
Tun Dr Siti Hasmah
Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyambut ulang tahun ke-100 pada 12 Julai 2026 dengan meninggalkan sebuah legasi yang jauh lebih besar daripada usia. Di sebalik angka satu abad itu tersimpan kisah seorang doktor wanita, isteri negarawan, ibu dan ikon negara yang membuktikan bahawa kehidupan yang diberkati bukan diukur pada panjangnya umur, tetapi pada banyaknya jasa, ilmu serta kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga, masyarakat dan tanah air.
Di sebalik perjalanan Malaysia menuju sebuah negara moden, nama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sentiasa terpahat sebagai wanita yang berdiri teguh di sisi seorang negarawan.
Beliau bukan sekadar isteri kepada bekas Perdana Menteri, malah seorang doktor perubatan, ibu, nenek dan figura yang membuktikan bahawa kekuatan wanita lahir daripada ilmu, kesabaran serta keimanan yang tidak pernah goyah.
Sambutan ulang tahun kelahiran beliau diraikan secara sederhana bersama ahli keluarga terdekat. Menerusi perkongsian di media sosial, anakanda sulungnya, Datin Paduka Marina Mahathir, menzahirkan ucapan penuh kasih.
Happy 100th birthday to Mum! May you always be blessed with good health and happiness!
Ucapan itu disusuli kata-kata menyentuh hati daripada cucunya, Ally Mukhriz.
Menyambut hari jadi salah seorang wanita terhebat dalam hidup saya. So lucky to have you as a guiding light. Happy 100th birthday, Tok.
Manakala Serena Mukhriz turut berkongsi rasa syukur kerana masih berpeluang meraikan insan yang menjadi nadi keluarga mereka.
101 for Tok Det, and today, 100 for Tok. We are so lucky. Happy 100 to my Tok – the heart of our family.
Walaupun usia semakin lanjut, wajah Tun Hasmah tetap memancarkan ketenangan, kelembutan dan kasih sayang yang begitu sinonim dengan dirinya sejak dahulu.
Apa yang paling mengagumkan ialah keadaan mental Tun Hasmah yang masih begitu cergas. Selain mengalami sedikit masalah penglihatan, memori beliau masih kuat sehingga mampu mengingati pelbagai nama, tarikh dan peristiwa penting dalam sejarah negara.
Ketika ditemui Majalah Nona beberapa tahun lepas, Tun Hasmah berkongsi bahawa rahsia mengekalkan daya ingatan bukanlah sesuatu yang rumit, sebaliknya bermula dengan disiplin melatih minda dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Yang pertama sekali tu, kita kena buat sesuatu berulang-ulang, khasnya pemikiran. Selalu saya berdoa, ‘Waraskanlah pemikiran hamba’ sebab ini penting.
Ungkapan ringkas itu membawa makna yang cukup besar. Dalam Islam, doa merupakan senjata orang beriman, manakala usaha pula menjadi pelengkap kepada setiap ikhtiar. Tun Hasmah membuktikan bahawa menjaga kesihatan minda bukan hanya melalui latihan intelektual, tetapi juga dengan memperkukuhkan hubungan spiritual kepada Allah.
Beliau turut menjelaskan bahawa menghafal lagu, mengulang bacaan serta terus belajar perkara baharu membantu otak kekal aktif walaupun usia semakin lanjut.
Antara kisah paling menginspirasikan tentang Tun Hasmah ialah kecintaannya terhadap muzik, khususnya biola.
Beliau mula belajar bermain biola ketika berusia 16 tahun sewaktu zaman penjajahan Jepun. Namun selepas menyambung pengajian, berkahwin dan membina keluarga, minat itu terhenti selama hampir tujuh dekad.
Atas galakan Tun Dr Mahathir yang mencadangkan beliau melakukan sesuatu yang belum pernah dilihat orang ramai, Tun Hasmah memilih untuk kembali bermain biola selepas hampir 70 tahun meninggalkannya.
Beliau mendapatkan guru muzik yang datang mengajar di rumah setiap minggu, walaupun ketika itu usianya sudah mencecah pertengahan 80-an.
Keputusan itu menjadi bukti bahawa usia tidak pernah menjadi alasan untuk berhenti belajar.
Dalam dunia yang sering mengaitkan usia tua dengan pengakhiran, Tun Hasmah membuktikan bahawa setiap hari ialah peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
Sepanjang lebih satu abad kehidupannya, Tun Dr Siti Hasmah menyaksikan sendiri perjalanan negara daripada era penjajahan, kemerdekaan, pembangunan pesat hinggalah Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang dihormati dunia.
Beliau turut mengiringi perjalanan kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam pelbagai detik penting negara tanpa pernah mencari perhatian atau kemasyhuran.
Sebaliknya, beliau memilih untuk berbakti melalui profesion sebagai doktor, memperjuangkan kesihatan rakyat, menyokong pendidikan serta membentuk institusi keluarga yang menjadi tunjang kekuatan seorang pemimpin negara.
Dalam dunia moden yang semakin pantas, Tun Hasmah mengingatkan kita bahawa patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi bermula dengan membina ilmu, memelihara akhlak, menghormati keluarga dan terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada usia 100 tahun, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bukan sekadar seorang negarawan wanita yang disayangi rakyat, malah simbol bahawa kehidupan yang diberkati ialah kehidupan yang dipenuhi ilmu, doa, kesederhanaan dan khidmat kepada agama, bangsa serta negara.
Legasi beliau akan terus hidup sebagai inspirasi bahawa selagi diberi kesempatan oleh Allah SWT, selagi itulah seorang insan mampu terus belajar, berbakti dan meninggalkan kesan yang baik kepada generasi akan datang.
Artikel berkaitan: Muabellaz Terima Anugerah Tokoh Belia, Inspirasi Hebat Anak Kedah Bina Empayar Bisnes
This website uses cookies.