Hidup tanpa warna umpama melihat sebuah kanvas putih, kosong. Ia perlu diwarnai agar hidup ini ada serinya. Tahukah anda, setiap warna mempunyai kesan dari sudut psikologi? Contohnya kombinasi dekorasi ruang makan dan pilihan warna sedikit sebanyak memberi kesan terhadap selera makan.
Sebab itulah pemilihan warna untuk dekorasi restoran mahupun kafe sangat penting bukan saja untuk menarik perhatian pengunjung bahkan membangkitkan selera mereka.
Mungkin ini boleh menjadi alternatif buat mereka yang mempunyai masalah kurang selera makan. Berikut 3 warna yang boleh anda cuba terapkan di ruang makan bertujuan agar nafsu makan meningkat.
KUNING
Warna ini dianggap baik serta membawa pengaruh positif untuk meningkatkan nafsu makan sekiranya berada dalam ruang makan. Sememangnya warna kuning mempunyai pesonanya yang tersendiri di samping memberikan kesan ceria dan semangat.
Ads
Warna kuning juga mampu memberikan impak positif untuk meningkatkan nafsu makan. Selain itu, warna ini juga menjadikan suasana di ruang makan menjadi lebih hangat sehingga ketika makanan dihidangkan anda akan terus berselera untuk menikmatinya.
JINGGA
Warna berikutnya ialah jingga. Ronanya yang terang sememangnya membuka selera. Ia mengingatkan kita buah oren/limau yang rasanya sangat sedap terutama jika dibuat jus. Biasanya warna jingga dipadankan dengan warna coklat untuk mencetuskan ambient yang hangat dan intim di ruang makan.
Ads
Namun jika anda mahu nuansa makan yang santai dan ringkas maka kombinasi warna jingga dan putih atau kelabu boleh jadi pilihan. Anda boleh mendekor ruang makan dengan hiasan buah oren agar nuansa warna jingganya kian terasa. Selain cerah dan berwarna, jingga juga memberi kesan positif untuk meningkatkan nafsu makan.
Ads
MERAH
Warna merah menjadi identiti kepada definisi semangat. Warna merah punya pesonanya yang tersendiri. Selain mempunyai aura berani serta elegan, warna merah juga sesuai untuk diaplikasikan di ruang makan.
Ia biasanya akan mencetuskan impak elegan dan mewah. Secara psikologinya warna merah juga mampu meningkatkan nafsu makan.
Kredit Foto: pinterest.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kawasan kejiranan di sekitar Bangsar sememangnya dibanjiri dengan pelbagai restoran yang menyajikan pelbagai hidangan untuk dinikmati. Antara tarikan terbaharu lokasi menjamu selera di Kawasan yang popular itu ialah Adu Sugar, milik seorang chef yang pernah memenangi pengiktirafan di peringkat internasional. Namanya sememangnya popular bagi penggemar rancangan masakan realiti yang menampilkan peserta memasak dan diadili oleh chef yang berkelayakan.
Chef Adu Amran, membuka restoran terbaharunya bertempat di Jalan Ara Kiri, Bangsar sejak dua bulan yang lalu. Walaupun masih baharu, namun menu yang ditawarkan memikat selera masyarakat Malaysia yang sememangnya teliti dalam soal pemilihan makanan yang enak dan penuh citarasa.
Sudah menjadi trend kebanyakan kafe atau restoran kini terletak di tingkat atas bangunan rumah kedai. Sekaligus, ia memberi dimensi baharu terhadap persekitaran tatkala menjamu selera selain kepuasan menikmati hidangan yang enak dalam suasana yang berbeza. Restoran yang menyajikan hidangan klasik dari negeri Johor, negeri kelahiran Chef Adu Amran untuk hidangan makan tengahari manakala Chef Adu mengetengahkan konsep Creative Malaysia Cooking untuk hidangan makan malam.
Sebagai anak jati negeri Johor, para pengunjung usah lepaskan peluang untuk menikmati hidangan autentik Johor hasil air tangan chef terkemuka ini. Antara menu yang terdapat di sini termasuklah Laksa Johor, Asam Pedas dan penggunaan bahan masakan kegemarannya iaitu pisang salai di dalam kebanyakan menu yang disediakan.
