Tenang Tengok Penampilan Sopan Penyanyi Ini, Wajah Terkini Dayang Erema Berniaga Abaya & Ada Anak Bijak!

Lama tak dengar khabar Dayang Zaira Erema Awang Moshdad atau lebih dikenali sebagai Erema. Mengikuti perkembangannya sejak bergelar anak seni, Dayang Erema mula mewarnai industri hiburan sekitar tahun 2006. Bahkan lagu dendangannya ‘Pelita Di Bawah Purnama’ masih segar di ingatan peminat seni sampai ke hari ini.

Antara rakan seperjuangan Dayang Erema dalam industri hampir dua dekad lalu termasuklah Allahyarham Siti Sarah dan Misha Omar.

Nama selebriti kelahiran Sarawak ini kembali menjadi bualan apabila foto baharunya di samping anak gadis yang lengkap berjubah konvokesyen tular di media sosial.

Artikel https://www.nona.my/warisi-kejelitaan-ibu-anak-perempuan-dr-julia-megat-junid-cecah-usia-32-datuk-ziela-jalil-titip-doa-buat-puteri-solehahnya/

Penyanyi Dayang Erema Jadi Perhatian

Bukan hanya tertarik dengan imej muslimah figura ini. Malah kejayaan anak perempuan iaitu Nur Irsya Amyra Jamaludin melanjutkan pengajian di menara gading turut meraih pujian.

Difahamkan gadis berusia 22 tahun ini ialah graduan Diploma Bangunan (Fakulti Seni Bina) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bangga dan syukur dengan kejayaan itu, Dayang Erema menitipkan ucapan istimewa buat puteri kesayangan.

“Tahniah anakku. Walaupun dulu mama ingin di tempatmu tetapi Allah berkehendak yang lain. Namun dapat juga membesarkanmu, memberi pendidikan sehingga tahap ini.

Kebanggaan ini bukan untuk mama tapi dirimu sendiri menentukan masa depanmu sendiri. Sebagai wanita yang melahirkanmu, sudah pasti bangga kami memilih pelajaran yang pertama.

Tahniah, walaupun diploma dah habis. Tinggal setahun lagi untuk degree. Semoga maju ke hadapan.”

Nur Irsya Amyra merupakan anak Dayang Erema dengan bekas penulis lirik dan komposer, Allahyarham Seri Bayu atau nama penuhnya Jamaludin Sulik. Mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 namun Allahyarham Seri Bayu meninggal dunia pada tahun 2011.

Kehidupan Dayang Erema

Meskipun tidak lagi aktif menyanyi dan hadir ke majlis hiburan tanah air namun bakat dan pesona Dayang Erema masih lagi bersinar. Apatah lagi dia kini tampil dengan gaya sopan dan menutup aurat. Tenang dan sejuk mata memandang penampilan selebriti ini!

 Memandangkan karier nyanyian bukan lagi fokus utama, Dayang Erema dilaporkan aktif dengan perusahaan Dayang’s Abaya.

Menerusi salah satu postingnya di Instagram, Dayang Erema mendedahkan tidak pernah terlintas dia menceburi bisnes abaya namun seronok dengan sambutan yang diterima.

“Alhamdulillah, kadang-kadang Allah dah tulis rezeki kita kat mana. Walaupun sebenarnya tak terfikir dan terlintas untuk berbuat sesuatu di luar fikiran kita.

Rasa seronok pula berniaga abaya Dubai (preloved) secara live.

Dalam masa yang sama, boleh mengajak orang lain untuk menutup aurat dengan sempurna dengan abaya yang flowy, cantik dan material yang sejuk.”

Khabarnya, Dayang Erema kini menetap di Kuching. Semoga kehidupan Dayang Erema di samping keluarga sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan sukses dalam apa jua bidang yang diceburi.

Share
Published by
Suzi