“Video Dengan Dia Peneman Saya Waktu Sahur,” Pertama Kali Puasa Tanpa Arwah Elisya, Ainina Ahmad B Rindu Anak Istimewanya!

Hampir sembilan bulan anak syurga, Nur Ara Elisya ‘pergi’ menghadap ilahi namun kenangan dan telatah manja anak bongsu ini sentiasa berlegar di ingatan Ainina Ahmad B. Bukan tidak reda dengan ketentuan ilahi sebaliknya pelakon ini luah rasa rindu yang teramat terhadap cahaya mata istimewanya itu yang kembali ke rahmatullah pada 22 Jun 2025.  

Ramadan tahun ini cukup berbeza bagi aktres era 90an berkenaan kerana pertama kali menyambutnya tanpa Elisya di sisi. Pun begitu, Ainina terus kuat menempuh hari-hari mendatang demi kelangsungan hidup bersama anak sulungnya iaitu Nur Arieana.  

Meskipun ada ketika ibu cekal ini rasa ‘berat’ menerima hakikat bahawa Elisya tiada lagi di sisi buat selamanya namun semangat dan sokongan daripada puteri sulung memberi kekuatan buat Ainina.

Artikel https://www.nona.my/tak-mahu-ambil-hak-orang-kemuliaan-hati-ainina-ahmad-b-keluar-senarai-penerima-bantuan-zakat-dipuji/

Ainina Ahmad B Luah Rasa Rindu Terhadap Arwah Elisya

Menerusi hantaran terbaharu di media sosial, pelakon drama Khianat Yang Terpilih ini berkongsi momen berbuka puasa berdua dengan Arieana.  

“Tahun pertama kami berpuasa berdua. Nampak macam tak ada apa-apa kan. Saya pun sibuk dengan kerja dan yang seorang dengan class dia. Ni barulah ada masa berbuka di luar bersama. Rasa lain memang ada, sedih pun ada, cuma kuatkan diri.  

Tapi banyak perkara yang Elisya suka macam makan bubur lambuk setiap kali puasa. Teringin macam mana pun kami tak sanggup beli, tapi sehari dua ni rindu sangat dengan dia. Video-video dengan dia peneman saya waktu sahur.” 

Tambah Ainina Ahmad B lagi, “Waktu keluar berbuka dengan kakak, kami berbuka di mall yang Elisya suka. Allah Maha Baik. Dia tahu saya rindu nak peluk anak syurga saya. Tiba-tiba hadirlah bidadari syurga depan mata saya. Ya Allah seakan sama terutama badan dia.  

Kita senyum-senyum, lambai-lambai kat dia dan kiss dari jauh. Lepas tu patah balik sebab tak puas usik dia. Nak dekat segan, family

dia ada.  

Tapi dia seolah faham apa yang saya nak. Dia ajak mak dia dan cakap nak bergambar. Nak nangis masa tu sebab saya dapat peluk dia macam mana saya peluk anak syurga saya. Terima kasih Allah!  

Lepas juga sedikit rindu pada anak syurgaku Elisya. Semoga berbahagia di syurga. Al-Fatihah.”

Kehidupan Cekal Ainina Ahmad B

Sepanjang pemergian anak syurga itu, Ainina Ahmad B meluangkan masa menziarahi pusara Allahyarham. Ketibaan bulan Ramadan membuatkan dia lebih kuat mengingati Elisya. 

“Selalu dia yang teman sahur dan berbuka. Walaupun dia tak puasa tapi dia memahami. Mama rindu sayangku. Semoga berbahagia di sana bidadari syurgaku.” 

Ainina Ahmad B merupakan anak pelakon veteran Allahyarham Ahmad Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Ahmad B. Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 2 Jun 2004 dan mempunyai empat orang anak iaitu Mohamad, Ainina, Omar Baki dan Abdul Rahman. 

Ainina pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis Kumpulan Mega iaitu Rahmad namun berpisah pada tahun 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Nur Arieana dan Nur Ara Elisya. 

Difahamkan anak kedua mereka meninggal dunia akibat sindrom Prader Willi. Allahyarham Elisya dilapor menjalani pembedahan spinal untuk meluruskan tulang belakang yang membengkok disebabkan sindrom berkenaan atau penyakit jarang berlaku yang muncul ketika lahir serta menyebabkan beberapa masalah fizikal, mental dan tingkah laku. 

Allahyarham Nur Ara Elisya kembali ke pangkuan ilahi selepas empat hari menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-16. 

 

 

Share
Published by
Suzi