“Saya Tertanya..Layakkah Saya?” DR MALAR Terkedu Dianugerahkan Anugerah Pekerja Contoh Dari PM

“Saya masih tertanya tanya, Layakkah aku? Sesuai ke aku?” Begitulah anggapan pertama Dr Malar Santhi Santherasegapan apabila diberitahu akan menerima Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023. Dr Malar Santhi Santherasegapan, 40, menganggap anugerah yang diterima sebagai pemangkin semangat untuk terus berkongsi tips kesihatan berguna kepada rakyat di negara ini.

Beliau yang juga doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Selangor, berkata, beliau menganggap ‘tugas’ itu sebagai tanggungjawab sosialnya kepada rakyat khususnya dalam berkongsi tips kesihatan.

“Saya mahu terus berkongsi maklumat kesihatan kepada orang ramai dengan cara paling mudah, santai dan senang difahami menerusi media sosial.

“Kalau boleh saya nak kurangkan kesesakan di hospital dengan memberi ilmu serta tips kesihatan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga pempengaruh media sosial dengan watak utama di sebalik ‘Celoteh Dr Malar’ itu melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan berkenaan.

“Saya sedar dengan ini, tanggungjawab atas bahu ni makin berat. Namun, sy janji sy akan buat yang terbaik,lebih baik, selagi mampu. Terima kasih Mr Hubby yang sentiasa sokong dari segi fizikal, emosi dan mental,” katanya.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu sebelum ini melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pengurusan Pentadbiran dalam bidang Pengurusan Penjagaan Kesihatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta boleh bertutur dalam bahasa Rusia kerana pernah belajar di Universiti Perubatan Krimea (CSMU), Ukraine.

Sumber: Harian Metro

IKLAN
Share