Tangisan PUTERI SARAH Pada Majlis Pelancaran Buku Undang Sebak, Keluarga Dedah Kisah Sebenar

Tular di media sosial satu video pendek yang memaparkan Puteri Sarah Liyana menangis teresak-esak pada majlis pelancaran buku pertama yang menyingkap kisah peribadinya.

Walaupun momen ‘air mata’ itu tidak lama tetapi impak daripada video tersebut telah membuatkan warga maya turut merasa sebak dan menangis.

Rata-rata ramai yang terkesan dan dapat merasai ‘kesakitan’ sebenar yang dirasai ibu dua anak ini.

Mereka turut memuji kekuatan luar biasa Puteri Sarah dalam perjuangannya sekaligus menjadi inspirasi kepada wanita-wanita teraniaya dalam rumahtangga.

Buku “Puteri Sarah: Terus Melangkah” cukup istimewa dan unik kerana mendedahkan sisi peribadi sebenar Puteri Sarah dan keluarganya. Ia tidak pernah diceritakan kepada umum termasuk detik-detik jatuh bangunnya dari dulu hingga kini.

Keluarganya turut membuka mulut mendedahkan sisi sebenar Puteri Sarah termasuk tentang kehidupan dan perjalanan inspiratif figura yang tidak diketahui umum.

“Sarah berharap buku ini menjadi panduan istimewa buat semua wanita. Sebagai mana judulnya, Sarah mahu mereka tidak berdiam diri, tidak mudah mengalah.

Teruslah berjuang dan melangkah ke depan,” kongsi Puteri Sarah.

Turut serta dalam pelancaran itu ialah Reina Lum selaku editor dari sudut undang-undang, serta penulis utama buku yang juga pengurus dan teman rapat Puteri Sarah iaitu Emi Anvepa.

Kongsi Emi Anvepa, menulis buku ini bagaikan meluah isi hati dan melepaskan apa yang terbuku dalam diri sejak mengenali Puteri Sarah. Sepanjang lima tahun mengenalinya, dia menjadi saksi kepada penat lelah yang dilalui Puteri Sarah.

“Saya kenal Puteri Sarah bukan saja sebagai pengurus bahkan sebagai kawan rapat yang melihat sendiri pengorbanannya sebagai anak seni.

“Bila terpaksa imbau kembali memori lama sepanjang menulis buku ini, saya menangis berkali-kali,” kata Emi Anvepa.

Bagi Reina Lum pula, sebagai ‘Legal Education Advocate’ dirinya teruja untuk bekerjasama dalam penghasilan buku itu kerana yakin buku tersebut dapat memperkasakan wanita.

“Saya sering tekankaan kepada wanita agar berani, bijak dan berilmu. Dengan ilmu kita dapat membina keberanian dan keyakinan. Puteri Sarah contoh terbaik.

“Walau apa pun keadaan dan cabaran, usah mudah mengalah. Selagi terus melangkah, kita belum kalah,” ujar Reina Lum.

Buku terbitan Terbit Sendiri Empire dan Projek Nomad Sdn Bhd ini sudah dibuka untuk tempahan awal (pre-order) di laman web puterisarahliyana.com

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona

 

IKLAN
Share