Tahun Kedua Beraya Tanpa Suami Di Sisi, BUNGA CITRA LESTARI Sambut Lebaran Secara Sederhana!

Pemergian Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 18 Februari 2020 memberi kesan besar terhadap kehidupan penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari hingga ke hari ini. Walau sudah mampu menerima ketentuan ilahi atas pemergian suami tercinta namun kehilangan arwah Ashraf masih dirasai. Tidak mungkin dapat mengubah takdir, Bunga kembali bangkit dan kuat mengharungi masa depan bersama anak kesayangan, Noah yang kini berusia 10 tahun.

Menjelang 1 Syawal yang lalu merupakan tahun kedua Bunga menyambut lebaran tanpa suami di sisi. Bersyukur kerana sekurang-kurangnya Noah menjadi pengubat rindu terhadap Allahyarham Ashraf, menerusi potret raya yang dikongsikan jelitawan ini jelas menunjukkan sambutan Aidilfitri dua beranak ini serba sederhana.

Pagi Syawal, Bunga dilihat mengenakan persalinan rona beige dan selendang lilac sementara Noah pula lengkap berbaju Melayu biru dan bersongkok putih. Menyambut raya di Jakarta, kelihatan kedua-dua ibu bapa Bunga ada di samping mereka Syawal ini.

Malah, walau berjauhan daripada keluarga mentua yang berada di Malaysia mereka sempat bertanya khabar dan bermaafan meskipun hanya menerusi maya. Turut serta dalam pertemuan secara maya tersebut ialah Aishah Sinclair dan keluarga, Adam Sinclair dan isteri, Yuna serta kedua-dua ibu bapa arwah Ashraf.

Bunga dan Noah turut mengenakan persalinan raya rona merah di samping keluarga Bunga di Indonesia. Sempena kedatangan bulan baik, Bunga menitipkan ucapan kemaafan di hari lebaran.

“Setiap orang tentunya pernah mengecewakan orang lain atau bahkan merasa dikecewakan. Sebetulnya itu wajar-wajar aja, kerana pada dasarnya kita tidak bisa selalu menyenangkan setiap orang. Selama kita bisa terus merefleksikan diri dan segera memperbaiki ketika atau ada yang salah, rasanya itu sudah lebih dari cukup.

Di bulan yang fitri dan penuh ampunan inilah saat yang paling tepat untuk saling memaafkan, menjadikan hati ini bersih kembali.”

Bunga mendirikan rumah tangga bersama Ashraf Sinclair pada tahun 2008 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki tunggal, Noah Aidan Sinclair.

 

 

Kredit: Instagram Bunga Citra Lestari

IKLAN
Share