Gaya Hidup

Tip ‘Handle’ MAKCIK BAWANG Raya, ‘I Love You’ Makcik Bawang!

Tak sabarnya nak sambut raya! Beberapa hari je lagi ni. Bila balik kampung nanti, boleh la jumpa saudara-mara dan berkumpul ramai-ramai. Mesti penuh satu rumah dan kecoh.

Tapi bila dah ramai-ramai berkumpul, tidak dinafikan pasti ada antara kita yang tidak berasa selesa dengan sesetengah ahli saudara yang kecoh seperti ‘mak cik bawang’. Ada saja yang tak kena dan ada saja hal yang mereka nak ambil tahu tentang diri kita.

Kalau bukan perihal kahwin, perihal zuriat. Tak cukup dengan itu tanya pula pasal kerja dan macam-macam lagi! Silap-silap, hobi kita yang suka berkebun pun boleh jadi topik untuk mem’bawang’.

Mesti banyak di luar sana yang stress, benci dan marah bila buka je mulut si ‘makcik bawang’ ni. Tapi, apa jadi sekali pun kena jaga tutur bicara, sopan santun dan adab jangan sesekali dilupakan.

Tak susah sebenarnya nak handle ‘makcik bawang’ ni yang penting kena pada caranya. Jom cuba cara di bawah ni.

 

SENYUM DAN DIAM

Tak susah bukan? Lagipun, senyum itu satu sedekah. Kalau anda tidak mahu menjawab soalan yang diajukan, iyalah takut tersalah cakap atau terkasar bahasa, perkara paling senang yang anda perlu lakukan hanya senyum dan diam. Apabila berasa marah, tahan dulu api kemarahan dengan berdiam diri. Ini kerana, banyak kata-kata dan keputusan yang tidak baik akan dikeluarkan bila emosi tak stabil.

 

TERIMA SOALAN DENGAN HATI TERBUKA

Tak dinafikan, soalan yang diajukan adakalanya sangat ‘pedas’ sehingga menyinggung perasaan kita sebagai seorang wanita. Seperti dirobek-robek hati ini lagi-lagi bila sentuh soal kahwin. Betul tak? Bila dah kahwin tanya pula pasal anak. Bila dah beranak-pinak soalan lain pula yang keluar. Apa pun, cuba respon secara normal dan jawab dengan hati yang terbuka.

PEMBUKA BICARA DAN SALAM PERKENALAN

Anggap saja soalan-soalan yang diajukan kepada kita sebagai cara mereka untuk memulakan bicara. Orang kata soalan basi saja. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita memulakan bicara dengan perihal kehidupan kita. Jadi, kurang rasa stress nak menjawab soalan tu.

 

SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF

Layan saja setiap pertanyaan daripada mereka dan jangan terima soalan dalam keadaan yang marah. Jangan sesekali berasa terhina dengan soalan yang diterima dan jaga hati diri sendiri. Pada masa yang sama, minta mereka tadah tangan dan doakan yang terbaik dan dengan cara ini perbualan akan diakhiri dengan perkara yang baik-baik saja. Lebih manis begitu, bukan?

Senang cerita, orang buat baik, kita balas baik. Bila orang buat jahat, kita buat baik juga. Kepada makcik bawang di luar sana, cuba jadi individu yang lebih sensitif dan jangan cakap ikut sedap mulut saja. Sama-sama kita menjaga ikatan persaudaraan yang terjalin di bulan baik hari baik.  Salam Ramadan dan Selamat Hari Raya!

IKLAN
Share