Tak Mekap Tebal Pun Terserlah Cantik, Wajah Awet Muda Tengku Sariza Usia 52 Tahun Raih Pujian!

Bertuah wanita bernama Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Muzani ini kerana dikurniakan raut wajah yang cantik dan sejuk mata memandang. Bukan hanya direzekikan rupa paras menawan tetapi juga dianugerahkan kesihatan yang baik pada usia melebihi 50 tahun.

Kuza genap meniti usia 52 tahun pada 24 September lepas. Seiring pertambahan usia, aktres ini enggan lagi mengejar kemewahan dunia sebaliknya mahu terus mendalami ilmu dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa demi bekalan akhirat kelak.

Tengku Sariza Rai Birthday Ke-52

Bersempena ulang tahun kelahiran ke-52, Kuza menitipkan ucapan penghargaan buat semua yang mendoakan kesejahteraan dirinya dan keluarga. Beliau turut memanjat kesyukuran atas kurniaan ilahi selama ini.

β€œAlhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nafas, nikmat iman dan Islam untuk menyambut ulang tahun ke-52 ini. Pada usia ini, saya bermuhasabah bahawa setiap rezeki yang datang sama ada dalam bentuk kesihatan, anak-anak, pasangan hidup, pekerjaan atau ketenangan hati. Semuanya adalah pinjaman dan kurniaan daripada-Nya.”

Tambah Tengku Sariza lagi, β€œSaya berdoa semoga rezeki yang mengalir sentiasa halal, berkat dan mencukupi untuk memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan agama. Semoga setiap langkah yang diatur membawa saya lebih dekat kepada Allah, bukan hanya mengejar dunia yang sementara, tetapi mempersiapkan diri untuk akhirat yang kekal.

Ya Allah, jadikanlah rumah tangga kami sakinah, mawaddah wa rahmah. Peliharalah anak-anak kami agar menjadi insan soleh dan solehah, penyejuk mata dan penawar hati. Kurniakanlah kesihatan, ketenangan, dan kekuatan untuk terus berbakti kepada ibu bapa, pasangan, dan ummah.”

ArtikelΒ https://www.nona.my/dato-dr-sheikh-muszaphar-shukor-ulang-tahun-perkahwinan/

Wajah Awet Muda Tengku Sariza

Tak dinafikan aura dramatis ini masih memikat sampai sekarang. Meskipun tiga cahaya mata kesayangan sudah meningkat dewasa dan sudah berkeluarga serta mempunyai anak, namun keanggunan Kuza yang kini bergelar nenek kepada empat cucu tetap meraih pujian peminat.

Disifatkan sebagai seorang wanita berjiwa sederhana, Kuza dalam temu bual bersama majalah Nona suatu ketika dulu sudi berkongsi pengalaman hidupnya agar dapat dijadikan inspirasi buat peminat.

β€œSebenarnya tak ada apa-apa rahsia tampil awet muda pun. Saya bersyukur, alhamdulillah Allah bagi saya tubuh badan yang sihat. Jadi amanah bagi saya untuk menjaganya. Saya selalunya berhenti makan sebelum kenyang.

Malam pula kalau boleh elakkan dari makan yang berat. Sekadar alas perut. Kalau ada masa, senaman jangan lupa. Ini bukan untuk kurus je tapi untuk stamina supaya kita tak cepat letih. Jadikan senaman ini macam rutin hidup. Selain itu, waktu tidur juga harus dijaga. Ibadah pun jangan lupa.”

Kisah kehidupan Tengku Sariza membuktikan bahawa kecantikan sejati datang dari hati yang bersyukur, disiplin menjaga kesihatan dan sentiasa dekat dengan Allah. Semoga perjalanan hidupnya menjadi inspirasi buat wanita lain untuk kekal positif, sihat dan berjiwa tenang.

Β 

Share
Published by
Suzi