
Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli bukan sekadar berwajah jelita, malah membawa sebuah kisah tentang kuasa seni dan intelektual yang saling mengangkat kehidupan. Di sebalik kejayaannya hari ini, tersimpan perjalanan panjang yang dibentuk oleh doa seorang ayah, kecintaan terhadap ilmu serta didikan keluarga yang mengajar erti merendah diri walau setinggi mana pencapaian.
Menghiasi cover digital Majalah Nona kali ini, sosok Profesor Madya, pelakon, pengarah teater dan Pensyarah Kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menyerlahkan satu hakikat yang sering dilupakan.
Seni dan intelektual tidak pernah bertentangan. Malah, kedua-duanya saling menguatkan, membentuk insan yang bukan sahaja berfikir dengan akal, tetapi juga melihat kehidupan dengan hati.

Setiap bait bicaranya tenang, tersusun dan sarat makna. Tiada kata-kata yang lahir untuk memukau, sebaliknya setiap pengalaman dikongsi sebagai bekal kehidupan. Barangkali itulah hasil didikan ibu bapanya yang sentiasa mengingatkan agar kekal merendah diri walau setinggi mana pun pencapaian.
Manis rupawan dengan bicara yang tersusun rapi, Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli menitip banyak inspirasi dalam Inspirasi Nona. Saksikan vodcast penuh…
Doa Arwah Bapa Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli
Di sebalik senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya, tersimpan sebuah kisah yang cukup menyentuh jiwa. Gelaran Profesor Madya yang disandang hari ini sebenarnya lahir daripada sebuah impian yang pernah diungkapkan kepada arwah bapanya ketika beliau masih hidup.
“Masa itu Papa masih ada. Saya beritahu niat saya dan dia kata dia doakan. Ada ketika dia sempat marah, ‘Hang suruh Papa doa, Papa dah doakan. Tapi hang tak mohon-mohon!'”
Teguran ringkas itu bukan sekadar gurauan seorang ayah. Ia menjadi pesan yang terus hidup dalam ingatan. Bahawa doa ibu bapa ialah anugerah, tetapi usaha tetap menjadi tanggungjawab seorang anak.


Namun Allah menentukan perjalanan yang berbeza. Tidak lama kemudian, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain kembali ke rahmatullah pada September tahun tersebut. Enam tahun berlalu, tepat pada 25 Februari 2026, doa yang pernah dipohon akhirnya dimakbulkan. Gelaran Profesor Madya sah menjadi milik Dr. Norzizi Zulkifli.
Saat berkongsi detik itu, jelas terpancar rasa syukur yang tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata. Benarlah, doa seorang ayah tidak pernah terhenti walaupun jasadnya telah lama kembali kepada Pencipta.
Seni Tidak Pernah Menghalang Impian Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli
Ramai masih beranggapan dunia seni dan akademik berada di dua lorong berbeza. Namun perjalanan Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli membuktikan sebaliknya.
Beliau berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media dari University of Wollongong, Australia. Sebelum itu, beliau memperoleh Sarjana Seni Halus (Pengarahan Teater) dari National College of Rubber Technical, United Kingdom, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan dari UiTM Shah Alam serta Diploma Teater di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA).
Perjalanan akademik itu bukan dibina dalam sehari. Sejak berkhidmat di UiTM pada 15 November 2006, beliau mendedikasikan hampir dua dekad untuk mendidik generasi baharu dalam bidang seni persembahan.
Lebih membanggakan, kecemerlangannya sudah terserlah sejak bergelar pelajar lagi apabila menerima Anugerah Siswazah Terbaik Program, Anugerah Siswazah Terbaik Fakulti serta Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM pada tahun 2003.
Di sebalik pencapaian akademik itu pula, beliau tidak pernah meninggalkan dunia seni yang menjadi denyut nadi kehidupannya. Daripada pengalaman sebagai pengacara program kanak-kanak Di Mana Jom Jambul? hinggalah aktif mengarah produksi teater berskala besar, beliau membuktikan ilmu hanya akan benar-benar hidup apabila diterjemahkan melalui karya.
Terbaharu, beliau bakal mengarahkan pementasan ‘Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors’ di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 25 Julai 2026, sekali gus memperlihatkan bagaimana seni warisan tempatan mampu berdialog dengan karya agung dunia.
Rezeki Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli Bertambah Apabila Memberi
Jika ada satu prinsip hidup yang paling melekat dalam diri Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli, barangkali inilah ungkapannya.
“Lagi kita tak ada duit, lagi kita bersedekah.”
Bunyinya mungkin bertentangan dengan logik manusia. Namun bagi beliau, rezeki tidak pernah berkurang kerana memberi. Sebaliknya, setiap sedekah membuka pintu keberkatan yang tidak pernah disangka-sangka.


Selain meletakkan ibu bapa di kedudukan paling tinggi dalam kehidupan, beliau percaya setiap kebaikan yang dilakukan akan kembali dalam bentuk yang jauh lebih indah daripada apa yang pernah dihulurkan.
Sebagai anak sulung daripada lima beradik kepada Allahyarham Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar, beliau membesar dalam suasana yang penuh disiplin, kesederhanaan dan kasih sayang. Nama besar keluarga tidak pernah dijadikan tiket untuk berjaya. Sebaliknya, beliau memilih membina laluan sendiri dengan ilmu, kerja keras dan akhlak.
Barangkali itulah makna sebenar Kuasa Seni & Intelektual yang dibawa Prof. Madya Dr. Norzizi Zulkifli. Bahawa seni menjadikan manusia lebih halus budinya, manakala ilmu mengangkat darjatnya. Apabila kedua-duanya disatukan dengan doa ibu bapa, kerendahan hati dan keikhlasan memberi, lahirlah sebuah kehidupan yang bukan sekadar berjaya, tetapi turut meninggalkan makna kepada orang lain.
Artikel berkaitan: Parkir ‘Profesor Madya’ Saksi Doa Seorang Ayah, Dr Norzizi Zulkifli Genggam Impian Selepas 6 Tahun!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





