Gaya Hidup

Video CLOSET TOUR Cecah 4 Juta Viewers, HEART EVANGELISTA Wanita Cantik & Kaya Isteri Senator Filipina!

Namanya mungkin kedengaran asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia namun bagi peminat telenovela Filipina, pasti mengenali rupa paras cantik menawan Love Marie Payawal Ongpauco atau lebih dikenali dengan nama komersialnya Heart Evangelista. Dilahirkan pada 14 Februari 1985 di Manila, Filipina… wanita berjiwa seni ini kemudian dibesarkan di United Kingdom sebelum kembali semula ke tanah air ketika usia remaja.

Mewarisi kecantikan ibu dan ayah, Heart memulakan karier sebagai model dan pelakon pada usia yang cukup muda iaitu 13 tahun. Bapanya Reynaldo Evangelista Ongpauco ialah pengusaha restoran terkemuka berketurunan Filipina-China. Sehari selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-30, Heart melangsungkan perkahwinan gilang-gemilang bersama lelaki pilihan yang juga ahli politik Filipina, Senator Francis Escudero pada 15 Februari 2015 di Balesin Island Club secara tertutup.

Sepanjang lebih 20 tahun bergelar pelakon, bermacam-macam drama, filem dan program televisyen sudah dibintangi selebriti berbakat besar ini. Antara filem yang berjaya menaikkan namanya di pentas lakonan ialah ‘Ay, Ayeng’, Trip dan My First Romance. Dalam pada itu, Heart juga aktif melibatkan diri sebagai hos dan turut dikurniakan bakat dalam bidang nyanyian.

Kerap muncul dalam klip video muzik penyanyi di Filipina selain membintangi video muziknya sendiri, Heart juga menghasilkan empat album kompilasi pada tahun 2002 hingga 2005.

Yang pasti, Heart Evangelista bukan sebarangan wanita yang hanya bersandarkan kepada kekayaan dan populariti suami tersayang semata-mata. Dia bekerja keras untuk memiliki apa yang diimpikan dan mencari peluang untuk mengembangkan potensi dalam bidang seni.

Puas menjadi pelakon, hos dan penyanyi… Heart turut meminati dunia lukisan dan menyertai pelbagai pameran seni. Kalau tengok karya lukisannya memang mengagumkan! Bukan hanya pandai melukis di atas kanvas, wanita berusia 34 tahun ini turut menzahirkan kreativiti seninya dalam fesyen dan bekerjasama dengan pereka handalan.

 

Paling tak sangka, dia berani mencurahkan sentuhan magis seninya di beg tangan. Bukan calang-calang beg ya… sebab kebanyakan beg tangan yang menjadi ‘kanvas lukisan’ Heart adalah dari jenama mewah, Hermes!

Selain telah memenangi puluhan anugerah hasil lakonan mantapnya, Heart kini bergelar usahawan, penulis, ikon fesyen dan pengarah urusan. Tidak cukup dengan itu, dia juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan yang mengangkat nasib golongan kanak-kanak khususnya dalam bidang pendidikan. Disebabkan sifat penyayang yang menebal dalam dirinya, Heart tidak kekok turun padang bersama suami bertemu masyarakat.

Menyentuh gaya hidup aktres ini, Heart selesa berkongsi rutin harian di laman media sosial. Bahkan dia juga mempunyai channel youtube sendiri. Terbaru, jurucakap Philippine Animal Welfare Society (PAWS) ini memuatnaik video closet tour

nya. Tak ubah seperti sebuah butik mewah… video tersebut mencecah hampir 4 juta tontonan!

Dalam video itu juga Heart berkongsi koleksi pakaian, kasut, cermin mata hitam, beg tangan dan pelbagai aksesori mewah lain yang ada di dalam ruang simpanan eksklusif berkenaan.

Lebih menarik bila Heart menayang salah satu koleksi beg tangan mewah yang dimilikinya iaitu Birkin Himalayan Crocodile yang mencecah nilai hingga jutaan ringgit!

Sambil berseloroh, Heart berkata kalau berlaku kebakaran… dia akan selamatkan beg tangan itu dahulu.

 

 

Kredit: Instagram Heart Evangelista

 

 

IKLAN
Share