Berita

Terima Anugerah Gemilang Maju Jaya, Stacy Syukur Perjalanan Karier Seni Raih Pengiktirafan!

Tahniah buat Stacy atas kejayaan menerima Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 baru-baru ini. Pastinya pengiktirafan itu menjadi detik bermakna buat pelantun lagu Pelangi Senja tersebut. Sekaligus menjadi pemangkin semangat buat Stacy untuk terus melangkah lebih jauh dalam industri seni hiburan.  

Berkongsi khabar gembira berkenaan di media sosial miliknya, suri hati Akim Ahmad ini menzahirkan rasa syukur kerana perjalanannya sebagai anak seni mendapat perhatian kerajaan negeri Sabah.  

Stacy Terima Anugerah

Dedah Stacy, “Syukur alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah di atas perasaan dan pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Terima kasih Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 untuk penghargaan ini.

Siapa sangka usaha kecil dalam perjalanan menjadi seorang penyanyi kelahiran Sabah dapat realisasikan konsert solo yang mega tahun lalu dihargai oleh insan-insan hebat dari Sabah.” 

Tambahnya lagi, “18 tahun selepas ‘Aku Stacy’ tercipta dan penghargaan ini semestinya membuat saya lebih bersemangat untuk terus memperkasakan lagi apa yang sudah dijalani dan juga berharap 1 hari nanti dapat menjadi penyumbang kepada masyarakat yang telah banyak menyokong Stacy dari dulu.

Tidak pernah dilupakan buat suami, Akim Ahmad, anak-anak tercinta dan Team Sangat Gila Stacy (Team SGS) yang tak pernah putus memberi sokongan dari dulu. Terima kasih Dato Paduka Rehan dan Datuk Dr. Hajah Rosmawati di atas ruang kesempatan menerima penghargaan ini.”

Anugerah Gemilang Maju Jaya ialah sebuah majlis pengiktirafan berprestij yang diadakan pada 11 Julai 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC) bagi memartabatkan jasa dan pencapaian cemerlang individu daripada pelbagai bidang seperti seni, keusahawanan, media dan khidmat masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag. Antara anak seni yang turut menerima anugerah ialah Datuk Deddy M. Borhan, Ayu Damit, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Freddy Fernandez serta ikon sukan negara, Datuk Pandelela Rinong.  

Kehidupan Stacy

Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam dan Akim mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016.

Isteri Akim ini turut mempunyai seorang anak angkat bernama Bella Deluna Valentina dan seorang anak perempuan iaitu Eshaal serta anak lelaki Isa hasil perkongsian hidup bersama Akim. 

Share
Published by
Suzi