara Linda Jasmine pula berusia 37 tahun. Majlis persandingan mereka diadakan dalam suasana indah berkonsepkan ‘Bali Dalam Taman’ yang turut dihadiri para peserta Akademi Fantasia dan rakan artis.

 

 

Kredit foto: Instagram Que Haidar & Linda Jasmine

IKLAN
Share