
Pasangan selebriti, Fasha Sandha dan Aidil Aziz, tampil sebagai pemilik bersama cawangan ke-208 Kopi Saigon yang dilancarkan secara rasmi hari ini di MyTOWN Cheras.
Cawangan ini merupakan ‘signature outlet’ pertama Kopi Saigon yang beroperasi dalam sebuah pusat beli-belah, dan cawangan kedua yang dimiliki bersama selebriti, selepas cawangan pertama yang dimiliki oleh Datin Anne Ngasri.
Fasha yang sudah lama menjadi pelanggan setia Kopi Saigon sejak tahun 2021 berkata, dia cukup teruja apabila ditawarkan menjadi sebahagian daripada keluarga jenama ini, apatah lagi dia mula minum Kopi Saigon sejak 2021.

“Saya tertarik dengan rasa sedapnya, tak muak dan tak sakit kepala macam sesetengah kopi lain. Bermula sebagai pelanggan biasa, saya perlahan-lahan menjadi peminat tegar Kopi Saigon. Setiap kali ada perayaan, sama ada sambutan hari lahir atau apa-apa majlis, saya akan buat pesanan Kopi Saigon. Sampai ke tahap, dalam apa sahaja majlis sekalipun, orang pasti akan bertanya dan mencari tentang Kopi Saigon terlebih dahulu.

“Selepas berkenalan dengan pengasasnya, Asyraf Kamal, saya dan suami ditawarkan untuk membuka outlet Kopi Saigon sendiri, dan kami fikir, apa salahnya ditawarkan menceburi bidang perniagaan F&B kerana jenama ini sudah cukup sinonim dengan kami.
“Kemudian kami pun membuat pengiraan kos dan saya bersama suami setuju berkongsi menggunakan modal kami untuk memulakan perniagaan ini, dengan jumlah pelaburan lebih kurang RM200,000. Dan nak dijadikan cerita, satu hari ada yang menawarkan lot strategik di MyTOWN Cheras. Tanpa berfikir panjang, kami terus sambar peluang itu,” kata Fasha.
Tambahnya, proses pembukaan outlet Kopi Saigon di MyTown Cheras juga berjalan dengan mudah kerana Fasha dan Aidil mendapat bantuan sepenuhnya daripada pihak HQ dalam pelbagai sudut, termasuk operasi, pemasaran, latihan, dan sokongan teknikal.
Dalam pada itu, pasangan selebriti ini bukan sekadar artis yang hanya meletakkan nama pada sesebuah jenama, tetapi turut bekerja keras menguruskan perniagaan terbabit. “Kami terlibat dari A ke Z termasuklah daripada segi strategi pemasaran, mencari barista, jaga kualiti servis sehinggalah ke operasi harian.

“Saya sendiri sudah ambil kursus barista dan pengurusan outlet. Ada hari tertentu, pelanggan mungkin akan dapat kopi daripada saya atau Aidil sendiri. Ini komitmen kami sebagai pemilik,” tambah Fasha, yang pernah menguruskan perniagaan salon selama lapan tahun sebelum ini.
Sementara itu, Aidil juga menyatakan keyakinannya terhadap jenama Kopi Saigon setelah merasainya sendiri dan yakin perniagaan ini dapat berkembang dengan lebih jauh. “Saya sendiri mula suka apabila merasai Peach Tea mereka, sedap sangat. Apabila tahu Kopi Saigon adalah jenama tempatan, semangat saya lagi berkobar-kobar.
“Apa yang saya kagum, setiap minuman yang direka mampu menarik semua lapisan umur, yang muda sehinggalah ke warga emas. Produk mereka sangat konsisten. Itu yang buat saya percaya pada Kopi Saigon.
“Asyraf bukan sahaja kreatif, tapi sangat bijak membaca kehendak pasaran dan tahu apa yang pelanggan mahukan. Gabungan Asyraf dan semangat kami dalam bisnes itulah menyebabkan kami berani ambil langkah besar ini,” katanya. Majlis pelancaran turut dihadiri oleh pengasas Kopi Saigon, Asyraf Kamal dan isteri, Fana Rahim, yang menjadi penggerak utama jenama itu sejak ia ditubuhkan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