Menurut Chef Adu, sebagai seorang chef yang mementingkan kualiti makanan yang disajikan kepada para pelanggan, dia lebih gemar mengambil inisiatif menyediakan sendiri bahan-bahan utama untuk setiap hidangan yang bakal disajikan.
“Saya amat mementingkan kualiti makanan yang dihasilkan di dapur Adu Sugar. Oleh itu, saya menitikberatkan soal penyediaan bahan rempah ratus yang bakal digunakan di dalam setiap sajian. Sebagai contoh, saya memasak sendiri kerisik untuk kegunaan dalam hidangan selain menyediakan sendiri cili kisar yang digunakan dalam hidangan. Saya amat cerewet dalam soal penyediaan makanan. Jadi, apabila menyediakan sendiri rempah ratus ini, saya tahu kualiti makanan dapat dikawal dan rasa yang enak,” ujar Chef Adu yang menyediakan sendiri menu yang bakal dinikmati oleh para pelanggan.
Seakan dapat mengagak pertanyaan penulis mengenai nama Adu Sugar, rupanya Chef Adu mempunyai cerita menarik di sebalik penggunaan nama Adu Sugar untuk restoran miliknya.
“Sugar atau gula merupakan nama timangan ayah saya selepas insiden di mana satu periuk gula yang sedang dimasak tumpah di atas badannya semasa dia masih kecil. Kesan parut inisiden tersebut masih ada sehingga kini. Sejak itu, penduduk kampung menggunakan nama tersebut sebagai nama timangannya,” ujar Chef Adu yang mengambil inisiatif mengekalkan nama tersebut sebagai simbolik untuk bapa tersayang.
Mungkin ramai yang belum tahu, Chef Adu sebelum ini pernah membuka sebuah restoran diberi nama Champor-champor yang dibuka di Langkawi pada tahun 1994 ketika usianya baharu mencecah 24 tahun. Namun, pada 1997, Chef Adu mengambil keputusan untuk berpindah ke London dengan harapan untuk mengetengahkan konsep makanan seperti Champor-champor di London. Berkat usaha selama tiga tahun, impian tersebut telah direalisasikan. Namun begitu, pada tahun 2011, Chef Adu mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan mula melibatkan diri dalam program reality Master Chef Malaysia pada tahun 2015.
Rasa rindu untuk menguruskan restoran membawa Chef Adu membuka “The Canteen by Chef Adu’ di mana ia membuka ruang untuk dirinya dalam bidang masakan yang digemarinya. Tidak hairanlah mengapa Adu Sugar menjadi kesayangan dirinya yang mementingkan kualiti makanan bagi menjamin rasa yang enak untuk kepuasan pelanggan.
Menyentuh mengenai dekorasi yang diterapkan di Adu Sugar, dapat dilihat Chef Adu menggunakan sisi kreatif yang ada dalam dirinya untuk menata segenap ruang di Adu Sugar. Sebaik sahaja pelanggan melangkah menaiki deretan anak tangga menuju ke restoran, terdapat sebuah bingkai pintu dari Asia yang diletakkan di ruang masuk ke restoran.
Selain itu, beberapa lukisan termasuklah lukisan mural yang menggunakan elemen China dan Baba Nyonya hasil kerja tangan Chef Adu menjadi tarikan utama di dalam restoran. Selain itu, beberapa lagi barangan antic yang terdapat di segenap ruang restoran termasuklah sebuah kerusi lama untuk mencabut gigi yang digunakan pada abad ke 14. Selain itu, koleksi kipas antik yang masih elok digunakan juga menjadi pilihan sebagai dekorasi dalaman di sini. Mata pasti tertarik dengan pelbagai koleksi antik milik Chef Adu yang dikumpul sejak 20 tahun yang lalu. Malah setiap barangan antik ini mempunyai keistimewaan dan kesan estetika tersendiri buat Chef Adu Amran.
Bagi penggemar hidangan autentik Johor, jangan lupa singgah untuk menikmati hidangan makan tengah hari di sini. Bagi anda yang tertanya-tanya apakah menu yang dikategorikan sebagai Creative Malaysian Cooking, jangan lupa untuk mencuba sendiri hidangan yang istimewa ini!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keenakan sushi, sashimi, tempura dan teppanyaki sememangnya menjadi sebutan di kalangan penggemar makanan Jepun. Hidangan popular ini sering menjadi pilihan untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan terutamanya apabila tiba hujung minggu.
