
Pejam celik usia perkahwinan penyanyi bersuara lunak, Haziq Rosebi dan isteri tercinta iaitu Maisarah Mohd Sidki sudah pun menjangkau sedekad! Tanggal 11 September lepas genap 10 tahun pelantun lagu Lemak Manis berkenaan mendirikan rumah tangga.
Bersempena ulang tahun perkahwinan ke-10, pemilik nama Hazwan Haziq Rosebi meluahkan rasa syukur dan titip ucapan buat suri hati kesayangan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Haziq memuat naik foto di samping Maisarah.
Ujarnya dalam nada berseloroh, “10 years of together gether. Still can’t believe I get to annoy you forever.”
Jelas terserlah sense of humor penyanyi berusia 37 tahun ini. 10 tahun nyata bukan satu tempoh yang singkat. Pastinya pasangan suami isteri ini sudah melalui pelbagai kisah suka duka sepanjang melayari bahtera perkahwinan.
Sekaligus menjadikan mereka lebih matang menempuh alam rumah tangga.
Haziq Rosebi dan Maisarah sah bergelar suami isteri pada 11 September 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Yusuf Zidane yang kini berumur sembilan tahun dan Naa’il Zidane, enam tahun.
Haziq memulakan karier dalam industri seni selepas menjadi peserta program realiti popular Akademi Fantasia musim keempat.
Kemampuannya mendendangkan kembali lagu genre klasik ‘Lemak Manis’ nyanyian asal Roslan Madun membawa tuah kepada Haziq seterusnya melonjakkan populariti Haziq.
Malah, dia juga cukup sinonim dengan nyanyian asli dan bertemakan irama Malaysia sehingga kini. Di samping menerima banyak undangan persembahan sama ada di majlis perkahwinan mahupun program hiburan melibatkan tetamu kenamaan termasuk VVIP.
Atas karier seni yang kian meningkat naik, Haziq Rosebi menerima Anugerah Ikon Seni Pengkalan Batu pada tahun ini.
Selain itu, dia juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2023. Antara rakan artis yang turut menggenggam ijazah bersamanya termasuklah Raja Mukhriz, Tomok dan Pekin.
This website uses cookies.