
Syafiqa Melvin membuktikan bahawa peranan sebagai ibu bukan penghalang untuk terus berjaya. Kini sibuk menguruskan 2 bayi serentak, beliau tidak menunggu lama untuk kembali aktif. Lepas berpantang, dah turun padang berniaga, memperkukuh jenama yang dibina dengan penuh dedikasi dan semangat luar biasa.
Wajahnya berseri, bukan sekadar kerana bahagia menyambut kelahiran anak keempat pada Januari lalu, tetapi kerana hatinya penuh dengan semangat untuk terus bergerak.
Dalam tempoh berpantang yang biasanya menjadi ruang rehat buat seorang wanita, kakak kepada pelakon Syatilla Melvin ini memilih untuk kembali berdiri, turun padang berniaga, mengurus dua anak kecil dan dalam masa sama memajukan produk baharunya, Bloom, yang juga dianggap seperti bayi.
Minat terhadap dunia bisnes bukan sesuatu yang baru buat dirinya. Sejak usia remaja, beliau sudah mula mengenal erti usaha dan jatuh bangun dalam berniaga.
Hari ini, sebagai isteri kepada Azhar Othman, Syafiqa yang berusia 36 tahun menggalas tanggungjawab besar menguruskan beberapa jenama seperti Kekasih, Bella Luna dan Bloom, satu perjalanan yang bukan sahaja menuntut tenaga, tetapi juga ketahanan emosi yang tinggi.
“Tahun 2026 ini saya terokai pasaran hair care pula dengan melancarkan produk baru iaitu Bloom. Boleh dikatakan ‘baby’ lagi, baru 6 bulan.
Saya fokus kepada jual syampu dan perapi untuk masalah keguguran rambut. Tapi yang paling viral adalah tonik untuk melebatkan rambut. Asalnya ia adalah produk yang menyelesaikan masalah rambut kami suami isteri yang dilanda masalah ni.
Suami ada masalah botak tengah dan saya pula lepas bersalin ada masalah post-partum hairloss. Daripada situlah permulaannya, kami fikir rambut gugur adalah masalah besar rakyat Malaysia,” kongsi Syafiqa.
Kata-kata itu cukup jujur, lahir daripada pengalaman sendiri sebagai wanita yang melalui perubahan tubuh dan emosi selepas melahirkan anak. Dari masalah peribadi, beliau membina solusi yang akhirnya memberi manfaat kepada ramai, satu bukti bahawa kekuatan wanita sering bermula daripada luka yang tidak dilihat.
Apa yang lebih menyentuh, Syafiqa bukan sekadar berada di belakang tabir. Ketika sarat hamil, beliau masih turun ke lapangan, menyantuni pelanggan di booth seperti di TCE Baby Expo dan Absolut Bazar menjelang Aidilfitri.
Dalam kesibukan itu, terselit satu nilai yang semakin jarang, kerendahan hati seorang usahawan yang tidak pernah lupa akar perjuangannya.
Dalam membina perniagaan, Syafiqa tidak bersendirian. Jika sebelum ini beliau dikenali melalui jenama Kekasih dan Bella Luna bersama adik-beradik, kini langkahnya diteruskan bersama suami tercinta menerusi Bloom Hair.
Titip Syafiqa atau nama penuhnya Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, “Bisnes dengan adik-beradik ni, semua kepala lain-lain. Ada yang ‘loqlak’ sikit, yang dia ni skema sikit, yang dia tu malas sikit. Jadi bergaduh.
Tapi by the end of the day, kita capai kata sepakat. Kenalah dengar satu suara, biasanya sayalah tu. Nama pun Kak Long, kan,” kata Syafiqa sambil tersenyum.
Di sebalik senyuman itu, jelas terpancar peranan seorang kakak sulung yang menjadi tempat rujukan dan penyatu. Bukan mudah mengimbangi emosi dalam keluarga dan perniagaan, namun di situlah letaknya kekuatan seorang wanita, mampu memimpin tanpa perlu meninggikan suara.
Bercerita tentang suami, Syafiqa memilih untuk melihat sisi yang sering terlepas pandang.
“Suami saya ni jarang bersikap romantik. Dia seorang yang tegas dan kuat bekerja, pukul 9.00 pagi mesti dah berada di pejabat. Di rumah, dia seorang yang bertanggungjawab dan bapa yang penyayang.”
Cinta dalam hidupnya bukan tentang kata-kata manis, tetapi tentang kehadiran yang konsisten dan tanggungjawab yang tidak pernah culas. Jom saksikan temu bual ni…
Meniti usia 36 tahun, perjalanan hidup Syafiqa bukan tanpa ujian. Sebagai anak sulung daripada lima beradik, beliau telah lama memikul tanggungjawab keluarga. Pernah melalui fasa perkahwinan terdahulu bersama Allahyarham Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia akibat kanser darah pada tahun 2018, kehidupan mengajarnya tentang kehilangan, tentang reda, dan tentang bagaimana untuk bangkit semula.
Daripada perkahwinan itu, beliau dikurniakan dua cahaya mata, Zayyan Sufi dan Zahara Sumayya, yang menjadi sumber kekuatan dalam setiap langkahnya.
Hari ini, dengan kehadiran Fateema Safeea, kehidupan Syafiqa terasa lebih lengkap. Namun lebih daripada itu, ia menjadi simbol bahawa seorang wanita tidak pernah berhenti memulakan semula, walau berapa kali pun diuji.
Kisah Syafiqa Melvin bukan sekadar tentang kejayaan dalam bisnes atau kehidupan peribadi. Ia adalah tentang seorang wanita yang memilih untuk terus bergerak, walau dalam letih, walau dalam luka. Seorang kakak yang memimpin, seorang ibu yang mengasuh dengan penuh kasih, dan seorang isteri yang setia membina bersama.
Dalam diam, wanita seperti inilah yang sebenarnya menggerakkan dunia.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/iqbar-hakim-jasman-dnars-legasi-faziani-rohban/
This website uses cookies.