Restoran Jepun Kin No Uma yang terletak di Hotel Palace Of The Golden Horses memperkenalkan pelbagai hidangan autentik Jepun sempena promosi Saturday Japanese Buffet.Hidangan istimewa yang disajikan oleh Sous Chef Mohd Rafidon ini boleh dijadikan pilihan untuk memenuhi selera hujung minggu anda bersama keluarga tersayang.
Melangkah masuk ke ruangan restoran, pengunjung disambut dengan suasana serta dekorasi asli Jepun yang memberikan rasa serta suasana bagaikan berada di restoran Jepun yang terletak di negara Matahari Terbit itu.
Bagi penggemar hidangan dari Jepun ini, terdapat lapan stesyen buffet disediakan di Kin No Uma antaranya termasuklah hidangan pembuka selera, tempura, nabe mono dan aneka udon, sashimi dan sushi, teppanyaki dan sebagainya. Bagi penggemar hidangan makanan laut yang segar, kaunter sashimi dan tepanyaki makanan laut adalah kaunter buffet yang wajib dijadikan pilihan kerana ia menawarkan pelbagai hidangan makanan laut antaranya termasuklah ketam, udang, ikan salmon yang segar dan mengundang selera!
Selain hidangan teppanyaki makanan laut, seleksi pilihan daging dan ayam juga boleh dijadikan pilihan. Selain itu, hidangan seperti Grilled Chicken Teriyaki, Grilled Lamb Cutlets with Cajun Spiced boleh dijadikan pilihan di kaunter teppanyaki.
Pada harga serendah RM88 bersih, penggemar hidangan Jepun boleh menikmati potongan harga yang istimewa apabila mendaftar sebagai ahli Mines Privileges di mana banyak keistimewaan yang ditawarkan antaranya termasuklah diskaun 50 peratus untuk menikmati hidangan untuk dua orang, 33 peratus diskaun untuk tiga orang, 25 peratus untuk empat orang dan 20 peratus ketika anda menikmati hidangan bersama lima orang. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selain terkenal dengan sejarah peradaban dan tempat tinggalan para penjajah zaman dahulukala, Melaka juga terkenal dengan masakannya yang pedas dan menyelerakan.
Salah satu juadah yang sering menjadi tarikan ketika melawat bandar bersejarah ini tidak lain tidak bukan tentulah hidangan Asam Pedas.
Resipi yang kami kongsikan kali ini memang asli sebab dihasilkan sendiri selebriti yang berdarah keturunan Melaka iaitu Asmidar.
Meniti usia 31 tahun, Asmidar yang merupakan bekas juara program nyanyian ‘Vokal Bukan Sekadar Rupa’ ini juga sering membantu bapanya berniaga makanan di Wangsa Maju.
Terima kasih Asmidar sebab sudi berkongsi resipi!
ASAM PEDAS MELAKA ASLI
Bahan-bahan:
4 ketul ikan parang
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm halia
1 mangkuk cili kering (dikisar)
3 cm belacan
2 cm kunyit hidup
1 sudu besar lada hitam
3 batang serai (dititik)
1 sudu teh halba
Daun kesum
Bunga kantan
Bendi
Terung
Air asam jawa
Garam
Gula
Minyak masak
Cara membuat:
Kisar bawang merah, bawang putih, halia, cili, belacan, kunyit dan lada hitam. Panaskan minyak dan tumis halba sehingga kekuningan. Masukkan bahan yang telah dikisar tadi bersama serai. Tumis hingga garing dan pecah minyak.
Apabila sudah garing, masukkan gula diikuti daun kesum dan bunga kantan. Kemudian, masukkan ikan. Kacau perlahan sebelum memasukkan air asam jawa mengikut kepekatan kuah yang diinginkan. Sesudah itu, masukkan bendi atau terung. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula. Biarkan ia mendidih sebelum dinikmati. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kisah tular remaja berusia 13 tahun dari Sabah, Zara Qairina Mahathir yang maut akibat dibuli oleh beberapa pelajar senior di sekolahnya telah membuka mata...