Usia Perkahwinan Cecah 7 Tahun, Che Puan Sofie Bahagia Dikurnia Suami & Bapa Terbaik Untuk Anak Tersayang!

19 April lalu genap tujuh tahun usia perkahwinan Yang Amat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra. Sepanjang melayari bahtera perkahwinan, pasangan diraja ini tampil bahagia dan kian matang menggalas tugas sebagai suami isteri serta ibu bapa.  

Che Puan Sofie Titip Bahagia Rai Anniversary

Tidak ketinggalan meraikan ulang tahun perkahwinan baru-baru ini, Che Puan Sofie menerusi perkongsian di media sosial memuat naik foto terkini suami tercinta bersama anakanda tersayang sedang beriadah di pinggir pantai.

Titip wanita kelahiran Sweden berkenaan, “19 April 2026 – Happy 7th wedding anniversary to the love of my life, the reason behind my smiles and the best papa Johan could ever dream of.” 

Mengimbau kembali momen disatukan sebagai suami isteri, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Che Puan Sofie diijabkabulkan pada 19 April 2019 dalam suasana sederhana namun meriah. 

Istiadat pernikahan pasangan ini dilaporkan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan. 

Meskipun berasal dari Sweden namun peribadi baik dan penampilan jelitawan ini yang bijak menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya di negara ini turut menambat hati khalayak khususnya rakyat Kelantan.

Che Puan Sofie Bergelar Ibu

Che Puan Sofie dan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra menerima kehadiran cahaya mata sulung yang merupakan anak lelaki selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.  

Artikel https://www.nona.my/23-tahun-kahwin-datuk-rashid-sidek-ada-anak-autism-asbab-datin-azehan-jadi-pengusaha-tadika-special-needs/

Zuriat yang dinanti-nantikan selamat dilahirkan pada 17 Julai 2023 dan diberi nama Tengku Muhammad Johan Petra. Semakin menginjak usia, semakin terserlah kecomelan putera kesayangan pasangan ini.  

Bahkan telatah comel dan gelagat Tengku Muhammad Johan sering dikongsikan ibunda tersayang di media sosial.

Tengku Muhammad Johan Petra juga anakanda saudara kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. 

Semoga rumah tangga Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Che Puan Sofie sentiasa dalam lindungan Allah serta bahagia sampai syurga. 

Share
Published by
Suzi